Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Tak mungkin dia kahwini Rozita'


Ibu bapa Shahir ulas gosip dengan pelakon jelita

JAWAPAN “no komen” terpacul daripada mulut ibu bapa Shahir, Mahanum Osman, 46, dan Zawawi Abdullah, 55, saat ditanya mengenai gosip cinta mengaitkan anak mereka itu dengan pelakon bergelar ibu tunggal, Rozita Che Wan. Dalam beberapa siri temubual dengan Shahir dan Rozita sebelum ini, kedua-duanya tidak menafikan berkawan rapat.

Peluang bertemu ibu bapa Shahir ketika berlangsungnya majlis minum petang anjuran Kelab Peminat Shahir Malaysia (KPS) baru-baru ini dimanfaatkan untuk bertanya lanjut pandangan mereka mengenai gosip terbabit. Majlis itu turut diadakan bagi meraikan kejayaan Shahir di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

“Mak cik tak nak komen hal ini. Apa diberitahu Shahir sebelum ini kepada media, itulah hakikat sebenar. Mereka hanya kawan seperjuangan dalam dunia seni. Jodoh Shahir dengan sesiapapun selepas ini, mak cik terima. Itu ketentuan,” akui Mahanum yang tidak menafikan kecantikan Rozita.
Ini pula jawapan bapa Shahir, seorang guru di Sekolah Menengah Sri Kampar: “Ia hanya gosip. Tapi dalam soal pilihan hidup, pak cik tak kisah siapa pilihannya. Terpulang kepadanya. Tapi pak cik rasa tak mungkin dia dan Rozita akan bersatu. Dia pun selalu cakap kepada kami, gosip ini sama ada baik atau buruk, bererti orang di luar sana ingin tahu perihal dirinya. Kami sebagai ibu bapanya sedang membiasakan diri dan cuba memahami rencah dunia hiburan yang disertainya.”

Sempena sambutan Hari Ibu, kesempatan bersua ibunya yang mesra disapa Mak Su di kalangan ahli KPS turut ditanya mengenai anaknya yang hampir genap setahun berkecimpung dalam dunia seni selepas menjuarai pertandingan realiti Akademi Fantasia musim lalu.

“Alhamdulillah, ada peningkatan dalam kerjaya seninya. Selepas nyanyian, dia kini menceburi bidang lakonan pula. Kejayaannya memenangi kategori Artis Baru Popular di ABPBH 2010 menjadi pembakar semangat untuknya. Mak cik yakin banyak lagi dia perlu pelajari untuk mantapkan kerjaya seninya. Sebagai ibu serta bapa dan adik beradiknya yang lain, kami sentiasa beri sokongan padu untuknya. Harapnya, dia akan pandai jaga diri dan menjaga nama baik keluarga.

“Setakat ini, dia akur melalui gosip yang datang. Dia tenang berdepan semua gosip. Dia juga pernah berpesan pada kami, supaya mak cik dan pak cik mempercaya dirinya dan jangan mudah melatah dengan tempias gosip. Kami dan dia kena terus bersabar. Kami kena telan gosip diterimanya. Lumrah dalam dunia seni, ada kalanya gosip yang datang itu jauh menyimpang daripada kebenaran dan sebaliknya,” kata Mahanum.
Mahanum juga menjelaskan, anak sulung daripada lima beradik ini juga seorang anak yang baik dan tebal dengan sikap menghormati orang lain termasuk ibu bapa, selain sangat mengambil berat hal ehwal keluarganya.

“Dia sangat utamakan keluarganya. Dia seperti kebanyakan anak orang lain juga tak lupa membantu keluarga apa yang patut termasuk memberi wang bulanan. Dia juga membantu kami membayar duit bulanan kereta. Bukan mahu memuji, tapi itulah hakikatnya. Mak cik pun tak pernah menangis sebab gosip dialaminya. Tapi apabila orang terdekat bertanya dengan kita, tipulah kalau mak cik tak cakap ia memberi tekanan. Lama kelamaan, mak cik dah rasa lali dah... mak cik yakin kebenaran dan tahu diri sebenar anak sendiri,” katanya.

Beralih kepada Shahir, jejaka yang bakal muncul dengan filem sulung berjudul Karak mulai 26 Mei ini juga lebih selesa mengalih perhatian untuk membicarakan soal kerjaya berbanding peribadi. Tetapi Shahir sedar ceritanya dengan Rozita tidak akan berakhir begitu saja apatah lagi mereka berterusan mendapat peluang bekerjasama.

Selepas berlakon bersama dalam telefilem Lawaknya Fantasia Raya dan klip video lagu Pendam nyanyian Shahir tahun lalu, mereka sekali lagi bersatu dalam telefilem Summer Camp. Penggambaran bermula sejak 6 Mei lalu dan mereka bergandingan sebagai pasangan kekasih.

“Rozita jadi cikgu manakala saya pula jadi ustaz dalam drama ini,” ungkapnya yang kini sedang rancak mempromosikan Karak terbitan KRU Studios arahan Yusry Abdul Halim.

Mengenai sambutan Hari Ibu pula, Shahir berkata, kasih sayangnya kepada ibunda tercinta sentiasa mekar setiap hari dan tidak khusus pada hari tertentu saja. Kebiasaannya, Shahir membawa ibu dan keluarganya makan di luar dalam suasana yang lebih mendamaikan.

“Mungkin kalau ada kesempatan masa, saya ingin bawa ibu dan ahli keluarga lain pergi bercuti,” katanya yang diraikan lebih 100 peminatnya pada petang itu
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails