Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tiga minit saja kalau nak merajuk-Khairul


Juara Gadis Melayu musim pertama bakal bernikah dengan penyampai berita TV3 pada 4 Jun

SUKAR menggambarkan perasaan mereka. Cinta yang disulami kebahagiaan bakal diakhiri dengan ikatan suami isteri, minggu depan. Juara program Gadis Melayu di TV9 musim pertama, Khairul Noormaidah Zali, 25, dan penyampai berita Buletin Utama, Saiful Nizam Ismail, 28, akan disatukan pada 4 Jun ini. Majlis pernikahan Khairul Noormaidah atau Aida dan Saiful Nizam akan berlangsung di kediaman keluarga Aida di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, manakala majlis resepsi pula diadakan keesokannya (Sabtu) di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada jam 8 malam. Majlis menyambut menantu pula akan berlangsung di rumah keluarga Saiful di Changlun, Kedah pada 13 Jun ini. Sambil menjeling Saiful, Aida yang juga pengacara Akademi Al-Quran di TV9 akui: "Saya gementar, tapi tetap bersyukur akhirnya perhubungan selama hampir dua tahun dilindungi Allah SWT. Kami akhirnya bakal disatukan dalam ikatan sah sebagai suami isteri. Seperti pasangan lain, hubungan kami awalnya diuji dugaan, tetapi Alhamdullilah semuanya diselesaikan. Inilah dinamakan jodoh, dugaan itu kami harungi bersama tanpa tertekan. Saya melihat Saiful seorang penyabar dan tidak suka memberi tekanan.

"Saya akui tidak menyangka pejam celik sudah tiba hari bersejarah kami. Rasanya baru saja kami mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu, kini sudah tiba majlis pernikahan kami. Sebagai wanita, sejak mengenali Saiful dan yakin inilah pilihan terbaik, saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri dan mungkin ibu tidak lama lagi.

"Apa yang membuatkan saya lebih tertarik pada Saiful apabila melihat kesungguhan dan tanggungjawab dalam menguruskan majlis pernikahan dan persandingan kami. Semuanya kami lakukan bersama tanpa mahu memberi bebanan kepada keluarga. Walaupun Saiful seorang yang `perfectionist' dalam segala perkara, tetapi dia tidak pernah memberi tekanan pada saya.”

Duta produk Krypton itu berkata, dia dan Saiful belum merancang berbulan madu disebabkan sibuk dengan tugasan. Selepas tiga hari disatukan, Aida terbabit dengan program Akademi Al-Quran setiap Jumaat, di TV9, selain mengacarakan program Adam Dan Hawa serta Sahabat.
“Cuma, Saiful agak keberatan memberi kebenaran kepada saya mencuba bidang lakonan. Bukan cemburu sebaliknya Saiful mahu saya fokus pada bidang pengacaraan hingga membuahkan hasil terbaik. Lagi pun, bidang lakonan menuntut masa dan komitmen tinggi. Saya banyak menerima tawaran berlakon tetapi terpaksa menolak," kata gadis lulusan Ijazah Komunikasi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Saiful Nizam pula berkata, mereka berhasrat menyambut Ramadan dan meraikan Aidilfitri bersama tahun ini, jadi 4 Jun adalah detik paling sesuai untuk disatukan dalam ikatan yang sah.

"Sebenarnya majlis perkahwinan ini sudah beberapa kali tergendala disebabkan kesibukan, keluarga ingin kami disatukan tahun lepas lagi. Bagaimanapun, kami sukar mencari tarikh sesuai hinggalah ditetapkan ketika majlis pertunangan tahun lalu. Saya dan Aida memilih busana ciptaan Radzuan Razwill. Barangan hantaran dan pelamin pula direka Arma Abdul Rahman, manakala solekan oleh Awin Seindah Wajah.

Selain penyampai berita, Saiful juga adalah wartawan penyiaran TV3. Berkelulusan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan UUM, dia akui tertarik pada Aida kerana sentiasa bersikap positif dan suka memberi motivasi ketika dirinya tatkala berasa tertekan.

"Bagaimanapun, sejak bertunang, Aida agak kuat merajuk tapi tidaklah lama. Sejak dulu, kami sudah meletakkan prinsip, jika saya mahupun Aida merajuk, hanya tiga minit saja. Selalunya saya akan biarkan Aida merajuk selama tiga minit. Alhamdullilah, saya dan Aida tak pernah berperang dingin mahupun bermasam muka selama hampir dua tahun mengenali," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails