
ALAHAI, apa jadi dengan penyanyi Azharina Azhar ni? Raja dengar pengalun lagu Elegi Sepi dan Rawan itu mencetuskan sedikit kekecohan di sebuah lapangan terbang, baru-baru ini. Apa dah jadi Azharina?
Seorang teman Raja yang secara kebetulan berada di situ menyaksikan kejadian yang berlaku. Khabarnya, Azharina mula `naik hantu' apabila bagasinya dikatakan hilang. Yalah, siapa pun panik dan marah apabila bagasi yang memuatkan banyak barang peribadi dah terbang entah ke mana... Silap hari bulan sampai ke Eropah, memang malang nasib. Bagaimanapun, bagasi Azharina tu tidak ke mana-mana, cuma mungkin ketika Azharina nak mengambilnya bagasi tu belum tiba lagi. Ketika Azharina mengamuk di bahagian `Baggage Services Lost And Found’, tiba-tiba bagasi muncul di sebelahnya. Hai, terkulat-kulat, buat letih mengamuk hari tu kan! Cuma ada beberapa cerita yang menggeletek hati Raja, entahlah mungkin Azharina tengah marah ketika itu, tetapi kalau marah sekalipun, jagalah emosi dan mulut sikit. Awak tu kan artis...
Raja dengar dahlah Azharina meninggikan suara, percakapannya berlagak pula. Kalau pun dalam bagasi tu berisi `emas 40 karat', tak payahlah dok sibuk bercerita yang hebat-hebat, buat orang meluat saja mendengarnya. Kalau ada barang kemas, kenapa tak dibawa dalam beg tangan atau dipakai saja, kan lebih selamat!
Tutur kata kenalah jaga, kalau awak tu orang biasa, tiada siapa ambil peduli, tapi awak tu - Azharina Azhar, seorang penyanyi yang ada nama, walaupun kini dah suam-suam kuku.
Teman Raja memerhati saja gelagat Azharina ketika itu, nampak jelas ketidakpuasan hati di wajah petugas. Kalau nak `kekwat' pun, bertempatlah, depan-depan umum janganlah buat perangai. Kalau bercakap manis dan lembut tutur kata, kan lebih baik dan dihormati. Petugas-petugas pun dengan lapang dada nak membantu. Tapi kalau muka dah macam `singa kelaparan' dan suara macam halilintar, siapa nak tolong? Kalau Raja, memang angkat kaki lah...
Raja pasti, persepsi orang luar terhadap golongan artis semakin buruk. Tak mustahil ada yang menganggap artis memang tidak sedar dek untung. Inilah dinamakan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!
Kepada Azharina, jangan berkecil hati dengan teguran Raja. Sekadar menyampaikan ketidakpuasan hati mata-mata yang melihat adegan itu, Raja mohon maaf jika kata-kata Raja menyinggung perasaan.