Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nabila, antara kembara dan karier

INI memang bukan catatan pertama tentang kembara solonya ke Afrika, tetapi Nabila Huda punya sebab untuk berasa bangga dengan kembara yang ditempuhinya baru-baru ini. Pertama, dia mengaku tidak menyangka kunjungan ke negara yang jauh berbeza dari segi sosio dan budaya serta ekonominya itu berbanding Malaysia lebih daripada sekadar berbaloi. Kedua, pelakon yang mesra disapa Abil itu menyatakan memilih Afrika, lebih khusus ke Kenya merupakan pilihan yang tepat biar pemergiannya ke sana hanya berbekalkan mimpi yang kabur. Ketiga, dia menggali banyak pengalaman berguna sebagai seorang pengembara wanita solo dan begitu teruja untuk meneruskan misi kembara secara solo selepas ini setelah mampu bertahan di bumi yang cukup asing bagi dirinya. Banyak lagi yang disenaraikan oleh Abil tentang kembara tersebut. Momen itu masih basah dalam kotak memori Abil. Jauh dia terbang meninggalkan bumi Malaysia menuju Afrika hanya berbekalkan bacaan dan keinginan untuk menyelam ke dasar laut Pulau Watamu, Kenya. "Malangnya, apabila sampai di sana, cuaca buruk dan saya dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti pantai, termasuk menyelam," ujarnya. Justeru dia memilih alternatif aktiviti yang tidak kurang menarik. "Saya pilih ke safari, satu aktiviti pelancongan wajib buat bila kita ke Afrika dan ternyata ia merupakan pengalaman yang tidak kurang mengujakan," jelas Abil.
Namun hal yang paling mengesankan dirinya sepanjang berada di bumi asing tersebut adalah tentang kelangsungan hidup masyarakat pribumi yang begitu kuat terikat dengan tradisi, terutama bagi masyarakat Masai yang dikunjunginya di sebuah kampung. Modenisasi jauh ketinggalan dalam kehidupan dan mereka hidup seadanya. Itu satu pemandangan asing yang tidak mungkin dia perolehi jika tidak memilih Kenya sebagai lokasi kembara 'gilanya' serta membuat dia berasa cukup bersyukur dan bertuah kerana menjadi anak Malaysia yang hidup dalam sebuah negara hampir lengkap semuanya. "Saya kira pengalaman kembara ke Kenya merupakan pengalaman paling bernilai dalam hidup saya. Lebih-lebih lagi apabila saya dapat mendekati masyarakat Masai yang hidup dalam keadaan dan budaya kuno mereka. "Rata-rata mereka masih memakai pakaian tradisional, tinggal di dalam rumah yang diperbuat daripada lumpur, memakan hasil tanaman sendiri dan paling penting, masih mengamalkan ritual meminum darah kambing yang menjadi tradisi masyarakat Masai," ujarnya yang juga memberitahu terpegun dengan sikap sopan santun kaum wanitanya. Mendefinisikan Kenya sebagai antara negara termiskin yang pernah dilawatinya, namun kata Abil, kemiskinan tersebut telah membuat masyarakat di sana bekerja keras dan lebih menghargai setiap kehidupan mereka. Ujarnya: "Walaupun hidup daif, tapi mereka ada kekayaan dari segi lain, terutama hasil bumi dan bagaimana mereka begitu kreatif menghasilkan seni. Paling penting, kehidupan mereka yang masih dalam ruang tradisional membuat saya jatuh cinta." Bagaimanapun kata Abil, jangan terkejut apabila bercakap tentang bahasa yang digunakan penduduk di sana. Biar mempunyai banyak dialek tersendiri, namun hampir semua masyarakat menggunakan bahasa Itali sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi. Malah oleh kerana pengaruh Itali begitu kuat di sana, terdapat banyak restoran Itali dibuka dan hampir banyak perniagaan dikuasai oleh orang Itali. Program travelog Mahu bercerita tentang kembaranya ke Kenya, barangkali ia lebih mengujakan apabila dibuat dalam bentuk visual berbanding penulisan. Berbekal sebuah telefon pintar iPhone, kamera serta sebuah kamera video, Abil merakam kembaranya agar dia mampu berkongsi kisah dengan peminat. Menariknya, ada pihak yang berminat dengan kembara solo yang dilakukan anak rockers Amy Search ini. Dia telah ditawarkan untuk membuat dokumentari atau travelog tentang kembara ke Kenya tersebut. "Ya, ada yang mahu membuat travelog untuk saya. Sebab itu, untuk pertama kali juga saya telah membawa kamera video untuk merakam momen-momen saya di sana. "Bagaimanapun, suka untuk saya maklumkan, sebagai seorang amatur merakamkan pengalaman dalam bentuk visual, mungkin rakaman saya tidak begitu bagus," ujarnya. Malah jika diberi peluang, dia begitu teruja untuk membikin lebih banyak dokumentari tentang kembaranya selepas ini. Korea Selatan Kurang 24 jam berada di Malaysia sebaik pulang dari Afrika, Abil terbang ke Korea Selatan pula. Kali ini, dia ke Korea atas tuntutan kerja. Kini sedang berada di sana untuk tempoh 10 hari, Abil giat menjalani penggambaran drama Julia untuk slot Akasia bersama Fizo Omar, Izreen Azminda dan ramai lagi. Dalam masa yang sama, dia turut menjalani sebuah lagi produk untuk terbitan TV9. Memuat naik banyak gambarnya di Korea menerusi laman sosial Instagram miliknya, ia ternyata menarik perhatian banyak pihak. Sementelah gambar-gambar yang dimuat naik tampak begitu cantik. Mengulas tentang hal tersebut, kata Abil: "Saya amat sayangkan karier saya. Karier saya telah membawa saya ke merata dunia. Bukan sekadar menerusi lakonan, tetapi duit yang saya kumpul dari hasil titik peluh berlakon ini juga saya gunakan untuk mengembara. "Bagi saya, sementara saya kini sudah kembali hidup solo dan masih muda, saya mahu pergi mengembara ke sebanyak mungkin destinasi yang saya ingin. Mengembara adalah impian saya sejak dulu dan kini saya sedang merealisasikannya satu persatu." Malah untuk mengatur kerjanya dengan lebih baik, Abil kini buat pertama kalinya telah bernaung di bawah payung syarikat pengurusan Kartellohello. Menjadi pelakon pertama yang bernaung di bawah syarikat tersebut, dia percaya Kartellohello mampu membantunya melebarkan sayap dengan lebih besar selain menguruskan kariernya dengan lebih teratur.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails