Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Teraju karier Scha - Awal

PERNIKAHAN dua merpati sejoli ini pada 4 Mei lalu merupakan antara yang dinantikan peminat. Ramai yang mengatakan gandingan mereka berdua sangat sepadan, bagai pinang dibelah dua. Kini setelah hampir empat bulan mereka menempuh kehidupan sebagai suami isteri, Scha dan Awal nyata seronok menjalani kehidupan bersama. Berkesempatan bertemu dengan pasangan ini pada satu majlis yang diadakan di ibu kota baru-baru ini, sempat juga Hits bertanyakan tentang perjalanan kehidupan dan juga karier mereka. Menurut Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih mesra disapa Awal, jika boleh, dia tidak mahu meninggalkan Scha berseorangan di rumah dalam jangka masa yang lama. "Jika ada penggambaran ataupun rakaman rancangan televisyen, saya akan cepat-cepat pulang ke rumah setelah semuanya selesai. "Saya tahu Scha macam mana dan saya tak nak dia berseorangan dalam jangka masa yang lama. "Kadang-kadang ada juga dia ikut saya pergi ke lokasi penggambaran atau rakaman tetapi tidaklah terlalu kerap," jelas Awal seperti menampakkan lagi sisi manis dan bahagia pasangan itu. Perjalanan karier Setelah agak lama menyepi di dalam bidang lakonan, nampaknya Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya kini mahu tampil dengan watak yang berbeza. Kata Scha, jika sudah terlalu kerap membawakan watak yang sama bakal membuatkan tahap lakonan seseorang pelakon itu tidak ke mana kerana tidak pernah mencuba sesuatu yang baru. "Buat masa sekarang, saya agak memilih dalam setiap karakter yang saya mahu bawakan. "Sebab itu dalam filem Dampak, saya mencuba watak yang tidak banyak bercakap tapi menzahirkan sesuatu situasi tersebut dengan bahasa badan," jelasnya. Membawakan watak Suria, filem Dampak merupakan terbitan Displaymax Sdn. Bhd. yang telah selesai penggambaran Julai lalu. Selain itu, tindakan selektif yang dilakukan oleh Scha juga merupakan salah satu langkah baginya dalam menjaga batasan sebagai seorang isteri. "Bila sudah berkahwin, banyak hati yang perlu dijaga. Kadang-kala ada juga dapat tawaran yang melebihi batasan yang saya tetapkan. "Saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara yang bakal membuatkan pihak keluarga saya sendiri, suami dan juga keluarga mentua berasa malu," jelasnya lagi. Selain itu, Scha juga mengakui jika boleh dia tidak mahu berlakon sekali bersama Awal kerana dia sudah cukup masak dengan perangai suaminya itu. "Kalau berlakon dengan watak yang perlu bermain dengan perasaan yang sangat mendalam, rasanya kami memang tidak boleh berlakon bersama. "Lagipun saya dah kenal sangat dengan perangai Awal. Nanti lebih banyak gelak daripada berlakon," katanya sambil tersenyum kecil. Anak Dalam masa yang sama, Scha sempat memberitahu bahawa dia kini masih lagi belum mengandung namun dalam masa yang sama turut menjelaskan bahawa dia dan Awal sememangnya tidak merancang. "Kami memang tidak merancang dalam soal ini. Insya-Allah jika sudah rezeki, tidak ke mana. Cuma kena bersabarlah buat masa ini," kata pelakon drama bersiri dan filem Awan Dania itu lagi. Tidak salah kiranya dikatakan sememangnya ramai menantikan kehadiran cahaya mata pasangan ini malah Scha sendiri mengakui memang ada yang sudah menggambarkan bahawa anak mereka nanti pasti secomel mereka berdua. Sementara itu, bagi Awal, dia kini sudah pun bersama rancangan hiburan Melodi yang disiarkan di TV3 dan perkara itu dianggapnya sebagai satu perkara yang sangat bertuah. "Pada mulanya memang saya hanya menjadi jemputan sahaja di dalam rancangan tersebut tetapi apabila diberi peluang untuk menjadi pengacara tetap, saya sangat bersyukur. "Memang rasa terharu jugalah kerana diberi peluang mengacarakan rancangan tersebut. "Selain itu, saya juga ada berbincang dengan Scha untuk membuat rancangan sendiri. Kiranya dalam rancangan tersebut ada slot untuk bual bicara dan juga permainan. "Tapi apa-apa pun setakat ini ia hanya di peringkat perancangan sahaja," katanya. Malah Awal berkata bahawa dia bakal meneruskan pengacaraan dalam rancangan Awal Lagi untuk musim kedua yang akan disiarkan secara langsung di TV9 tidak lama lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails