Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lebih popular sebagai pelakon - Leez

BIDANG seni boleh diibaratkan sebagai suatu perjudian bakat. Ada orang yang berbakat dan menceburi sesuatu bidang seni seperti nyanyian tetapi lebih diterima dalam dunia lakonan. Ini kerana, minat dan bakat sahaja belum memadai tetapi penerimaan para peminat adalah faktor penentu kejayaan seseorang artis itu. Bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Leez antara anak seni yang mengharungi pengalaman tersebut. Meskipun amat meminati bidang seni suara dan pernah merakamkan sebuah album berjudul Merah Itu Cinta pada 2009 tetapi sejak kebelakangan ini dia lebih menyerlah sebagai pelakon drama, telemovie dan filem. Menurut pemilik nama sebenar Rosliza Rosli ini, dia bersyukur kerana biarpun album yang dirakam tiga tahun lalukurang menyerlah tetapi namanya terus mekar dalam dunia hiburan tanah air. Cuma kali ini kata Leez, pembabitannya dalam bidang lakonan lebih menyerlah berbanding nyanyian. "Merah Itu Cinta adalah album pertama saya yang mengandungi 10 buah lagu yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Metro News. Saya akui, album itu sambutannya kurang menggalakkan. Mungkin ketika itu, malah sehingga kini pun jualan album penyanyi-penyanyi tempatan agak lembab di mana ramai yang hanya buat album single," katanya. Penyanyi dan pelakon berusia 25 tahun ini berkata, biarpun jualan album itu kurang memberangsangkan dia tetap menerima undangan menyanyi di merata-rata tempat. Dia tidak mengharapkan populariti lagu-lagu daripada albumnya itu semata-mata sewaktu mengadakan persembahan pentas di merata-rata tempat. Sebaliknya, Leez turut membawakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lain seperti lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi nyanyian Mulan Jamilah pada persembahan yang diadakannya. Kemunculannya tetap mendapat sambutan ramai kerana masih ada peminat yang mengenalinya sebagai bintang AF4 kira-kira lima tahun lalu. Tambah merudumkan aktiviti nyanyian Leez apabila komposer Man Toba yang menjadi pengurusnya selepas AF4 tamat lima tahun lalu meninggal dunia pada 2009. Sejak saat itu, penyanyi bersuara lantang ini terkontang-kanting bergerak sendirian dalam menguruskan kerjayanya seninya. "Sewaktu arwah Abang Man Toba ada dialah yang banyak mencarikan peluang untuk saya mengadakan persembahan di merata-rata tempat. Selain menulis lirik lagu, Man Toba juga adalah pengurus saya. Dia menguruskan saya sepenuh masa selepas saya keluar daripada AF4 iaitu dari 2007 hingga 2009. "Selepas Man Toba meninggal dunia sampai sekarang saya tiada pengurus. Semua aktiviti dalam bidang nyanyian saya uruskan sendiri di mana lama kelamaan nama saya seakan-akan tenggelam begitu sahaja dalam dunia hiburan tempatan," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Pada pertemuan itu, Leez hadir pada majlis pratonton menerusi filem terbaru lakonannya berjudul Sofazr The Movie Jiwa Kacau arahan Isma dan Tauke Jambu terbitan Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd. yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 27 September ini. Idam watak mencabar Leez yang mula aktif berlakon sejak kira-kira tiga tahun kebelakangan ini semakin serasi dengan bidang yang diceburinya itu. Malah, dia kini semakin banyak diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah untuk melakonkan pelbagai watak sama ada dalam drama bersiri, telemovie ataupun filem cereka yang semakin menyerlahkan namanya. Anak bongsu daripada tiga beradik ini misalnya, banyak kali mendapat pendedahan dalam drama bersiri dan telemovie lakonannya yang banyak disiarkan di saluran-saluran televisyen Astro sejak kebelakangan ini. Adakalanya dia seperti tidak menang tangan untuk menerima semua tawaran berlakon yang diberikan. "Sekarang ini tawaran berlakon yang saya terima lebih banyak daripada undangan menyanyi berbanding sewaktu selepas saya keluar daripada AF4 dulu. Ini menunjukkan para penerbit, pengarah dan peminat mungkin lebih menerima bakat saya sebagai pelakon berbanding dalam bidang nyanyian setakat ini. "Contohnya, saya baru sahaja habis menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Tiara sebanyak 20 episod selama hampir 45 hari di mana ia akan ditayangkan melalui Astro Prima tidak lama lagi. Walaupun penggambaran agak lama tetapi itu menunjukkan saya ada kerja dan sibuk dengan berlakon sehingga kini," ujarnya. Leez yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, meskipun semakin banyak tawaran berlakon diterimanya tetapi dia berharap akan mendapat watak-watak yang mencabar sama ada dalam drama atau filem. Ini penting katanya bagi menguji kemampuan bakatnya yang sebenar dalam bidang lakonan yang penuh dengan persaingan. Dia yang melakonkan watak bernama Wangi dalam Sofazr The Movie Jiwa Kacau belum berpuas hati dengan lakonannya dalam filem yang turut menampilkan pelakon seperti kumpulan Sofazr, Hamid Gurkha, A.R. Badul, Jepp Sepahtu dan Yassin biarpun dalam filem itu dia melakonkan watak gadis yang bertudung. "Bagi saya melakonkan watak seorang gadis bertudung tidak berapa susah kerana saya dulu pun pernah bertudung. Ini kerana, sebelum menyertai AF4 saya bertudung, malah sewaktu zaman persekolahan saya dulu pun saya bertudung. Jadi, saya tiada banyak masalah untuk menghayati watak Wangi dalam filem itu. "Kalau boleh pada masa depan saya mahu melakonkan watak yang lebih mencabar seperti watak seorang tua atau wanita gila. Ini penting bagi mempelbagaikan lagi watak lakonan saya supaya para penonton tidak jemu dan kerjaya saya dalam bidang ini juga akan terus berkembang pada masa depan," jelasnya penuh harapan. Bekas pelajar Sekolah Menengah Desa Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur ini yakin berasa belum terlambat untuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan biarpun ramai peminat yang seolah-olah sudah melupakan namanya sebagai salah seorang bintang AF4 selepas ia berakhir lima tahun lalu. Ujar Leez, dia akur dengan hakikat itu dan sentiasa positif dalam menerokai apa juga bakat seni yang ada dalam dirinya pada masa depan. Cuma katanya, dia akan memberi lebih tumpuan kepada bidang lakonan pada masa ini di samping pada masa sama sukar melupakan bidang nyanyian yang memang diminatinya sejak dari kecil lagi. "Saya sekarang ini lebih menumpukan kepada bidang lakonan tetapi itu tidak bermakna saya hilang minat terhadap nyanyian. Kalau ada rezeki saya mahu merakamkan sebuah album single. "Saya sanggup mengeluarkan duit atau modal sendiri untuk rakaman album itu demi minat dan kepuasan saya dalam bidang nyanyian. Album single itu hanya akan mengandungi sebuah lagu sahaja ," ujarnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails