
JANGAN pernah mempersoalkan isu berat badan dengan kaum wanita kerana hakikatnya, tiada wanita yang suka bila mereka ditegur mengenai berat badan.
Apatah lagi dengan secara terus memanggil atau menggelar mereka dengan perkataan gemuk. Itu sememangnya boleh menyinggung perasaan orang yang dimaksudkan.
Situasi inilah yang dihadapi oleh pelakon dan pengacara Ifa Raziah. Hanya kerana dia diuji dengan penyakit yang membuatkan tubuhnya sedikit berisi daripada biasa, Ifa kemudiannya terpaksa berdepan dengan dugaan lain apabila pihak stesen televisyen mahupun produksi drama menolak penglibatannya di kaca tv.
Dek kerana itu, Ifa dikatakan telah merajuk gara-gara tidak tahan dengan kata-kata penghinaan itu.
Kepada Pancaindera, Ifa meluahkan isi hatinya berhubung isu.
Khabarnya, Ifa berkecil hati dengan pihak stesen tv dan segelintir produksi yang tak mahu ambil Ifa berlakon atau muncul di kaca tv gara-gara gemuk. Apa cerita?
Betul. Bahkan saya pernah menangis kerana hal itu. Hanya kerana fizikal saya agak berisi ketika itu, ada tawaran yang saya dah nyatakan persetujuan untuk berlakon, ditarik serta-merta oleh pihak produksi. Cuba bayangkan apa perasaan saya masa tu? Ibarat rezeki dah disuap ke mulut, tapi terpaksa keluarkan balik. Macam mana saya tak sedih. Kemudian, watak saya tu diberikan kepada orang lain.
Takkanlah alasannya semata-mata Ifa gemuk? Mungkin ada masalah lain yang berlaku di belakang tabir?
Memang itu alasan yang saya terima. Ada kalangan orang dalam memberitahu yang mereka buat begitu kerana nak ikut permintaan pasaran.
Jadi disebabkan itu, Ifa terus mengalah dan merajuk? Ifa bukan orang baru. Dah lama dalam industri. Sepatutnya sudah masak dengan isu-isu begini. Tak begitu?
Memang. Tapi adakalanya bila diri dihina begitu, wajarkah saya untuk terus meminta-minta supaya orang bagi saya kerja? Biarlah... mungkin bukan rezeki saya.
Khabarnya, Ifa sendiri pernah menolak tawaran. Jadi bukanlah Ifa yang ditolak pihak produksi dan stesen tv. Macam mana ni?
Memang pernah berlaku, saya sendiri yang tolak tawaran. Selepas orang kata saya gemuk, saya terus tak ada hati nak terima apa sahaja tawaran. Bukan apa, saya pasang azam dan kata pada diri sendiri `tak apa, saya akan buktikan yang aku akan kurus. Bila kurus baru orang nak ambil berlakon bukan? Itu saya kira sebagai cabaran buat diri sendiri. Itu sebab saya tolak.
Apa tindakan drastik Ifa selepas dihina begitu?
Saya berusaha turunkan berat badan. sekarang ini berat badan saya dah turun 56 kilogram. Tapi saya rasa nak kena turunkan lagi 10 kilogram untuk kelihatan ideal. Jangan tanyalah, macam-macam yang saya buat demi memastikan diri dapat berat badan ideal. Selepas melalui pengalaman begitu, baru saya sedar dan faham perasaan wanita-wanita berbadan besar di luar sana yang dihina kerana fizikal mereka.
Sekarang dah kurus, job masuk banyaklah? Nak tahu juga.
Alhamdulillah, rezeki banyak masuk dan terbaru saya akan sibuk dengan pengambaran drama 18 episod dengan Astro. Dalam masa yang sama sibuk dengan undangan sebagai pengacara dan nyanyian.
Apa pengajaran yang Ifa dengan apa yang berlaku dan kemudiannya Ifa pegang sampai sekarang?
Saya sedar yang sememangnya industri hiburan memandang fizikal. Sebab itulah yang nak dijual bagi memenuhi permintaan masyarakat. Saya tak marah. Saya faham kita ini figura awam. Orang nak tengok kita cantik sentiasa. Jadi nak tak nak, memang saya kena berusaha ke arah itu. Bukan untuk orang saja tapi untuk keyakinan diri sendiri.
Dah aktif berlakon, mengacara dan menyanyi, macam mana pula dengan perniagaan? Ifa kan memang ligat berniaga dari dulu lagi.
Saya masih berniaga dan sekarang tak menang tangan dengan perniagaan SERIFA TURBAN By Ifa Raziah yang saya mulakan akhir tahun lalu. Turban yang saya jual unik sebab saya reka sendiri dan eksklusif. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan. Saya jual sendiri secara talian, melalui laman facebook. Tak ada dijual di kedai ya!