Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Apa salahnya Zila temankan saya'


Along Raja Lawak kesal ada fitnah tanggapan dia letak harga pakej untuk undangan persembahan

MEREKA sering kelihatan bersama malah boleh dianggap seperti belangkas, namun bukanlah bermakna pasangan suami isteri, Along Raja Lawak atau Along Cham dan Zila meletakkan pakej jika mahu menggunakan khidmat mereka. Sama ada menyanyi, berlakon atau mengacara, mereka tidak kisah bersendirian. Bagaimanapun, gosip yang mengatakan mereka meletakkan pakej membuatkan Along mahupun Zila tidak senang duduk. Sedikit sebanyak apa yang diperkatakan sesetengah pihak boleh menjejaskan `periuk nasi' mereka dalam dunia seni. Sambil merenung jauh, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad mengakui: "Saya termenung panjang apabila timbul gosip mengatakan saya dan Zila meletakkan harga pakej jika mahu mengambil kami berlakon, mengacara mahupun menyanyi.

"Saya tidak pasti daripada mana timbulnya cerita ini. Saya mahupun Zila tidak pernah buka mulut soal pakej. Saya rasa timbul salah faham apabila Zila sering bersama saya. Sebenarnya Zila hanya mengikut saya jika tidak terbabit dalam urusan kerjanya.

"Saya tidak senang duduk jika Zila tinggal di rumah sendirian, jadi tak salah saya bawa Zila menemani saya. Lagipun Zila boleh menguruskan pakaian dan kelengkapan saya. Kadang kala jika saya terlalu penat, Zila boleh memandu dan saya boleh berehat sekejap. Saya juga tiada pengurus peribadi, daripada saya mengupah orang lain, lebih baik saya berkongsi rezeki dengan isteri.

"Entahlah, mungkin ada yang tidak senang hati melihat kami sering berkepit. Saya rasa Zila tidak pernah mengganggu kerja saya di lokasi penggambaran mahupun ketika diundang mengendalikan majlis. Pernah ke timbul cerita Zila buat hal atau mengganggu kerja produksi? Saya juga tidak puas hati apabila ada yang mengatakan saya tidak boleh bekerja jika tiada isteri.
'Zila bukan suri rumah jadi penyanyi'

"Itu fitnah semata-mata. Zila juga ada kerjanya, mungkin rezekinya tidak selebat saya, tetapi dia juga terbabit dengan undangan persembahan pentas dan sekali-sekala berlakon drama. Mana mungkin kami berkepit setiap masa. Kadang kala Zila tidak mahu mengikut, tetapi saya pula mendesaknya. Bagaimanapun, apabila timbul cerita tidak enak ini, ia tidak sesekali mengubah pendirian saya untuk terus membawa Zila bersama. Saya tetap bawa Zila jika ada masa terluang, lagipun dia isteri saya. Hubungan kami sah."

Naib juara program Raja Lawak musim kedua itu berkata, tidak dinafikan sejak kebelakangan ini Zila sering menemani di pentas. Ada kala mereka berduet bersama, tetapi bukanlah dikenakan bayaran. Bagi penganjur atau promoter yang pernah mengundang, mereka tentu tahu kedudukan itu.

"Saya sering undang Zila berduet bersama saya di pentas, tapi itu percuma. Saya tidak pernah meminta bayaran lebih, tetapi ada ketikanya penganjur sendiri memberi bayaran lebih. Takkan saya menolak rezeki. Saya tak minta, jika orang beri, saya ambil.

"Salah ke saya mengundang Zila berduet dengan saya? Zila bukanlah seorang suri rumah yang tiba-tiba nak jadi penyanyi. Zila pernah mencungkil bakat dalam Akademi Fantasia. Saya fikir ini juga untuk kebaikannya dalam mencari pengalaman dan berdepan sesuatu yang tidak pernah dirasai. Saya sendiri tidak faham dengan maksud `pakej' yang diperkatakan.

Siapkan skrip Pak Nil, Ibu Kirim Salam

"Sejak dulu, Zila tidak pernah bergantung pada saya. Walaupun sudah bergelar suami isteri, Zila langsung tidak menyusahkan saya. Zila pandai bawa diri dengan melayan pelbagai `games' dalam telefon bimbit jika ikut saya ke lokasi penggambaran. Jika ada rezeki, saya akan mengeluarkan modal untuk mengeluarkan single Zila. Mungkin juga kami akan berduet bersama," katanya yang kini sibuk menyiapkan skrip telefilem raya pertamanya, Pak Nil, Ibu Kirim Salam. Skrip berkenaan diolah bersama rakan baiknya, Mawi.

Along berkata, drama Pak Nil, Ibu Kirim Salam adalah telefilem pertama yang bakal diarahkan Mawi. Ia adalah terbitan MW Entertainment Sdn Bhd dan akan disiarkan menerusi Astro Prima.

"Pak Nil, Ibu Kirim Salam adalah tribute kepada pengacara nombor satu, Aznil Nawawi. Ceritanya mengisahkan seorang budak cacat yang terlalu meminati Aznil hingga sanggup mencarinya di kota untuk menyampaikan pesanan ibunya. Cerita diolah berdasarkan pengalaman Mawi dan beberapa artis popular lain yang dikejar peminat fanatik. Selain saya, turut berlakon dalam telemovie ini ialah Aznil Nawawi, Angah, Shaheizy Sam dan mungkin Diana Danielle," katanya yang turut terbabit dalam drama Halimah Jongang musim kedua dan ketiga yang menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Zila pujuk suami supaya bersabar kena tohmah

SEMENTARA itu, isteri Along, Zila berkata, dia tidak pernah berkecil hati dengan kata-kata orang sekeliling, malah mengambil sikap tidak ambil tahu adalah lebih penting. Yang menghairankan, kenapa timbul cerita mereka berkepit dan umpama belangkas sedangkan mereka sudah berkahwin.

"Mulanya saya terkejut dan tersentap apabila timbul cerita yang menyakitkan, tetapi biarlah mulut tempayan boleh ditutup, sebaliknya mulut manusia, apa nak buat... Mungkin saya dan Along tidak pernah mencetuskan kontroversi, jadi adalah yang mula buat cerita mengenai kami.

"Saya rasa tidak adil buat cerita begitu. Ramai yang percaya dengan cerita yang tersebar, malah ada yang takut nak ambil saya mahupun Along disebabkan takut terkena harga pakej. Saya tidak kisah sangat, tapi Along dapat panggilan bertalu-talu mahu mengesahkan cerita yang tersebar.

"Bagaimanapun, saya sering mengingatkan pada Along, ada yang suka, ada pula yang benci bila melihat saya sering menemani suami. Adatlah manusia, tetapi saya mahupun Along tidak dapat nak puaskan hati semua orang. Saya sedar saya tidak popular mana, tetapi tidaklah saya mendesak orang lain menerima saya sekali jika tugasan diberikan pada suami," kata bintang Akademi Fantasia musim keempat itu.

Pemilik nama Nur Azilah Seeron itu berkata, dia dan Along membuat perancangan untuk mengeluarkan lagu single mereka apatah lagi kerap menerima undangan bersama sejak akhir ini.

"Saya dan Along mahu berduet seperti Allahyarham Achik Spin dengan Nana. Kami cukup sukakan lagu duet mereka, malah banyak persembahan kami menyanyikan lagu mereka tetapi kini arwah sudah tiada. Kami masih mencari lagu duet yang sesuai, tetapi mungkin ambil masa.

"Bukan mudah mencari lagu yang baik dan sesuai dengan padanan suara kami. Saya tidak kisah menunggu asalkan dapat lagu yang bagus," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails