Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Dua tahun lagi - Sharnaz
APABILA terlihat sahaja kelibat lelaki ini, tidak dapat tidak, soalan mengenai kekasih hatinya, Shila Amzah pasti menjadi persoalan.
Malah sempena kehadiran Syawal ini, keluarga kedua-dua belah pihak sudah bertemu dan kemesraan yang terjalin memberi petanda positif terhadap hubungan kedua-duanya.
Apatah lagi sejak akhir-akhir ini cerita mengenai mereka makin banyak tersiar di dada akhbar dan majalah.
Bak belangkas ke sana ke mari, sudah pasti ramai yang mahu melihat pasangan merpati dua sejoli ini melangkah ke alam yang lebih pasti - sebagai suami isteri.
Tidak mahu berselindung Sharnaz mengakui bahawa memang dia dan Shila kini merancang untuk meneruskan selangkah lagi dalam perhubungan mereka ke tahap yang lebih serius.
Dia memberikan jangka masa dua tahun lagi untuk mereka menuju ke gerbang perkahwinan dan mengikat kasih ke jenjang pelamin.
Malah Sharnaz optimis biarpun ada kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap perhubungan mereka gara-gara kurang senang dengan keterbukaan masing-masing apabila berbicara soal cinta.
Menurut Sharnaz, dia tidak mahu berahsia apalagi berbohong mengenai hubungannya dengan Shila hingga membuatkan peminat mereka tertanya-tanya.
"Tak kisahlah jika ada orang nak bercakap mengenai kami. Orang nak cakap apa pun, cakaplah. Saya dah tak kisah.
"Insya-Allah, kami sememangnya meletakkan masa dua tahun untuk ke melangkah ke gerbang perkahwinan.
"Perkara ini bukan boleh buat main-main. Apabila berbicara soal jodoh, saya memang serius," jelasnya jujur dan serius apabila disoal mengenai perjalanan cintanya ketika ini.
Memandangkan usia Sharnaz sendiri yang sudah berusia 27 tahun, dia tidak mahu lebih banyak masa terbuang dan mahu menggunakan setiap detik dengan lebih bermakna dan tidak tersia-sia begitu sahaja.
Panas baran
Kemunculan jejaka ini di dalam industri lakonan sememangnya merupakan penambah seri lagi kepada barisan hero tanah air.
Malah Sharnaz juga dilihat bagaikan sudah sebati dengan watak panas baran yang sering kali dibawakan olehnya.
Malah, tidak salah kiranya dikatakan kerana keberkesanan dalam menghayati sesuatu watak yang dibawanya membuatkan penonton mampu berasa cukup benci dengan dirinya.
"Kalau nak diikutkan, kebanyakan watak yang saya bawa memang menunjukkan seperti saya ini sebagai seorang yang panas baran.
"Kalau teringat balik zaman muda-muda saya, memang saya ini jenis darah panas. Tapi saya marah kerana bersebab. Saya tidak akan panas baran sesuka hati," jelasnya.
Tambahnya, Shila juga sememangnya sedia maklum dengan perangainya itu tetapi dalam masa yang sama, anak kepada penyanyi ND Lala itu juga tahu dia hanya akan marah jika dicuit perihal perkara-perkara berkaitan keluarga, insan tersayang dan rakan-rakan rapat.
"Ketika mula-mula berkenalan, Shila sendiri tahu saya memang macam ini. Tapi sejak mula kenal dengan dia jugalah sikap panas baran saya ini semakin berkurangan.
"Selain itu mungkin juga atas faktor usia. Ayah dan abang saya yang sebelum ini garang pun dah jadi cool sekarang," kata pemuda yang pernah membawakan watak panas baran dalam drama Di Bawah Langitmu bersama Nora Danish.
Mengakui masih lagi baru dalam bidang lakonan dan perlu banyak belajar lagi, Sharnaz sangat berterima kasih kerana diberi peluang untuk berkarya dan seterusnya membina kekuatan karakter dengan lebih mendalam dan berkesan.
Namun, Sharnaz juga akur jika ada pihak membenci dan tidak menyenangi kehadirannya dalam industri hiburan.
"Jika ada orang tidak suka dan suka memburukkan nama saya, saya tidak boleh buat apa-apa. Lagi pun bukan mereka yang memberikan rezeki kepada saya.
"Bagi saya, mana-mana individu yang menuduh saya bukan-bukan tersebut tidak mengenali diri saya dengan lebih dekat.
"Apa-apa pun saya bersyukur kerana masih ramai lagi pihak yang memberi kepercayaan kepada saya," kata pelakon drama bersiri Bukan Bidadari.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]