
TINGGAL lebih kurang tiga bulan sahaja lagi bagi pasangan pelakon, Beego serta Linda Hashim bakal mengakhiri zaman solo mereka. Mereka kelihatan sangat gembira ketika ditanya tentang persiapan bagi majlis perkahwinan yang bakal berlangsung pada 7 Jun ini.
Ia merupakan perkahwinan pertama buat Linda Hashim, namun perkahwinan kedua buat, Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah. Tidak kisah dengan apa yang berlaku, Linda kelihatan teruja apabila bercerita tentang persiapan bagi majlis tersebut kelak.
Bagaimanapun, ketika ditanya tentang perasaan berkahwin buat kali kedua, Linda tidak merasakan dirinya telah berkahwin sebelum ini. Justeru, dia menganggap ini merupakan perkahwinan pertama buatnya.
Ikuti temuramah Kosmo! bersama Beego dan Linda selepas majlis Anugerah Festival Filem Malaysia ke -25 di Pusat Konvesnyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Kosmo!: Bagaimanakah persiapan perkahwinan anda berdua?
BEEGO: Kami sudah pun membuat persiapan untuk majlis pada bulan Jun ini. Ia merupakan dua majlis yang sederhana iaitu pernikahan di masjid berdekatan rumah Linda dan sebuah majlis untuk resepsi.
Boleh ceritakan bagaimana detik perkenalan Beego dan Linda. Bilakah kalian mengambil keputusan untuk berkahwin?
Saya jumpa Linda ketika penggambaran drama dan ketika itu memang saya sudah lama minat dengan Linda. Jika saya nampak dia berlakon, pasti saya tidak akan tukar saluran televisyen. Selepas menaruh minat selama dua tahun lebih, saya pernah menyuarakan perasaan saya kepadanya. Namun, ketika itu, dia ingat saya main-main dan tidak serius. Tapi selepas itu, kami mula berkawan rapat.
Bilakah mula berbicara secara serius dengan Linda?
Ada satu hari, secara tiba-tiba saya bermimpi tentangnya tapi tidak ingat pula apa mimpinya. Saya terbangun dari tidur dan terus menghubungi Linda yang ketika itu berada di Mekah untuk menunaikan umrah. Dengan serius saya memintanya supaya mendoakan jodoh kami berdua di sana dan mengharapkan agar hubungan ini berkekalan hingga ke jinjang pelamin. Jika benar kami punya jodoh, pasti akan bersama jua.
Mengapakah sebelum ini seperti ingin merahsiakan pertunangan dan perhubungan anda berdua?
Bukan niat ingin merahsiakan perkara gembira ini, namun, ketika itu kami belum bincang apa-apa lagi tentang perkahwinan. Takut juga jika ingin beritahu awal-awal mungkin ia tidak menjadi. Tapi, selepas majlis pertunangan dan kedua belah pihak telah berbincang, baru kami mengaku hubungan kami berdua. Saya juga menyahut cabaran untuk mengahwini Linda dalam tempoh setahun.
Bagi Linda, ia perkahwinan pertama, namun bagi Beego ia merupakan perkahwinan kedua. Perkahwinan Beego juga dilihat tidak berjaya sebelum ini. Boleh komen?
Saya tidak rasa seperti pernah berkahwin sebelum ini. Bagi saya, ini merupakan perkahwinan pertama saya iaitu bersama Linda. Ini kerana dalam perkahwinan sebelum ini, saya hanya sempat menjadi suami selama 10 hari. Tempoh 10 hari tidak memberi saya kesempatan untuk menjadi seorang suami. Jadi, sebelum ini saya memang tidak pernah berkahwin dan ini kali pertama.
Kosmo! juga menemuramah Linda yang ternyata sangat teruja menceritakan kisah cinta dan persiapan perkahwinan mereka yang bakal diadakan kelak.