Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kisah bekas Gadis Litar - Fathia

SEWAKTU penulis menghubungi Nur Fathia Abdul Latiff, 25, untuk mengadakan sesi foto di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor sempena Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia 2013 (F1), pelakon jelita itu berkata, dia akan cuba susun semula jadual kerjanya. Meskipun ketika ini Fathia sibuk menjalani penggambaran drama 13 episod Diandra, namun kerana mahu berada di lokasi yang menjadi tumpuan peminat F1 dari seluruh dunia itu, dia sanggup meluangkan masa, sedangkan pada malamnya, dia perlu berada di lokasi. Cuaca panas terik tidak menghalang Fathia untuk memberi pelbagai gaya menarik di tengah-tengah kelompok orang ramai yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu. Menurut Fathia, dia tidak kisah dengan cuaca panas kerana sebelum ini dia pernah melalui senario yang sama sewaktu bertugas sebagai Gadis Litar satu ketika dahulu. “Sebenarnya, ini kali kedua Fathia datang ke Litar Sepang. Mula-mula dulu, Fathia jadi Gadis Litar ketika berusia 17 tahun. Kalau bukan kerana sesi foto ini, entah bila Fathia dapat datang ke sini lagi. “Tugas Gadis Litar lagi teruk. Ini sehari sahaja kita berjemur panas, kalau Gadis Litar, tiga hari berturut-turut. Biasalah Gadis Litar kena payungkan pemandu, tapi waktu itu, Fathia tidak ambil kisah siapa pemandu yang berada di bawah satu payung dengan Fathia. Yang penting bayarannya mewah," katanya membuka rahsia. Kata pemegang watak Nur Amina dalam drama Nur Kasih ini, dia menyertai Gadis Litar ketika itu bagi mendapat pendedahan, selain mencuba sesuatu yang baru. “Waktu itu juga, Fathia ada buat modeling dan rasanya dengan menjadi Gadis Litar, ia dapat membantu. Jadi, Fathia pun ikutlah kawan pergi temu duga. Bukan senang nak dapat peluang itu, sebab ada beberapa temu duga. “Bagi Fathia yang masih bersekolah ketika itu, bila dibayar RM1,000 sehari dan ditempatkan di hotel mewah, mestilah seronok. Tugasan ini sedikit sebanyak mempromosi nama Fathia," akuinya yang sempat bergambar dengan beberapa Gadis Litar yang sedang bertugas ketika itu. Mengenakan gaun warna hitam bersama kasut but untuk sesi foto di tengah panas terik, membuatkan Fathia menjadi perhatian ramai dan sedikit sebanyak kerja kami terganggu. Biarpun peluh membasahi wajahnya, namun Fathia tetap mengukir senyum dan tidak mengelak untuk bergambar dengan sesiapa sahaja yang menghampirinya, termasuk pengunjung luar negara. Fathia bukan sahaja menjadi perhatian pengunjung, malah media luar negara turut tidak melepaskan peluang merakamkan gayanya yang bersahaja itu. Kata Fathia, dia tidak kisah berpanas terik demi S3 kerana sepanjang sesi foto berlangsung, hatinya diselaputi kegembiraan. Bukan kerana dia bercinta dengan mana-mana VIP seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya dia berjaya mendapat ‘cinta’ daripada seorang wanita terkenal. “Kimora, can I take a photo with you, please..." rayu Fathia pada Kimora Lee Simmons yang sudah pun melepasi pintu keselamatan menuju ke Perdana Suite. Tidak disangka, model terkenal itu berpatah balik dan berjalan ke arah Fathia untuk bergambar. “Bestnya, Fathia dapat bergambar dengan Kimora Lee yang selama ini Fathia tonton di televisyen sahaja," katanya girang. Sepanjang berada di Litar Antarabangsa Sepang dari pukul 11.30 pagi hingga 6 petang, Fathia bukan sahaja berpeluang bergambar dengan Kimora Lee, malah dia juga berkesempatan berbual dengan Alex Yoong yang ketika itu menjadi petugas media. Selain itu, Fathia turut diperkenalkan dengan anggota Earth Wind & Fire, Ralph Johnson oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. Fathia yang sedikit kecewa kerana tidak berpeluang melepak dengan unit S3 untuk menonton konsert Gun N’ Roses pada sebelah malamnya berkata, 24 Mac 2013 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan kerana dia berpeluang melakar momen indah. Kegembiraan Fathia berlipat ganda kerana pemandu kegemarannya, Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull muncul juara dan rakan sepasukannya, Mark Webber menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes AMG Petronas. Jadi tomboy Memandangkan Fathia seorang yang lasak, maka dia tidak begitu peduli apabila terpaksa ‘berjemur’ sepanjang sesi foto ini. Disebabkan sikapnya yang lasak itulah, Fathia berkata dia suka dengan watak Diandra yang dilakonkan ketika ini. “Tak perlu buat rujukan mana-mana untuk watak tomboy begitu kerana Fathia sendiri memang jenis ‘kasar’. Sebab itulah semasa sekolah dulu, Fathia aktif sukan bola keranjang. Fathia juga suka rock climbing dan muay Thai. “Sebenarnya watak begini telah lama Fathia tunggu dan sekarang baru dapat. Fathia berlakon dengan Aiman Hakim Ridza yang pegang watak Adam. Karakter kami jauh berbeza. Dia jenis ‘mat bunga’ yang nak semuanya sempurna, sedangkan Diandra jenis sempoi," ujarnya yang menjadi pembantu peribadi kepada Adam di dalam drama itu. Untuk watak itu, Fathia tidak mengenakan solekan tebal, sentiasa memakai topi dan sanggup membeli kemeja lelaki khas untuk drama tersebut. Kata Fathia, dia tidak ada masalah untuk berlakon bersama Aiman yang popular menerusi drama Vanila Coklat. Drama yang bakal disiarkan di TV3 itu, merupakan drama terakhir Fathia untuk tahun ini kerana dia ingin tumpukan perhatian pada pengajian ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. “Sepatutnya Fathia sudah selesai pengajian, tetapi tahun lalu Fathia tangguh satu semester, jadi kali ini kena habiskan juga. Tak boleh tangguh-tangguh lagi. “Sekarang ini, Fathia ada kelas dari hari Isnin hingga Rabu. Hari berikutnya barulah Fathia tumpu pada lakonan. Nak habiskan drama ini dulu, barulah Fathia fokus pada pelajaran," katanya yang akan terbang ke Perancis pada 23 April ini. Jelas Fathia, dia bukan sahaja terpaksa mengehadkan lakonan, malah lebih teliti membuat keputusan kerana mahu setiap drama lakonannya memberi impak kepada penonton dan kerjayanya. Fathia yang berlakon dalam drama Dalam Setiap Sujud bersama Keith Foo itu juga menafikan yang dia ada hubungan cinta dengan pelakon yang mencipta nama di Indonesia itu. “Hubungan kami sekadar rakan artis sahaja. Fathia senang berkawan dengan Keith sebab dia suka bercerita tentang pengalamannya berlakon sinetron di negaranya. “Memang Fathia ada dapat tawaran berlakon di Indonesia, tetapi buat masa sekarang, Fathia tidak mampu sebab terikat dengan banyak komitmen. Kata Keith, dia pun mengambil masa dua tahun untuk membuat persiapan sebelum berlakon di sana. Biarlah Fathia cipta nama di tanah air dulu," katanya. Diburu VIP Menjadi wanita jelita membuatkan dirinya sentiasa menerima perhatian kaum Adam terutamanya daripada golongan pihak atasan. Jujurnya, Fathia mengaku setiap kali timbul cerita yang mengaitkannya dengan VIP, dia menjadi tertekan kerana semua itu tidak benar. “Kalau selalu sangat dikaitkan dengan VIP, susahlah Fathia nak cari calon suami. Takut orang ingat Fathia ini memilih. Sebenarnya, Fathia hanya mahukan seorang lelaki yang sedap mata memandang dan mampu membimbing Fathia menjadi isteri solehah," katanya tanpa berselindung.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails