
Kalau tidak ada aral melintang, model, aktres dan penyanyi Natasha Hudson dijangka bakal melahirkan anak keduanya pada penghujung April depan. Namun dalam pada dia dan suami berdebar menantikan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka, isteri kepada Carleed Khaza, 34, ini memberitahu dia kini memberikan tumpuan serta kasih sayang sepenuhnya kepada anak sulung mereka, Neesa Helena.
Menurut pemilik nama sebenar Natasha Liana Hudson, 30, dia bimbang kalau-kalau anaknya itu terasa diabaikan apabila adiknya lahir nanti. Lebih-lebih lagi kerana anak kecil berusia empat tahun itu pernah meluahkan yang dia tidak mahu berkongsi kasih sayang ibunya dengan orang lain.
"Dia (Neesa) teruja. Hari-hari dia tanya bila baby nak keluar. Tapi walaupun dia masih kecil, dia pernah cakap pada saya yang dia tak nak kongsi kasih. Jadi saya memang memberi tumpuan penuh terhadapnya. Saya nak jaga hati dia. Saya tak mahu dia terasa diabaikan. Selama ni seorang saja anak sekarang dah nak msuk dua anak. Saya juga sedang belajar untuk bahagikan kasih sayang.
"Di rumah saya tiada pembantu rumah. Jadi Neesa memang sentiasa dengan saya. Saya bawa dia ke ke mana saja termasuklah ke pejabat. Tapi, iyalah dia budak lagi, tak biasa dengan suasana pejabat. Jadi dia tak berapa suka sebab memenatkan dia", katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Koleksi Magnum Chocolatier oleh Pereka Fesyen Jovian Mandagie, bertempat di hotel Westin, Kuala Lumpur, malam tadi.

Berkongsi pengalaman sepanjang hamil, Natasha berkata dia tidak mempunyai banyak masalah berbanding sewaktu mengandungkan Neesa. Malah dia sangat aktif dan masih berupaya berlakon dan membantu menguruskan syarikat suaminya.
"Dulu lebih penat, lebih loya dan saya banyak berehat. Tapi untuk kali ini ini, saya aktif. Berat badan saya pun tidak naik terlalu banyak. Berat biasa saya 49kg, saya hanya naik lebih kurang 12kg saja. Masa kandungan empat bulan, saya masih menjalani penggambaran filem iaitu filem Mamat Cupcake.
"Sekarang ni saya sibuk dengan syarikat saya, DreamCloud. Dalam masa yang sama saya juga bantu suami uruskan syarikatnya. Selain sibuk dengan program di Sepetang Santai Bersama Cikgu Sidik di TV Al-hijrah", katanya.
Pun begitu di saat detik-detiknya lebih kurang sebulan saja lagi ni, wanita kacukan Melayu-Australia ini mengakui dia berasa gementar bagaikan pertama kali dia akan melalui proses melahirkan.
"Dah lima tahun kan, sejak lahirkan Neesa, rasa macam pertama kali pula saya akan bersalin. Gementar tu memang ada. Moga-moga proses untuk saya melahirkan kali ini mudah sepertimana yang pertama dulu", katanya yang akan bersalin di sebuah Hospital Islam Khas Wanita, di Shah Alam.
- mD