Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mimpi aneh Amy Mastura


LEBIH sedekad 'menyepi diri' sebagai pelakon, tidak bermakna status itu sudah dilupakan terus pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Rindu untuk beraksi kembali tetap ada di hatinya namun kesibukan di belakang tabir sentiasa menjadi halangan.


Bahkan, sebagai seorang yang teliti dan komited terhadap karier, Ahmad Idham selesa memberi tumpuan di kerusi pengarah sepanjang enam tahun kebelakangan ini. Malah, dalam tempoh itu dia sudah berjaya mengarahkan 22 filem.

Ia nyata pencapaian terbaik buat sutradara berusia 39 tahun ini kerana sudah membuktikan kemampuan dirinya. Malah, antara filem arahannya seperti Jangan Pandang Belakang dan Adnan Sempit mencatat kutipan pecah panggung melebihi RM7 juta.


Boleh dikatakan Amad Idham pengarah yang membawa banyak dimensi baru dalam industri perfileman tanah air. Era kegemilangan filem Melayu yang pernah nazak sebelum ini, nampaknya kembali ceria dengan kemunculan filem seram dan komedi sentuhan beliau.


Bagaimanapun, apakah nasib filem seram terbaru arahan dan lakonan Ahmad Idham, Damping Malam yang sedang rancak ditayangkan di pawagam? Apakah kemunculan semula Ahmad Idham sebagai watak utama turut membantu filem arahannya? Menyorot kisah yang dipaparkan Ahmad Idham kali ini, ia cuba menonjolkan kelainan kerana kisah seram dan mistik beralih pula ke masyarakat urban.



Apakah orang bandar yang hidup dalam serba moden dan kemewahan tidak terlepas daripada dunia tahyul, mistik dan khurafat? Damping Malam cuba mengupas kisah mistik berlatarkan sebuah banglo yang dihuni sebuah keluarga.


Melakonkan watak Wadi, Ahmad Idham berkata menjadi tanggungjawabnya menghasilkan filem Damping Malam sebaik mungkin demi kepuasan penonton.

Katanya, kelainan harus diwujudkan dalam sesuatu filem walaupun masih mengekalkan genre seram.


"Saya hanya mahu penonton mendapatkan hiburan yang mereka mahu dan dalam masa sama memperoleh mesej baik untuk dijadikan teladan.

"Peringatan bersama bagi saya sangat penting kerana lumrah manusia sebagai makhluk yang tidak sempurna.


"Manusia sanggup lakukan apa saja walaupun ada kalanya terpaksa mengambil jalan salah. Kesannya tetap ada di kemudian hari dan itulah yang saya mahu penonton saksikan dalam Damping Malam.

"Apapun, selepas 13 tahun tidak berlakon, saya sangat seronok beraksi dalam filem Damping Malam. Sudah terlalu lama saya tinggalkan bidang lakonan. Namun saya juga tidak pernah melupakannya.

"Barangkali, sekarang adalah masa sesuai untuk saya berlakon semula. Asyik duduk di kerusi pengarah saja, sesekali apa salahnya alih angin lama. Malah, hendak tahu juga bagaimana reaksi penonton terhadap corak lakonan saya sekarang," katanya.

Hadir bersamanya pada sesi fotografi diaturkan Rap itu adalah Amy Mastura dan bintang muda, Erynne Erynna, 14, yang berlakon sebagai anak mereka. Ternyata, wujud keserasian antara ketiga-tiga mereka sebagai sebuah keluarga.


Filem ke-43 terbitan MIG Productions Sdn Bhd (MIG) dan yang ke-15 arahan Ahmad Idham bersama syarikat itu dikatakan begitu mendebarkan. Ini kerana pengarah mana tidak berdebar sebaik hasil kerjanya masuk ke panggung dan risau memikirkan respons penonton.


"Saya sudah melakukan dua tugas dalam filem ini sebaik mungkin. Sebab saya pilih Amy Mastura untuk bergandingan dengan saya ialah kerana kerana faktor umur kami dan jalan cerita Damping Malam yang lebih menjurus aspek kekeluargaan. Saya harus pilih pasangan yang betul dan sesuai.


"Kalau Amy Mastura menolak dulu, saya ada terfikir juga mahu menawarkan watak Ku Khalira kepada Vanidah Imran atau Rita Rudaini. Menjadi tabiat saya untuk cuba bekerja dengan pelakon wanita yang tidak pernah berlakon dengan saya di set penggambaran.


"Saya dan Amy Mastura pun kali terakhir kami berlakon sama dalam filem Kuala Lumpur Universiti (KLU) kira-kira 10 tahun lalu dan heronya ketika itu, Azhar Sulaiman. Sekarang, kami jumpa semula, tetapi bergandingan sebagai watak utama. Tak tahulah apa reaksi penonton," ujarnya.


Ini adalah filem ketiga Ahmad Idham menjadi hero selepas Anaknya Sazali dan drama bersiri Cinderella. Kata ayah empat anak ini lagi, apabila ditonton semula aksinya berlakon dulu, ia memang melucukan dan 'menyedihkan', maklumlah ketika itu umpama budak baru belajar.

Amy Mastura tak lupa nyanyian
MUNCUL dengan filem Aku Tak Bodoh di pawagam, baru-baru ini, rezeki Amy Mastura pada 2010 lebih cenderung ke arah lakonan. Bukan saja filem, dia juga beraksi dalam beberapa drama. Namun apakah istimewanya Damping Malam?

Apakah dia pernah diganggu? Amy yang sentiasa tersenyum berkata, dia tidak sedikit pun berasa takut sepanjang berada di lokasi penggambaran. Malah, katanya, dia seperti biasa, suka ketawa. Mungkin atas sebab itu makhluk halus pun 'malas' hendak mengganggunya.


"Lagi pun, saya ini orangnya kuat semangat. Saya datang ke lokasi itu pun hanya mahu berlakon dan bukan mencari atau hendak sangat berjumpa dengan mereka (makhluk halus).

"Cuma, anehnya ketika tidur, saya ada bermimpi satu babak dilakonkan iaitu muka saya jadi buruk. Esoknya saya sakit perut, tak boleh makan hingga saya perlu ke klinik. Kemudian, doktor mengesahkan saya ada apendiks.

"Saya diberikan surat untuk rujukan doktor ke hospital dan perlu melakukan pembedahan segera. Namun ketika x-ray dibuat, doktor mendapati tiada apa-apa pula. Saya sangat terkejut!," katanya.


Menurut Amy Mastura, dia sentiasa gembira di set penggambaran kerana dalam fikirannya memikirkan benda halus itu sama saja dengan manusia kerana makhluk Tuhan. Apa yang penting kerja.

"Saya takkan serik berlakon filem seram hanya kerana pengalaman yang berlaku itu. Bagi saya, ia satu dugaan dan mungkin kebetulan. Cuma kita janganlah seronok sampai lupa diri.

"Ahmad Idham banyak membantu saya dalam lakonan terutama cara mengawal diri daripada terlalu menonjol. Sebenarnya saya tidak fikir kami berdua hero dan heroin tua kerana pandangan penonton sekarang berbeza. Mereka datang menonton kerana jalan cerita yang bagus.


"Jadi penting untuk sesebuah filem mengetengahkan plot cerita yang kuat dan kalau filem hantu, penonton turut sama dapat merasai perasaan seram itu.

"Saya melihat cara olahan Ahmad Idham pada filem ini sangat kreatif dan ia juga padat dengan mesej," katanya.


Amy Mastura berkata dia tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Kata ibu dua anak ini, cuma rezekinya sekarang ada pada lakonan dan kali terakhir dia muncul dengan album adalah melalui Happy, tahun lalu.


Selain Ahmad Idham, Amy dan Erynne, pelakon lain yang membintangi Damping Malam ialah Erynne sebagai Nuraiza, Azizah Mahzan (Ummi Siah), Eizlan Yusof (Ustaz Bakri) dan Fida Ibrahim (Ustazah Humairah).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails