Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tekad jadi peguam - Marcell


NAMANYA cukup popular sebagai penyanyi. Biarpun populariti itu telah mengatasi segala-galanya, Marcell tidak pernah kisah dengan semua itu. Bagi lelaki yang berusia 33 tahun ini, niat asal untuk menjadi peguam tidak pernah padam dalam ingatannya.

Bezanya, dia tidak punya waktu untuk semua itu. Hujung tahun ini dia berharap agar berpeluang untuk menyertai peperiksaan yang membolehkan dia bergelar seorang peguam pada tahun hadapan.

“Niat untuk menjadi peguam tidak pernah kesampaian. Ada sahaja halangan dan semua itu membuatkan aku lebih bersemangat. Paling tidak hujung tahun ini pasti aku melaksanakan impian tersebut.

“Bidang hiburan dan bidang sukan memang menjadi kesukaan aku. Aku mahu mewujudkan suasana yang harmoni dalam kedua-kedua bidang ini memandangkan tidak ramai yang mahu aktif secara terus.

“Adakah benar golongan artis kita tahu mengenai semua hal? Soal kontrak misalnya, mereka perlu tahu apa yang terkandung sebelum menandatangani kontrak atau hanya baca sekali imbas?

“Kontrak perlu diperhalusi satu persatu dan bukannya cut, paste and copy kontrak yang lama. Ini senario yang sedang berlaku. Dan kebanyakan artis langsung tidak pernah mengambil peduli hal berkenaan.

“Jadi siapa yang rugi? Sebab itu aku merasakan perlunya mereka mengetahui soal undang-undang dengan lebih mendalam supaya tidak menjadi mangsa penipuan. Menjadi anak seni bukan satu pekerjaan yang main-main. Ini pekerjaan profesional yang sama taraf dengan yang lain,” tegas graduan Fakulti Undang-Undang, Universiti Katolik Parahyangan ini.

Memang ada benarnya kata-kata yang diluahkan oleh penyanyi itu. Ramai yang cukup teruja untuk diulit populariti sedangkan mereka seringkali menjadi mangsa penipuan.

Tidak salah untuk anak seni sepertinya berjuang menuntut keadilan sedangkan masih ramai sebenarnya yang berkelayakan berbuat demikian, tetapi hanya mendiamkan diri. Dalam suasana industri muzik yang semakin berkembang maju ini, isu cetak rompak, isu muat turun secara haram dan pelbagai isu lain turut sama rancak.

Apa yang meninggalkan persoalan, sejauh mana mereka berusaha untuk mengatasi masalah itu? Adakah mereka hanya bercakap sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan? Bertitik tolak soal itu impian pelakon utama filem Laskar Pemimpi ini mahu semuanya diselesaikan segera seterusnya membantu membina industri yang lebih harmoni.

Pengubat rindu peminat

Minggu lalu, Marcell kembali ke Malaysia dengan misi baru. Melancarkan album solo keempat penyanyi berkenaan yang sudah menganggap Malaysia sebagai negara keduanya.

Cuma kali ini peminat di sini lebih bertuah memandangkan album yang berjudul And The Story Continues... itu dilancarkan di sini terlebih dahulu berbanding dengan negara asalnya itu.

Sebelum ini dia pernah menghasilkan album Marcell (2003), Denganmu (2006) dan Hidup (2008).

“Memang ada yang bertanya mengapa aku lancarkan album di sini lebih cepat dari di Indonesia, sebenarnya isu tarikh album ini di pasaran sama sahaja.

“Cumanya aku mahu album ini dilancarkan lebih cepat di sini. Aku tidak mahu peristiwa terlewat memasarkan album menjadi isu memandangkan sebelum ini sudah berlaku banyak kali.

“Ada ketikanya album itu sudah hampir setahun di Indonesia, tapi baru menemui peminat di sini. Kali ini aku mahu ia dilakukan serentak bagi menggembirakan peminat di Malaysia dan Indonesia,” kata suami kepada pelakon Rima Melati ini.

Semakin lama berbual dengan lelaki asal Bandung, Indonesia ini semakin banyak cerita yang keluar. Ternyata Marcell cukup ramah menjawab apa juga pertanyaan dan cukup seronok bercerita hal yang ada dalam lagu berkenaan.

Album yang mengandungi 11 buah lagu itu sebenarnya turut menjadi mangsa kritikan sesetengah pihak yang kurang senang dengan dirinya. Dia sedar terdapat beberapa pihak yang sudah menyuarakan pandangan masing-masing berhubung isu menyanyikan semula empat buah lagu.

“Aku suka lagu itu dan tak salah untuk aku nyanyikan semula bukan. Setiap lagu itu mempunyai erti pada aku dan pada seluruh komposer yang terlibat dalam album kali ini.

“Aku hanya mencari kepuasan dan bukannya mahu yang lain. Kalau mahu dengar cakap orang lain sampai bila-bila aku tak ke mana. Paling tidak ini akan menjadi strategi aku untuk menawan hati peminat.

“Bagi yang sudah berusia, ada lagu yang mereka boleh dengar dan bagi yang masih muda, ada juga untuk mereka. Bukankah itu akan memberikan kelebihan pada aku juga,” kata Marcell.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails