Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Serina nafi rumahtangga bergolak


DIAM tak diam, perkahwinan Serina Redzuawan dengan Gavin O‘Luanaigh atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar, 34, pada tanggal 1 Januari 2010 lalu sudah pun mencapai angka satu tahun.

Masih ingat lagi bagaimana gemilangnya anak gadis Datuk Chef Wan ini diraikan pada hari bahagianya ketika itu.

Maklumlah, satu dunia boleh menyaksikannya menerusi tayangan dokumentari di saluran AFC Astro berjudul One Night: A Malaysian Wedding -Chef Wan.

Kemuncak bahagia juga dirasakan Serina apabila dia dan Gavin kemudiannya dikurniakan cahaya mata comel, Tristen Tareef yang kini sudah menjangkau usia lapan bulan.

Nah.. Sekarang bagaikan sudah lengkap rasanya fasa baru dalam hidup wanita berusia 29 tahun ini sebagaimana yang sering didambakan oleh setiap wanita yang memasang impian untuk berumah tangga.

Namun, entah dari mana datangnya angin, tiba-tiba rumah tangga Serina didakwa sedang mengalami pergolakan.

Cerita semakin panas apabila ada yang menokok tambah bahawa ia berlaku disebabkan wujudnya seorang wanita yang menjadi orang ketiga.

Rasanya, kalau ada yang cetek akal, sudah tentu mereka akan memandang seolah-olah Gavin yang berlaku curang terhadap Serina.

Ini tak boleh jadi! Lalu Pancaindera pantas mengaju pertanyaan kepada bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) ini bagi mendapatkan kebenaran.

“Mana dapat cerita ni? Bila masa pula rumah tangga saya bergolak? Memang kelakarlah!

“Itu semua cerita tak betul. Alhamdulillah..sehingga ke hari ini rumah tangga saya tak ada sebarang masalah. Malah, dari hari ke hari hubungan kami semakin intim.

“Saya pun pelik kenapa boleh timbul cerita macam ini sedangkan saya dan Gavin tak pernah berahsia. Sampaikan telefon bimbit pun tak pernah kami sorok atau letakkan kata laluan.

“Kalau betul dia curang, dah tentu dia akan jelas buat benda-benda macam tu kan? Ini tak ada pun. Ala..mungkin ada yang salah dengar ni kot!

“Alhamdulillah kami aman bahagia je..tak timbul soal orang ketiga atau rumah tangga berantakan,” katanya.

Aneh. Langsung tidak mencerminkan perasaan marah. Serina malah asyik tersenyum dan ketawa sahaja walau ditujah dengan soalan yang mungkin menyebabkan dirinya tersinggung.

Mungkin begitulah sifat semulajadi wanita ini. Dia sukar sekali mengikis sifat Happy Go Lucky yang tertanam dalam dirinya.

Menganggap ia cuma khabar angin, Serina membetulkan tanggapan serong itu dengan memberitahu semarak hubungannya dengan Gavin adalah berlandaskan cuma kepercayaan dan kejujuran.

“Dua perkara ini cukup kuat dalam mempengaruhi keharmonian rumah tangga.

“Lagi satu, saya tengok orang kita ni, lepas kahwin jarang sekali nak keluar temu janji dengan isteri atau suami sendiri macam sebelum berkahwin.

“Saya mengaku saya dan Gavin selalu keluar temu janji sejak saya bergelar isteri dan ibu ni.

“Tak bermakna kalau dah kahwin tak boleh buat macam dulu. Padahal benda-benda macam inilah yang boleh merapatkan lagi keintiman suami isteri, ” kongsinya.

Masih tradisional

Satu yang wajar dipuji pada diri Serina, walaupun berkahwin dengan bangsa asing, dia tidak pernah menjadikan ia sebagai satu alasan untuk melupakan budaya dan adat Melayu.

Tidak seperti sesetengah orang, sanggup menidakkan jati diri sendiri semata-mata mahu dilihat urban atau barangkali menggangap budaya Melayu itu kolot.

Tidak meletakkan dirinya dalam kategori sebegitu, kata Serina, biar apa pun yang terjadi, Melayu akan sentiasa ada dalam dirinya dan tentunya jati diri itu akan diterapkan dalam diri putera kesayangannya, Tristan.

“Eh saya ni walau nampak moden dan berkahwin dengan Mat Saleh, jangan ingat saya dah berubah. Saya masih Melayu tau!

“Jangan terkejut kalau saya katakan suami saya Gavin dah hampir 70 peratus macam orang Melayu. (ketawa). Semua masakan Melayu dia makan, Belacan? Memang kesukaan dia.

“Sekarang pun dia dah pandai cakap bahasa Melayu. Tapi masih dalam proses pembelajaran lah.

“Namun saya bangga sebab sekurang-kurangnya Gavin berminat nak mendekati dan belajar budaya kita tanpa paksaan,” katanya yang sentiasa ‘cair’ bila cinta hatinya memanggilnya Sayang.

Disuruh jaga anak

Kerjayanya sebagai pelakon apatah lagi sejak popular dengan watak polis trafik menerusi drama lakonannya sejak tiga tahun lalu, Roda-Roda Kuala Lumpur, jelas sekali menampakkan jadual hariannya cukup padat.

Malah, kerana itu, menurut Serina, bapanya Chef Wan pernah ‘bising’ mengenai perkara ini gara-gara bimbang Serina mungkin akan terlepas pandang akan cucunya yang seorang itu kerana kesibukan Serina.

“Ya. Papa ada bising pasal hal ni. Takut saya sibuk sangat dengan kerjaya sampai terlepas tengok Tristan membesar di depan mata.

“Sekarang Tristan dijaga oleh orang gaji. Tapi kata Papa dia tak mahu cucunya itu dijaga sampai besar oleh orang gaji. Takut tak kenal mak pula katanya.

“Oleh sebab itu, Papa kata saya perlu berbuat sesuatu dan saya dah pun ada perancangan mengenainya,” katanya.

Mengakui mula menaruh minat untuk menceburi bidang perniagaan, kata Serina, idea tersebut telah dicetuskan oleh Chef Wan sendiri.

Mahu mula memasarkan produk kecantikan dalaman bernama Mavellous di Malaysia, kata Serina, dia melihat produk buatan Switzerland itu mampu memenuhi keperluan kecantikan dalaman dan luaran pengguna di negara ini.

“Percaya tak, semenjak pakai produk ini, saya tengok kulit papa banyak perubahan. Cantik, gebu dan licin. Semuanya berlaku dalam tempoh sebulan sahaja!

“Saya mula-mula agak skeptikal, tapi lama-lama saya rasa apa salahnya kalau saya berniaga, sekurang-kurangnya saya ada banyak masa dengan Tristan.

“Tapi saya tak kata saya akan berhenti terus dari dunia lakonan dan sebagainya, ini cuma perniagaan sampingan,” ujarnya yang turut memberitahu papanya itu merupakan duta produk tersebut.

Jelas si mulut murai ini lagi, produk ini bakal dipasarkan dalam masa terdekat di Malaysia dan mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubunginya di laman sosial www.tweeter.com/serinaredzuawan.

Dalam pada itu, Serina turut menawarkan peluang kepada peminat untuk menikmati percutian bersamanya di Belanda, Brussels, Belgium dan Paris, Perancis selama tujuh hari lima malam menerusi pakej yang istimewa.

Kata Serina, bayaran untuk pakej ialah RM7,888 akan merangkumi insuran, makan dan minum, tempat penginapan serta cukai lapangan terbang.

Bersama penerbangan Emirates, percutian yang dibawa khas oleh Corporate Information Travel Sdn.Bhd (CIT) ini akan bermula dari 13 hingga 20 September ini.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Judy Kok di talian 03-20919988 atau e-mel sebarang maklumat segera di alamat judy.kok@cit.travel.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails