Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tidak guna rupa - Dazrin Kamaruddin

KEMUNCULANNYA dengan memegang watak Johan menerusi drama bersiri Adam dan Hawa pernah menyebabkan dia bimbang dan takut untuk keluar rumah akibat mesej berbaur ancaman daripada peminat di laman Twitter yang mengugut untuk mencederakannya. Namun, ujar Dazrin Kamaruddin, dia bersyukur kerana impak drama sentuhan Mohd Feroz Kader itu turut melonjakkan populariti dirinya yang masih hijau dalam bidang seni lakon tanah air. Tidak mahu hanyut dengan populariti yang diraihnya itu, Dazrin berkata, petanda seperti itu hanya dianggap bonus dan masih banyak perkara yang perlu diberikan perhatian buat dirinya yang masih baru. “Memang diakui drama bersiri itu telah melonjakkan nama saya dalam bidang lakonan, namun itu tidak bererti saya sudah bagus. “Saya turut mengambil peluang itu sebagai satu tanggungjawab untuk terus memperbaiki mutu lakonan supaya lebih mantap selepas ini kerana saya memang serius dalam bidang lakonan. “Saya melakukan semua ini bukan kerana ingin popular dan duit semata-mata, tetapi ia merupakan minat saya terhadap seni persembahan sejak berada di zaman sekolah rendah lagi," katanya. Selain berlakon, Dazrin juga minat terhadap nyanyian dan mengacara yang boleh membantu dia meluahkan perasaan dalam setiap persembahan yang dilakukan. Mengimbas kembali pembabitan dalam bidang hiburan tempatan, jelas jejaka yang dianggap berdarah campuran dek wajahnya mirip orang Korea, Jepun dan Cina, segala-galanya bermula apabila pulang ke tanah air untuk cuti semester dan diajak teman rapat menghadiri sesi ujibakat sebuah filem adaptasi komik manga Jepun, Apokalips X. Ibarat bulan jatuh ke riba, Dazrin memang tidak menyangka apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid itu. “Tak disangka-sangka saya pula yang terpilih untuk berlakon dalam filem arahan pengarah hebat itu," katanya menyusuri kembali sejarah awal keterlibatannya. Filem Rentaz, drama rantaian Bicara Hati, Memberku Hawa dan telefilem Mencintaimu, Setahun Setengah Mencari Cinta bukti kemunculannya dalam industri. Pelakon yang akan mencecah usia 25 tahun pada Mei ini turut memberitahu bahawa tanggungjawab sebagai pelakon amat berat dan bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu bijak menghibur serta menceriakan setiap penonton. Setiap dialog yang disampaikan juga perlu diadun dengan emosi atau perasaan yang sesuai agar penyampaian mesej akan tepat mengena ke dalam jiwa penonton, tambahnya. Tekanan sebagai pelakon makin dirasainya dengan kesudian peminat memberi sokongan dan dorongan kerana baginya peminat adalah salah satu tunjang kejayaannya. “Apabila peminat sudah beri semangat, saya perlu tunjukkan dan buat sehabis baik. Selagi boleh, saya akan berusaha untuk membuatkan mereka (peminat) tersenyum dan berpuas hati dengan setiap lakonan saya. “Ada juga peminat memberi motivasi agar saya lupakan segala kutukan dan kebencian yang diluahkan dan dilemparkan orang kerana itu satu perkara normal apabila bergelar artis," tegas anak kelahiran Kelebang Besar, Melaka itu. Drama bersiri Jodoh di Astro Ria yang kian popular juga sudah menampakkan sesuatu buat Dazrin yang mengakui sikap yang baik akan terus membawanya kekal dalam bidang seni lakon. Untuk mengukuhkan portfolionya, Dazrin juga akui dia perlu menggalas prinsip dalam kariernya sebagai pelakon seperti memberi kerjasama kepada pengarah setiap kali menerima tawaran berlakon. Banyak watak utama Memang tidak disangka kepulangannya ke Malaysia setelah tamat pengajian di Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS) lewat September 2011 membuka lembaran baharu dalam hidup dan karier Dazrin. Peluangnya kini juga semakin terbuka luas dan semestinya 2013 ini telah memberikan sinar baharu dalam kerjaya apabila menerima pelbagai tawaran dengan memegang watak utama dalam beberapa buah drama. Walaubagaimanapun, Dazrin memberitahu dia tidak akan terlalu gelojoh untuk menerima kesemua tawaran dan setiap tawaran perlu dipertimbangkan berdasarkan keupayaan dalam membawa sebarang watak. “Saya bimbang sangat tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik. Oleh itu, adalah lebih baik saya terima satu watak untuk satu masa kerana masih belum yakin untuk membuat beberapa drama sekaligus. “Saya tidak mahu pihak lain susah kerana saya sendiri perlu menjaga mutu lakonan. Hal ini bukan ingin tampil sebagai besar kepala tetapi sebagai pelakon baru rasanya saya perlu bergerak perlahan-lahan supaya dapat memberikan terbaik terhadap sesuatu kerja yang dilakukan," jelasnya. Bermula dengan watak utama dalam drama Jodoh, kini Dazrin sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Syurga Di Wajahmu yang memberikannya cabaran untuk memegang watak sebagai Tengku Lokman bergandingan dengan Ana Dahlia. Ujar Dazrin, membawa watak utama dalam sesebuah drama pasti akan menyeronokkan jika pandai mencari keserasian dengan pelakon yang digandingkan bersama. “Perjalanan dalam lakonan pasti akan lancar dan kita tidak perlu stress sehingga mengganggu mutu lakonan. Kerja biar seronok," katanya. Dalam pada itu, Dazrin menafikan bahawa dia menggunakan rupa bagi menambat hati penerbit atau pengarah untuk mengambilnya berlakon memandangkan watak utama drama bersiri kini dilihat sudah diberikan kepadanya walaupun baru menempah nama. “Ini soal rezeki, ada tawaran yang saya boleh buat, saya akan bawa. Saya akan buat selagi boleh untuk memegang sesuatu watak itu termasuk sebagai hero atau penampilan utama. “Rupa bukan segala-galanya dan mungkin hanya pembuka dalam memberi ruang atau peluang memasuki dunia lakonan," ujarnya. Untuk mengecapi kejayaan dalam lakonan, bakat perlu ada dalam diri, akui Dazrin yang kini semakin ‘laku’. “Ibarat seperti sebiji kuih, rupanya cantik tetapi belum tentu rasanya sedap. Kuih yang cantik perlu diselarikan dengan rasa yang sedap. Itulah sepatutnya yang berlaku jika kita hendak berlakon, jika rupa sahaja yang ada tetapi bakat tiada pun tidak berguna. “Saya adalah manusia biasa dan semasa berlakon saya juga perlu menjaga sikap dan patuhi etika yang ada," jelasnya yang pernah mengacarakan program In Trend di TV2.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails