Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya bukan ‘playgirl’ – Ain


BEBERAPA keping gambar mesra dirinya menimbulkan spekulasi apatah lagi apabila potret itu melibatkan dua yang berbeza. Senyuman dan gaya badan yang ditunjukkan seakan mengesahkan kewujudan hubungan istimewa antara mereka.

Sengaja mencari publisiti murahan dengan menyebar rakaman gambar sendiri? Timbul juga persoalan sama ada perbuatannya itu bertujuan bagi menyedarkan orang kembali tentang kehadiran pendatang baru sepertinya.

“Semua gambar yang tersebar itu diambil dari profil BBM (BlackBerry Mesengger) Ain. Ain tak tahu siapa yang menyimpan dan kemudian menyebarkannya,” bicara awal bekas pelajar rancangan realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelapan ini tentang perkara tersebut.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini juga menafikan dia sengaja menunjuk-nunjuk teman lelakinya kepada senarai rakan BBM yang lain. Bagaimanapun, Ain memberi alasan dia lebih menghargai persahabatan yang dibina. Sebab itu anak kedua dari lapan beradik ini kerap menukar gambar profilnya.

“Ain bukan seorang ‘playgirl’. Semua lelaki yang bergambar dengan Ain itu bukan skandal dan saya bukan jenis yang suka bertukar-tukar teman lelaki.

“Lagi pun Ain tak rasa ini satu masalah besar. Ain cuma bergambar dengan lelaki. Bukan gambar itu merakam ketika Ain buat satu kesalahan. Macam teguk minuman keras, merokok atau bersosial,’’ jelasnya bersungguh-sungguh.

Pada masa yang sama, pemilik nama Nadiawati Ainul Basir ini menafikan dia sengaja mencipta situasi selepas hubungan cintanya dengan penyanyi Maulana AF8 berakhir.

Semasa program hiburan berkenaan berlangsung pada tahun lalu, Ain dikatakan punya hubungan cinta dengan Maulana. Perkara tersebut turut diketahui oleh kekasih Maulana ketika itu.

“Ain tak terdesak sangat nak cari kekasih buat masa sekarang. Kisah lama antara Ain dengan Maulana pun sudah lama berakhir. Tak ada apa yang hendak diceritakan lagi.

“Bukan masa sekarang ini, bukan masa yang tepat nak cari kekasih. Ain ada banyak benda yang hendak dikejar dalam hidup,’’ terang wanita berusia 25 tahun ini.

Masalah sikap

Pada masa yang sama, penyanyi lagu Penanggung Sepi ini menafikan dia seorang yang punya masalah sikap. Kerap memberontak dan bermulut jahat sehingga menyebabkan ramai yang tak gemar berkawan dengannya.

“Ain memang seorang yang bermulut lantang. Kadang-kadang bercakap tentang apa yang Ain rasa tanpa memikirkan kesan selepas itu. Itu memang cara Ain.

“Tapi itu tak bermakna Ain ada masalah sikap. Ain sangat profesional kalau melibatkan periuk nasi. Bukan lagi macam zaman sekolah. Nak kena pukul baru nak bergerak,” kata penyanyi yang punya kebolehan menyanyi sambil bermain gitar ini.

Baginya, tidak adil andai ada pihak yang terus menerus melabelnya sebagai artis bermasalah. Dek kesilapan yang pernah dilakukan semasa di AF dahulu.

Baginya, seseorang itu pasti punya kesilapan lampau. Sebagai manusia biasa, Ain juga tak terlepas dari melakukan kesilapan. Apa yang pasti wanita berbangsa Suluk dan Dusun ini menerima pengajaran selepas kekhilafan berlaku.

Tunggu saat dilepaskan

Satu lagi perkara yang dalam fikiran Ain adalah untuk mendapatkan pelepasan awal dari menjadi artis di bawah naungan, Astro Entertainment Sdn. Bhd (AESB).

Biarpun pernah menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama syarikat itu, namun Ain sudah berfikir panjang untuk menjadi artis bebas.

“Tak ada apa yang boleh Ain cakap tentang perkara ini. Bila Ain rasa macam dipinggirkan. Tak mendapat layanan sepatutnya. Jadi lebih baik Ain minta pelepasan segera.

“Dari duduk lama-lama di bawah syarikat tanpa sebarang show, buat Ain jadi lebih gila. Ain ada tanggungan dan benda yang perlu dilunaskan setiap bulan. Kalau tak ada bayaran, macam mana Ain nak hidup.

“Jadi sekarang ini, semua proses rundingan dan hitam putih telah selamat dibuat. Ain cuma tunggu masa untuk dilepaskan,’’ ujarnya penuh harapan.

Ditanya adakah penyanyi lagu Nafas Sempurna ini bersedia untuk menerima sebarang risiko atas keputusannya itu, Ain mengiyakan.

Pemilik suara serak-serak basah ini berkata, dia sudah membuat pertimbangan semasak-masaknya mengenai perkara tersebut. Sudah tiba masa Ain perlu mengorak langkah baru demi masa depannya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails