Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Neelofa yang sensasi

PENANGAN populariti yang dikecapi gadis ini di dalam waktu yang cukup singkap memberi impak tersendiri buat kehidupannya. Tidak dinafikan setiap langkah seninya ditemani pelbagai kontroversi hebat yang terus menguji diri. Cukup malas rasanya mahu membongkar setiap deretan cerita sensasi yang pernah menghinggapi gadis manis ini. Yakin dia mampu mengharungi segala dugaan, Noor Neelofa Mohd Noor, 23, tetap akui kuasanya cukup terbatas di dalam menjadi terlalu sempurna. Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, gadis berkulit putih ini mengakui dia juga sebenarnya sedang berusaha agar kariernya terus mekar. Menyentuh soal komitmen sebagai pelakon, pengacara dan duta beberapa produk kini, Neelofa tidak menafikan jadualnya agak padat. Masih meletakkan karier lakonan sebagai keutamaan, Neelofa akui dia sedang berusaha keras mahu membuktikan sesuatu. "Saya akui lakonan saya agak kurang menyerlah. Tapi harus saya tekankan di sini saya masih baru dan saya akan terus belajar," katanya kepada Hits ketika hadir untuk sesi fotografi baru-baru ini. Dalam membuktikan kenyataannya itu Neelofa turut akui dia tidak kisah jika ditawarkan watak-watak antagonis di dalam memberi impak kepada penonton. "Mungkin watak lakonan saya sebelum ini agak terbatas, jadi peminat sukar untuk melihat kemampuan saya. "Pada saya, saya lebih suka untuk membawakan watak yang lebih berani seperti penggoda misalnya, ia lebih mudah diingati penonton," katanya jujur. Menyangkal komitmen terhadap bidang pengacaraan menyebabkan fokusnya di dalam lakonan terjejas, Neelofa percaya dengan umurnya yang masih muda, dia senang memilih untuk bereksperimen. "Tidak salah rasanya untuk mempunyai banyak pilihan dan saya tidak akan tinggalkan mana-mana bidang. "Bagi saya bidang pengacaraan dan lakonan merupakan fokus utama saya kini jadi saya akan tetap berusaha untuk memantapkan diri saya di dalam kedua bidang ini," katanya yang merupakan heroin filem Azura, arahan Aziz M.Osman. Tatkala ada kata-kata kasar yang mengatakan pengacara Nona ini semakin berlagak diva termasuk ditegur oleh penerbit Datuk Yusof Haslam apabila enggan mengikuti promosi filem Saya Amat Mencintaimu (SAM), ada jawapan logik yang mahu diberikan Neelofa mengenai hal tersebut. Ternyata kesibukan dirinya memberi ruang buat cerita tidak benar ini terus menular. "Mungkin jadual saya agak ketat, jadi saya agak sukar untuk menuruti mana-mana permintaan jika dibuat dalam waktu yang amat singkat. Bagaimanapun sebagai pelakon saya akan tetap mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan," jelasnya. Rezeki kontroversi Di kala dirinya tidak putus-putus dikaitkan dengan pelbagai cerita panas Neelofa memberitahu, hal itu tidak pernah menjejaskan rezekinya dalam bidang lakonan. Menurut pelakon utama drama bersiri Kau Yang Terindah ini, lakonan bukan sekadar cabang pekerjaan tetapi ada misi yang mahu dicapainya. "Setakat ini saya masih menerima tawaran namun ada suatu ketika saya terpaksa menolak kerana jadual yang agak ketat. Bagaimanapun setakat ini saya sangat bertuah untuk di beri peluang berada di bawah pengarahan beberapa nama besar yang sekian lama saya idamkan seperti Erma Fatimah dan Osman Ali," katanya. Dengan wajahnya menghiasi setiap papan iklan, program televisyen, drama dan filem Neelofa menegaskan bahawa dia tidak tamak sebaliknya percaya sebagai orang baru dia perlu berusaha keras memahat nama dalam industri ini. "Ini antara langkah yang saya ambil untuk mengukuhkan nama saya. Bagi saya belum masanya untuk saya meletakkan syarat di dalam karier saya," katanya. Tahu tidak selamanya bidang lakonan akan menjadi periuk nasinya, Neelofa kini mempunyai agenda tersendiri di dalam menjamin masa hadapan. Menurut Neelofa, dia kini sedang mengusahakan beberapa perniagaan miliknya sendiri. "Saya tahu tidak selamanya saya akan diperlukan. Jadi kesempatan itu saya ambil untuk masa depan saya, bagaimanapun buat masa ini saya hanya mahu membiarkan ia berjalan secara rahsia dahulu," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails