
Aktres baru dikatakan kesal buah hati kepit Juliana Evans
SELAMAT tahun baru! Moga segala impian dan azam 2010 sudah terlaksana, tapi jika ada agenda yang masih tergendala, 2011 menanti anda merealisasikan hajat yang tidak kesampaian itu. Apa yang penting jangan mudah putus asa dan sentiasa bekerja keras untuk menuju puncak. Oops, dah macam iklan Akademi Fantasia (AF) pulak! Masih belum terlambat Zubir ucapkan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) baru-baru ini. Syabas untuk tenaga produksi TV3 yang bekerja keras memastikan acara berprestij itu lancar. Pun begitu, pada pandangan Zubir, ASK tidak selancar seperti diharapkan apabila dicacatkan dengan pakaian mencolok mata daripada beberapa selebriti yang hadir, seolah-olah tidak menghormati barisan VVIP yang hadir.
Namun, Zubir lebih tertarik pada pasangan artis popular, Zizan Raja Lawak, 26, dan Juliana Evans, 22 yang duduk sebelah menyebelah pada malam ASK2010 tempoh hari. Zubir dapat perhatikan Zizan dan Juliana dengan jelas kerana hanya duduk selang beberapa baris di belakang mereka. Sungguh mesra aksi kedua-duanya bagai pasangan kekasih, walaupun tak pernah mengaku bercinta. Biarlah dua-dua solo apa salahnya...
Sepanjang pengetahuan Zubir, kemesraan Zizan dan Juliana bermula apabila kedua-duanya berlakon filem sama, Hantu Bonceng, sejak itu kedua-duanya semakin akrab. Membaca kenyataan Zizan dan Juliana dalam sebuah akhbar mingguan terbitan 19 Disember lalu, seolah-olah memberi petanda, cinta kedua-duanya baru nak berputik. Tapi, apa dah jadi dengan hubungan ‘teman tapi mesra’ antara Zizan dan aktres cantik, Diana Amir yang baru muncul dengan filem terbarunya, Aku Masih Dara?
Berikut Zubir paparkan kenyataan Zizan menerusi akhbar mingguan berkenaan.
“Sekadar kawan biasa, tetapi kami betul-betul rapat. Saya mengakui Juliana memiliki ciri-ciri wanita idaman semua jejaka. Semua keistimewaan yang ada pada Juliana membuatkan saya cukup tertarik kepadanya. Berada di samping Juliana membuatkan saya bertambah yakin menjalani kehidupan. Tambahan pula kami sekepala dan mempunyai minat yang sama.
“Saya tidak mahu memaklumkan terlalu awal bahawa kami adalah pasangan kekasih. Sebab saya ada rancangan sendiri.”
Mungkinkah ia sekadar gimik Zizan untuk mempromosikan Hantu Bonceng, rasanya filem berkenaan lambat lagi nak masuk pawagam, tak sesuai Zizan buat gimik terlalu awal.
Ini pula kenyataan yang pernah dibuat Diana dalam Harian Metro terbitan 4 Oktober lalu.
“Namun, saya akui suka pada Zizan kerana perangai dan kematangan fikirannya. Hakikatnya, apa yang boleh dikatakan saya memang selesa, tenang dan serasi bersama Zizan, tetapi hubungan kami belum sampai tahap yang lebih serius. Ia boleh diumpamakan sebagai hubungan persahabatan dan kini masing-masing dalam proses berkenalan.”
Diana juga hadir pada malam ASK2010 dan sudah sampai ke telinga Zubir, ada seseorang membisikkan, kononnya dia kesal dan berkecil hati dengan sikap Zizan yang asyik ‘berkepit’ dengan Juliana sepanjang majlis berkenaan, tanpa mengambil kira soal hati dan perasaannya.
Zubir sempat bertanyakan dengan Juliana sama ada dia bercinta dengan Zizan dan menerusi kiriman BlackBerry Messenger, beliau menjelaskan, antara dirinya dan pelawak berkenaan, tak pernah wujud perasaan cinta, mereka sekadar berkawan saja. Tapi, sekurang-kurangnya, Zizan harus menjaga hati Diana, janganlah over dalam memberi kenyataan, selain menampilkan aksi mesra bersama artis jelita lain di tempat awam.