Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hidup baru Miera Liyana

KATA orang, pengalaman mendewasakan kita dan perkara itu nampaknya betul-betul kena dengan situasi yang dialami oleh pelakon muda ini yang semakin mendapat tempat di layar perak. Bagi Miera Liyana, pengalaman lalu sebenarnya banyak mengajar dia untuk berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan. Selain itu ia turut mengajar dirinya untuk tidak terlalu terburu-buru dalam mengejar sesuatu. Tanpa berselindung, Miera mengakui kisah cinta bersama bekas kekasihnya, Shahrizal Jaszle, sedikit sebanyak memberi pengajaran yang bermakna dalam hidupnya. Malah dalam masa yang sama telah membuatkan dirinya bertambah kuat untuk mengharungi hari-hari mendatang. "Saya akui, kegagalan hubungan kami sebenarnya mempunyai hikmah yang besar. Masa bercinta dengan dia, saya hanya fikir mengenai cinta sahaja. "Maklumlah, ketika itu saya merasakan saya baru sangat lagi mengenal cinta. Kiranya ketika itu cinta adalah segala-galanya bagi saya. "Saya lupa mengenai perkara lain kerana meletakkan keutamaan kepada hati dan perasaan sahaja. Tapi bila difikirkan balik, saya sebenarnya dah buang banyak masa ketika itu. "Mujurlah perhubungan tersebut berakhir dan membuatkan saya tersedar bahawa masih terdapat banyak lagi perkara yang lebih penting daripada cinta," jelasnya ketika ditemui majlis pelancaran filem-filem terbitan Grand Brilliance 2012 di ibukota baru-baru ini. Tidak mahu bersedih dan terus hanyut melayan perasaan, Miera tangkas bangun dan kembali bangkit untuk menempuhi perjalanan seninya yang kini semakin mendapat perhatian. Bagaikan baru memulakan langkah baru, Miera kini mahu lebih fokus terhadap bidang kerjaya dan tidak mahu memikirkan sangat mengenai soal cinta buat masa ini. "Memang saya kesal dengan perkara yang berlaku tapi saya juga perlu meneruskan kehidupan. Malah saya juga belajar bahawa tindakan untuk menghebahkan status hubungan kepada orang ramai bukanlah sesuatu yang menarik untuk dilakukan dan sedikit sebanyak merobek privasi kita. "Apa-apa pun, sebenarnya saya juga perlu berterima kasih kepada dia kerana telah memberi pengajaran kepada saya bahawa cinta itu bukanlah segala-galanya. "Saya lebih suka dengan kehidupan saya sekarang. Tidak lagi terbelenggu atau dikawal dengan pelbagai perkara dan kerenah," katanya. Ketika ditanya adakah dia sudah mempunyai pengganti dan mungkin sudah ada cinta baru yang sedang berputik, Miera menafikan perkara tersebut sambil tertawa kecil. "Buat masa ini tidak mahu sangatlah fikir mengenai perkara tersebut dan cukuplah jika saya hanya berkawan sahaja," katanya. Tiada dendam Jika kini bekas kekasihnya itu sudah melangkah setapak untuk menghadapi dunia perkahwinan, Miera pula masih senang bergelar solo tanpa sebarang komitmen. Namun Miera mengakui kini dia tidak menyimpan sebarang dendam malah turut mendoakan agar bekas kekasih dan pasangannya itu akan terus bahagia. "Saya memang tidak ada simpan perasaan dendam atau marah kepada Shahrizal kerana hubungan kami telah berakhir. Dah jadi sejarah dah pun. "Mungkin jodoh dia sudah sampai. Saya percaya setiap manusia boleh berubah dan kini giliran Shahrizal untuk berubah apabila dia bersama dengan pasangan hidupnya itu. "Apa yang dilakukannya sekarang ini adalah untuk masa hadapan dia sendiri. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk dia," jelas Miera penuh jujur. Miera dan Shahrizal sebelum ini pernah menafikan bahawa hubungan mereka retak malah menganggap perkara tersebut sebagai fitnah. Malah sebelum ini, Shahrizal juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia betul-betul mahu mengahwini pelakon muda itu namun nampaknya impian tidak kesampaian. Kenyataan Shahrizal ketika dia mula-mula bercinta dengan Miera juga pernah membuatkan seorang pelakon muda, Lash Mokhtar, tersinggung kerana Miera dikatakan rapat dengannya sebelum itu. Namun kini semuanya sudah berakhir. Miera dan Shahrizal masing-masing sudah mengatur langkah sendiri dalam meneruskan kehidupan dan karier mereka dalam industri seni yang penuh berliku ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails