Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Malang' selepas bercerai-Daphne


DAPHNE Eleanor Iking tidak menyesal dengan takdir yang menimpanya. Tidak kira sama ada tentang kegagalan rumah tangga, kes saman antara bekas suami dengan pengarah urusan yang masih berlangsung di mahkamah, dia masih mampu bersabar. Juga tidak ketinggalan cerita ‘busuk’ mengatakan dia mengurat bekas suami aktres Natasha Hudson dan yang terbaru, pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang merakam wajahnya sewaktu di tandas dan menyiarkan foto itu di sebuah laman blog hiburan.

Semuanya ditelan satu demi satu meski pun terlalu pahit untuk dilalui. Sebagai wanita dewasa yang berpegang dengan takdir hidup, dia percaya tentang cabaran yang mendatang mematangkan corak pemikirannya.

Mengingati nasihat ibunya, Naili Ganahang di Sabah yang mahu dia kuat dan tabah, ibu beranak satu ini tabah meski pun dikecam dengan pelbagai masalah.

‘‘Saya tidak menyangka dikala kita gembira, ada pihak yang mencemburui kita. Saya kelihatan seperti tidak mempunyai maruah apabila kepala dipijak. Seolah-olah, saya ini terlalu mudah untuk dijadikan bahan kutukan,’’ katanya lemah.

Tanpa diduga, dia mengakui bahawa kesemua cerita sedih yang semakin berantai itu disebabkan oleh perceraian dengan bekas suaminya, Ryan Chong Yiing Yih.

Bukan menyalahkan sesiapa, tetapi selepas diamati dalam-dalam, jelas bahawa titik dukacita bermula di situ. Selepas berpisah dengan suami, dia ditimpa dengan pelbagai dugaan tidak terhitung yang seakan-akan menembak diri sendiri.

Mengahwininya satu kesilapan


Nikmat hidup berumah tangga bersama Ryan dalam majlis yang penuh gemilang di Bali pada 7 Julai 2007 tidak lama. Dia menerima hakikat bahawa jodohnya dengan lelaki yang berasal dari negara China itu tidak kekal. Jujurnya, kata model yang juga pengacara popular ini, selepas Isobel Daniella Iking-Chong lahir pada 26 November 2008, rumahtangganya dilanda musibah. Pada ketika itu Daphne memutuskan untuk mengunci mulut seketika tentang status perkahwinannya, sehingga dia membuka mulut dengan membuat kenyataan rasmi pada satu majlis prebiu filem My Spy pada hujung 2009.

“Saya memilih untuk berpisah kerana akhirnya saya akur bahawa cinta kami tidak boleh bersama lagi,” katanya, membongkar sisi kesedihan diri.

Menurut Daphne, dia akhirnya sedar cinta terhadap Ryan tidak seutuh dan sekuat kasihnya buat Isobel. Anak kecil itu adalah simbol kekuatan diri yang memberi inspirasi setiap kali berdepan dengan masalah.

‘‘Jatuh bangun saya kini hanya untuk Isobel. Ryan pula umpama angin yang hanya boleh dirasa tetapi tidak boleh dipegang, manakala Isobel adalah segala-galanya,’’ bicaranya.

Malahan, hubungan antara dia dan Ryan juga agak renggang selepas lelaki itu menyatakan pendirian untuk berpindah terus ke China pada hujung tahun lalu. Sekali gus memisahkan hak kasih sayang seorang bapa terhadap darah dagingnya sendiri. Kata hati kecilnya, tidak mengapalah, asalkan lelaki tersebut tidak meminta hak penjagaan pengarang jantungnya itu.

Diasak dengan persoalan isu saman bekas suaminya dengan pengarah urusan sebuah syarikat, Daphne lantas meminta agar perkara itu tidak disentuh kerana kes berkenaan masih dalam bicara mahkamah.

Mulutnya bagaikan terkunci erat agar soal yang sama tidak ditanya lagi.

Bukan Perampas

Sementara itu, merujuk kepada gosip yang mengatakan dia memadu kasih bersama dengan bekas suami Natasha Hudson iaitu Datuk Shahrin Zahari di sebuah hotel di Petaling Jaya selepas lelaki itu bercerai, bagi Daphne, ia sememangnya tidak berasas sama sekali.

Jelitawan ini memberitahu bahawa dia tidak sesekali pernah menanam impian untuk menjadi perosak rumah tangga. Tambahan dengan pengalaman yang dilaluinya itu, dia mengerti bagaimana terseksa dan merana jiwa seorang perempuan itu tatkala cinta hati dirampas orang lain.

‘‘Lebih teruk apabila saya membaca di sebuah blog mengatakan ada pihak secara senyap membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas Isobel dan mendakwa anak itu membawa gen Shahrin. Gila ke apa? Saya bukan wanita terdesak yang menagih cinta dengan banyak lelaki. Saya juga tidak mahu kacau rumah tangga dia (Natasha). Saya bukan jenis sebegitu dan hidup saya penuh dengan prinsip,’’ getus Daphne.

Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini memberitahu bahawa hubungan persahabatan yang tercipta antaranya dengan Natasha sangat baik sekali sehingga kehari ini. Tidak pernah timbul rasa cemburu seperti yang didakwa. Malah mereka juga berbaik setiap kali bertemu dan saling bertanya khabar.

Saat diajukan soalan tentang pengganti Ryan, pantas Daphne menarik nafas panjang. Katanya, biarlah dia seorang sahaja yang mengetahui insan yang bertakhta di hatinya dan tidak perlu menghebahkan kepada semua.

Graduan lulusan komunikasi di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2004 ini juga kini lebih bersikap hati-hati dengan apa sahaja perbuatan dan percakapan agar tidak disalahertikan oleh sesetengah pihak pada masa akan datang.

Mengenai penampilannya yang sering tampil dengan gambar-gambar yang mendedahkan, kata Daphne, dia tidak pernah berniat untuk menarik perhatian lelaki.Ini termasuklah beberapa gambar seksinya ketika menyaksikan Formula 1 di Sepang, Selangor, beberapa bulan lalu yang menonjolkan sebahagian besar dadanya di khalayak awam.

‘‘Maaflah sekiranya saya telah melakukan sesuatu yang tidak elok pada pandangan orang Islam. Saya tahu, pasti ada pihak yang tidak senang dengan cara pakaian ketika itu, tidak bermakna saya begitu mudah dimaafkan kerana saya bukan Muslim.

“Namun, jauh di sudut hati saya ini wujud kekesalan yang tebal dan harapan agar kesilapan saya itu diampuni,’’ kata pemilik syarikat Lebosi Sdn. Bhd.

Mengenai kehidupannya dimasa depan, Daphne cukup yakin bahawa suratan takdir yang ditetapkan Tuhan tidak berakhir dengan kesedihan selama-lamanya.

Pasti wujud taman kebahagiaan sama ada dalam kehidupan terdekat atau masa akan datang. Apa yang perlu dilakukannya adalah banyakkan bersabar dan lalui kehidupan seperti biasa bersama ratu hatinya, Isobel.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails