Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jue suka lelaki selekeh


Tak minat jejaka kacak!

PERJALANAN karier lakonan aktres kacukan Melayu-Inggeris, Juliana Evans, 22, sejak kebelakangan ini agak perlahan apabila dia mengakui sudah hampir empat bulan beliau tidak menerima sebarang tawaran berlakon drama mahupun filem. Adakah wajah Pan-Asian seperti Juliana sudah tidak mendapat tempat di hati penerbit dan pengarah atau kebanjiran ramai muka baru yang comel lagi 'bergetah', menenggelamkan terus namanya dalam industri ini? Tenang saja Juliana membuka bicara apabila dia memberitahu, selama tempoh ‘kehilangannya’ itu beliau sedang memberi tumpuan kepada pengajian dan peperiksaan, maka sebarang tawaran drama atau filem terpaksa dilupakan buat sementara waktu demi memastikan fokus terhadap pelajaran tidak terganggu.

“Habis saja peperiksaan, terus saya bercuti seminggu di Pulau Perhentian, sekarang barulah sibuk kembali ke lokasi penggambaran telefilem Kasih Ke Syurga sempena sambutan Hari Bapa, bulan depan. Saya bukannya pelakon sepenuh masa, jadi ada waktunya saya perlu lupakan seketika dunia lakonan demi pelajaran. Tak hairanlah apabila ada yang beranggapan, saya sudah hilang tawaran berlakon, padahal bukan begitu.

“Namun, saya tak pernah ambil pusing perkara itu kerana mereka yang berfikiran negatif, tak tahu cerita sebenar. Yang penting, dalam kesibukan saya mencari rezeki di bidang lakonan, pelajaran tidak ketinggalan. Saya sedar, kita tak akan berlakon sampai tua. Tiba masanya nanti, kita akan berundur. Ramai lagi muka baru di luar sana sedang berlumba-lumba mencuri peluang. Jadi, pelajaran adalah bekalan di hari tua saya,” kata Juliana atau Jue yang ditemui, baru-baru ini.

Beralih kepada cerita peribadi, Juliana mengakui sudah setahun hatinya kosong selepas putus cinta dengan Sam Bunkface, sekali gus menolak dakwaan dirinya pernah menjadi kekasih kepada Zizan Raja Lawak gara-gara gosip yang pernah melanda mereka tidak lama dulu.

Terus-terang dia mengakui, cita rasanya adalah lelaki berjiwa rock star seperti Sam. Apabila bertemu dengan yang ‘sekepala’, ikatan itu lebih serasi. Justeru, hubungan cintanya dengan Sam pernah terjalin lebih setahun dan boleh dianggap paling lama bertahan.
Sambil berseloroh, Jue mengakui sekiranya penyanyi popular seperti Faizal Tahir masih berstatus solo dan berusia awal 20-an, dia tidak keberatan menjalin hubungan cinta dengan pemuda berkenaan, namun sayang sekali kerana Faizal sudah beristeri dan mempunyai keluarga, selain berumur awal 30-an, justeru Jue terpaksa melupakan hasratnya untuk bercinta dengan rock star itu!

“Tak semestinya saya hanya bercinta di kalangan artis, sekalipun di kalangan pemuda biasa, tak jadi masalah apa-apa, asalkan dia mempunyai jiwa rock. Saya meminati lelaki yang selekeh, maksud saya selamba dan stailo, bukannya pengotor. Terus-terang, saya tak boleh ‘blah’ dengan lelaki metroseksual atau yang terlalu mementingkan ketrampilan diri. Sikit-sikit pergi spa, salon, atau kilatkan kuku, lelaki seperti itu sila jauhkan diri daripada saya!

“Bagi saya, lelaki metroseksual hanya boleh jadi kawan biasa saja, bukannya kekasih jauh sekali teman hidup. Namun, tidak bermakna saya membenci lelaki yang mengamalkan cara hidup metroseksual, cuma saya tak suka cara mereka yang terlalu control macho! Cita rasa saya lelaki selekeh, selamba dan stailo. Tapi, hingga saat ini saya belum bertemu lelaki seperti itu kecuali Sam,” katanya yang mengakui terlalu menyayangi Sam suatu ketika dulu.

Tambah Jue lagi, dia seorang yang mudah mesra, tidak hairanlah apabila timbul dakwaan melabel dia dan Zizan Raja Lawak adalah pasangan kekasih gara-gara keakraban yang mereka tonjolkan ketika sama-sama membintangi filem Hantu Bonceng, akhir tahun lalu. Jue pula senang mendampingi lelaki karakter kelakar, jadi apabila dia dan Zizan berkawan rapat, maka timbul gosip Jue sudah bertemu pengganti Sam.

Tak tunduk pujuk rayu VIP

AKUI Jue, hingga kini dia dan Zizan masih berkawan baik dan berhubungan, namun disebabkan kesibukan masing-masing, mereka jarang bertemu. Dulu apabila sama-sama membintangi Hantu Bonceng, boleh dikatakan hampir setiap hari Jue dan Zizan bertemu di set, mereka akrab, maka tidak keterlaluan apabila timbul desas-desus mendakwa mereka bercinta.

“Memang kami serasi, tapi saya tak pernah anggap Zizan lebih daripada kawan rapat. Sekalipun ramai peminat yang suka melihat kami berpasangan, so sweetlah... macam-macam orang tulis dalam Twitter, tapi saya dan Zizan tak boleh ‘blah’ (hidup bersama) ! Saya dah anggap dia macam abang yang sering ambil berat mengenai saya. Senang cakap, Zizan terlalu bro, jadi kami lebih sesuai jadi kawan baik saja,” katanya terus menafikan pernah terjebak perasaan dengan pelawak popular itu.

Ditebak pertanyaan, adakah Jue terlalu memilih dalam menentukan pasangan hidupnya, dia mendakwa senang berkawan dengan sesiapa saja, tapi apabila memasuki bab bercinta, dia memang memilih kerana sukar hendak mencari lelaki yang benar-benar ikhlas ingin berkawan dengannya. Akuinya lagi, menerusi pengalaman, kebanyakan lelaki yang mendekati dirinya kerana dia adalah Juliana Evans, bukan kerana ikhlas ingin berkawan dengan beliau.

“Saya juga susah nak percayakan orang. Menerusi pengalaman juga, saya pernah bertemu dengan lelaki yang menikam saya dari belakang. Tidak ketinggalan lelaki yang mendakwa mereka berstatus VIP, VVIP dan terdiri di kalangan kerabat diraja ingin menjalin perhubungan dengan saya apabila memberi alasan ada peluang perniagaan yang membolehkan mereka bekerjasama, tapi apabila saya tanya perniagaan apa, mereka tak jawab!

“Selagi boleh mereka ingin bertemu juga dengan saya. Saya dah tahu apa niat mereka... Saya tolak dengan elok. Tapi, mereka tak mudah putus asa, guna pula khidmat orang tengah untuk memujuk. Saya tetap dengan pendirian, saya tak memerlukan wang mereka. Saya boleh cari duit sendiri. Apa guna kita layu dengan pujuk rayu golongan seumpama itu sehingga maruah diri tergadai,” kata Jue saat ditanya pengalaman digoda golongan elit.

Ujarnya lagi, pengalaman putus cinta amat perit bagi dirinya, justeru buat masa ini pintu hatinya masih tertutup untuk menerima cinta. Sekali lagi dia mengulangi, beliau amat menyintai Sam suatu ketika dulu, justeru saat cintanya terputus di tengah jalan, hatinya bagai dirobek. Kini, dia lebih selesa hidup sendiri dikelilingi kawan-kawan baik yang menemaninya setiap masa tanpa sebarang kekangan waktu dan perasaan cemburu.

PROFIL: Juliana Evans

NAMA PENUH: Juliana Sophie Johari Evans

TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

DARAH CAMPURAN: Inggeris (bapa) dan Melayu (ibu)

KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik

PENDIDIKAN: Pelajar tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya

DRAMA: Kami The Series, Ghost, Kasut Tumit Tinggi, Sayang Cendana, Cheritera, Natrah dan Kasih Ke Syurga (sempena sambutan Hari Bapa, 20 Jun depan)

FILEM: Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Hantu Bonceng (tayangan sempena Aidilfitri, 31 Ogos depan)

PENGACARAAN: E-Zone, Majalah Moral, Bintang Kecil Raya, Remaja dan Era TV

KOMERSIAL: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600, Clean & Clear, Cadbury dan Nestle Bliss.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails