Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Yasin tak merajuk


RASANYA sudah agak lama tiada berita mengenai penyanyi nasyid Yasin Sulaiman ketika ini. Kisah-kisah mengenai perjalanan karier seni yang terkenal menerusi lagu Teman Sejati itu juga sudah jarang dipaparkan di media massa.

Sehingga ada cerita-cerita kurang enak yang mengatakan penyanyi yang cukup sinonim dengan kumpulan Brothers suatu ketika dahulu sudah merajuk dan tidak mahu terbabit lagi dalam industri seni.

Malah, pernah juga diberitakan bahawa penyanyi berkenaan pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah emosi yang agak kronik sehingga tidak mahu diganggu oleh sesiapa pun.

Bagaimanapun, kesempatan bertemu penyanyi yang popular menerusi lagu Mimpi Laila dan Salsabila itu baru-baru ini, dia sempat diajukan pertanyaan mengenai perkara tersebut.

“Saya sebenarnya tidak pernah hilang dan masih lagi bergiat aktif dalam industri seni. Cuma kini saya terbabit dengan kerja-kerja di belakang tabir.

“Jadi tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan saya terus bersara dalam industri ini adalah tidak benar. Saya suka dengan kerja yang saya lakukan ini sebab rasa lebih enjoy dan puas,” ujarnya.

Menurutnya, biarpun tidak tampil di media massa, namun kariernya sebagai penyanyi masih lagi berjalan. Malah, biasanya pada hujung minggu dia turut mendapat tawaran untuk membuat persembahan pentas.

Mengenai projek terbarunya pula, beritahu Yasin, buat masa ini dia sedang sibuk menghasilkan single terbaharu menerusi lagu bertajuk Takbir Cinta, kolaborasi bersama Amy Search.

Ketika ini, lagu Nur Kasih yang juga menjadi lagu tema untuk filem Nur Kasih The Movie hasil ciptaan dan nyanyiannya bersama Tiz Zaqyah kerap berkemundang di corong-corong radio.

Sementara itu, ketika ditanya adakah dia sudah kembali semula bersama kumpulan Brothers, penyanyi berkenaan menjelaskan dia kini masih lagi bergerak secara solo.

“Walaupun tidak berada dalam satu kumpulan, tetapi saya dan Brothers masih lagi bersama. Adakalanya kami akan membuat persembahan bersama-sama atau pun kalau saya anjurkan sebarang acara, saya akan jemput mereka,” ujarnya.

Pada masa yang sama, dia kini turut sibuk menguruskan syarikatnya sendiri iaitu Hush Entertainment Sdn. Bhd. yang menjalankan kerja-kerja seperti rakaman dan penghasilan lagu.

Hampir batal

Pada tanggal 29 dan 30 April lalu, Yasin membuat persembahan pada Islamic Song Festival yang diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Antara artis yang bakal menghiburkan para peminat di Malaysia seperti La Rappel (Perancis), Fez Meghani & Aftab Ali (Amerika Syarikat), The Brothahood (Australia), Budi (Jerman) dan Aashiq al-Rasul (United Kingdom)

Bagaimanapun, persembahan yang membabitkan ramai penyanyi di serata dunia itu hampir dibatalkan kerana berhadapan masalah dengan pihak penganjur.

“Mulanya memang saya berasa agak kecewa kerana ia dibatalkan pada saat-saat akhir. Malah, kebanyakan artis luar negara yang membuat persembahan juga telah datang ke Malaysia.

“Kemudian tampil beberapa pihak yang membantu menyelesaikan masalah. Alhamdulillah, akhirnya persembahan dapat dilakukan pada 1 Mei yang lalu,” jelasnya.

Tambah Yasin lagi, dia berasa lega apabila masalah berkenaan dapat diselesaikan. Namun dia turut bimbang kerana ia boleh mencemarkan nama baik Malaysia memandangkan kehadiran ramai artis luar negara pada festival tersebut.

“Kesemua artis yang datang telah membuat persembahan meskipun hanya berlangsung sehari. Saya sendiri dapat menyanyikan lima buah lagu pada malam itu,” ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails