Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Illa Sabry menyepi kerana...


SAYA tak merajuk pun,cuma jiwa tak rasi dalam dunia glamor. Entah-entah, saya tarik diri pun, ada yang tak perasan,’’ ringkas wanita ini merendah diri.

Penyanyi remaja di awal tahun 2000, Illa Sabry ini mengulas tentang penyepiannya. Kesempatan bertemu di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini digunakan untuk mengetahui penyebab Illa menarik diri dalam industri kira-kira tujuh tahun lalu.

“Banyak benda yang ‘tak betul’ berlaku masa zaman saya menyanyi dulu. Saya tak punya pasukan sokongan yang kuat untuk menyokong perjalanan seni saya.

“Contohnya dalam soal imej yang dipilih. Saya tak diberi pilihan untuk menentukan. Saya pula jenis yang menerima dan tak suka membantah. Kalau pun ada berlaku sesuatu tak kena, tak ada siapa yang menegur.

“Mungkin juga sebab saya bernaung di bawah syarikat yang baru. Jadi masing-masing tak punya pengalaman dalam bidang seni.

“Jadi apabila kerap kali berlaku ‘kesilapan demi kesilapan’. Saya jadi patah hati dan mula terfikir nak tarik diri,” katanya berterus-terang.

Tambahan pula ketika itu Illa sedang bergolak dengan pengajiannya, tentunya misi utama adalah menyempurnakan kuliah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Illa juga berdepan masalah apabila kursus perakaunan yang diikuti bukan kegemarannya. Nyaris terkandas kerana keputusan nilai gred purata (CGPA) di bawah paras bahaya.

Bapanya, Sabry Ali, 55, memberi amaran kepada anaknya untuk lebih serius dalam perkara tersebut.

Justeru, Illa tak punya banyak pilihan. Dia perlu menukar kursus pengajian yang lebih diminatinya. Jadi dia memutuskan untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

Perihal tersebut sekali gus menyebabkan penyanyi lagu Keranamu Kasih berhenti dari menyanyi pada tahun 2004.

Menyesal dan tidak

Ditanya adakah pemilik nama Fasillah Sabry ini menyesali dengan tindakannya berundur dalam bidang itu, pantas dia menggelengkan kepala.

Hujahnya, dia menceburi bidang nyanyian kerana minat yang mendalam. Semangat itu juga terus berkobar tak kira sama ada dia memberi sepenuh perhatian atau tidak.

Biarpun sudah meninggalkan diri dalam industri hampir tujuh tahun lalu, Illa cukup optimis dengan perjalanan seninya. Apa juga yang berlaku sama sekali tak pernah menyesali.

Ditanya adakah dia anak kelahiran Perlis ini menerima tawaran nyanyian sepanjang tempoh dia menyepikan diri, Illa menggeleng kepala. Kalau ada pun, ia dilakukan secara sukarela. Untuk melepaskan gian menyanyi di pentas.

“Yang berlalu, tak perlu lagi kita bicarakan lagi. Saya sekarang ini pun sudah ada kehidupan sendiri. Sibuk menguruskan perniagaan sendiri dan mencari peluang untuk mengembangkan lagi prospek niaga,’’ katanya yang pernah terlibat sebagai konsultan media dan perancang majlis.

Mahu menyanyi semula

Pemilik syarikat Northern Alley Sdn. Bhd. yang menyediakan perkhidmatan pengiklanan ini juga ada rancangan sendiri.

“Sekarang saya sedang merancang untuk membuat kolaborasi dengan artis dari Indonesia,’’ katanya yang bakal membuat kemunculan semula pada tahun ini.

Menjawab persoalan sama ada Illa bersedia menerima penolakan dari peminat industri seni andai kata langkahnya itu mendapat reaksi negatif, wanita ini sekadar mengangkat bahu.

“Orang sekarang memang pandai menilai mana yang baik atau tak. Kalau percubaan saya tak menjadi, saya kena akur,’’ katanya jujur di hujung perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails