Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tau tau Nadia dah jadi ibu tunggal


MASIH ingat dengan lagu Salam Buat Kekasih? Lagu yang pernah popular sekitar tahun 1996 edaran Sony Music ketika itu membuatkan penyanyi kelahiran Tawau, Zarina Mohd. Ali atau nama glamornya, Nadia dikenali ramai.

Nadia merupakan artis seangkatannya dengan kumpulan A to Z, Enna, Abot dan Azie. Lagunya melonjak semula setelah ia sering diputarkan oleh stesen radio Sinar FM.

Tapi sayang populariti Nadia bertahan tidak lama ketika itu, dan dia hanya sempat melahirkan sebuah album saja. Album berjudul Nadia tiada kesinambungannya. Enam tahun setelah bergelar artis namanya terus hilang. Hilang tanpa dikesan dan tidak pernah muncul di mana-mana kaca televisyen.

Rupa-rupanya dalam diam pada 2001 dia telah mendirikan rumahtangga. Tidak ada publisiti mengenainya. Nadia yang berjaya menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan wartawan dan bertahan menyimpan rahsia rumahtangganya sehingga kini.

Wawancara ini dilakukan melalui telefon. Berbual dengan Nadia sekarang ini tidak banyak berubah berbanding awal kemunculannya pada tahun 1996. Jenakanya tetap sama, suara serak-serak basahnya juga masih boleh didengari dan apa yang penting dia tetap ramah seperti dahulu.

Hakikat sebenarnya wartawan hiburan sudah maklum dengan kisah perkahwinan Nadia itu, tetapi dia tidak dapat dihubungi ataupun diwawancara semasa bergelar isteri.

“Memang benar sejak bernikah saya tidak berjumpa mana-mana wartawan. Sebenarnya saya tidak tinggal di Sabah, malah saya menetap di Ampang sejak bernikah.

“Saya jarang keluar rumah dan banyak habiskan masa di rumah. Kalau keluar pergi kedai pun jarang. Kawan artis yang masih saya hubungi ketika itu ialah Abot.

“Tapi tidak selalu, sesekali saja. Tentang perkahwinan saya itu memang saya tidak hebohkan. Saya bernikah di Sabah dan siapalah saya untuk berceritakan tentangnya ketika itu. Bukan popular pun saya waktu itu.

“Lagipun masakan saya mahu menyusahkan wartawan menulis tentang kisah perkahwinan saya,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini yang masih kuat loghat Sabahnya.

Setelah sepuluh tahun mendirikan rumahtangga, kini Nadia dikurniakan dua anak iaitu Arif, 8 tahun dan Farah, 4 tahun. Dia yang kini bergelar ibu tunggal tidak mahu bercerita lanjut tentang kisah lampaunya.

Baginya apa yang terpahat di hati dan memorinya itu biarlah segalanya yang indah dan bukannya yang pahit kalau ia mahu dikenang.

“Itulah saya, yang lalu biarlah yang berlalu dan saya tidak mahu bercerita tentangnya langsung. Buat apa kita kenang yang pahit, cukuplah yang manis.

“Tidak perlu saya bongkar segalanya, kerana saya berkahwin pun tidak bagi tahu wartawan dan peminat, jadi tidak manis kalau sudah berstatus ibu tunggal saya ceritakan sebab-sebab saya bercerai. Betul tak? Saya kalau kisah lalu biarlah tutup buku. Tak mahu saya ungkit. Biarlah saya simpan sendiri kisah itu,” katanya lagi.

Menghormati pendirian Nadia, maka soal lampau tentang rumahtangganya tidak dapat dirungkai dengan lebih lanjut. Apa yang pasti dia menjadi ibu tunggal sejak tahun lalu dan sejak pertengahan tahun lalu dia pulang semula ke negeri kelahirannya bersama dua anaknya itu.

Semenjak menjadi isteri ada khabar angin mengatakan yang Nadia berubah penampilan dan imej. Katanya Nadia bertudung apakah benar?

“Benar, tapi hanya pakai skaf kepala saja. Saya berubah sejak bergelar isteri orang dan tidak lagi saya seksi seperti zaman sebelumnya,” akuinya.

Bercerita tentang masa kini, Nadia memberitahu dia kini sedang sibuk dengan perniagaan motel miliknya sendiri. Motel bernama Timahs mengambil sempena nama ibunya yang terletak di Sipitang, Sabah telah beroperasi sekarang.

Motel yang terletak di kawasan pedalaman laluan ke Labuan dan Brunei yang mempunyai 13 bilik disewa dengan harga RM50 hingga RM120.

Menurut Nadia, dia lebih selesa dengan perniagaan ini dan pada masa yang sama dia juga sibuk dengan single terbarunya yang berjudul Buatmu Kekasih. Single dua lagu ciptaannya itu akan diedarkan sedikit masa lagi.

“Masa berkahwin dulu saya memang tidak menyanyi. Minat masih ada, dan di rumah saya masih cipta lagu bila ada kelapangan. Alah buat syok sendiri saja.

“Jadi bila sudah jadi ibu tunggal dan hidup sendiri dengan dua anak, saya teruskan minat saya itu. Ada juga kawan-kawan rocker dari Semenanjung yang telefon mahukan lagu-lagu saya, bukan tak mahu buat, tapi masa tiada. Seronok juga kalau dapat buat lagu untuk merekakan?” ceritanya lagi.

Menyentuh soal masa depan dia dan anak-anak, Nadia masih belum terfikir untuk mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat. Buat masa ini anak-anak adalah penghibur hatinya.

Kalau ditakdirkan Allah dia akan berkahwin buat kali kedua nanti itu satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Tidak terfikir sekarang ini, tapi kalau ada saya terima. Kalau boleh apa yang saya mahu perkahwinan itu nanti tidak akan berulang seperti yang pertama. Saya ini rocker yang sensitif, jadi apa-apa hal yang seseorang luahkan dan kalau kenyataan itu membuat saya terguris pastinya saya akan kenang selamanya.

“Itulah pantang saya sebenarnya. Macam kau tidak aku aku bah? Sayakan sensitif, biarpun rocker. Sebab saya kalau cinta seseorang, cinta ku sepenuh hati bah,” ujarnya lagi.

Itulah kisah tentang Nadia yang dapat dikongsi bersama. Nadia yang kini kembali ke kampung halamannya Sabah biarpun sudah bergelar ahli perniagaan, tapi jiwa dan minatnya terhadap seni masih belum pudar.

Apakah dia akan muncul menyanyi di mana-mana pentas atau kaca televisyen, kita nantikan bersama.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails