Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta Marsha


Marsha ulas soal cinta: Bintang Akademi Fantasia 3 akui kini terpaut hati jejaka Melayu

LIMA tahun berlalu tanpa ada satu pun pencapaian yang mampu membanggakan Marsha Milan Londoh. Yang bertebaran selama tempoh itu cuma cerita peribadi, gosip yang cuma mengaitkan dirinya dengan lelaki itu dan ini.

Cuma itu! Tiada lain yang diperkatakan mengenai gadis ini, kecuali episod cintanya yang tidak pernah berkesudahan. Lalu apa yang tinggal untuk dibanggakan gadis kelahiran Michigan, Amerika Syarikat ini?

Profil kerjaya seninya sehingga hari ini masih belum diisi catatan yang mampu membuat dia tersenyum. Lantas, apa sebenarnya cuba dicari gadis lincah berperwatakan periang ini? Apa mungkin Marsha cuma bergantung kepada publisiti kosong yang akhirnya cuma menenggelamkan bakat? Atau memang dia serius memegang cita-citanya tetapi belum diberi kesempatan untuk membuktikan kemampuan sebenar?

Serius menyusun bicara tatkala wajah mulusnya leka disolek, Marsha mengakui, dia pernah berkecil hati dengan industri hiburan.

Memasuki tahun keenam sebagai anak seni, siang dan malam Marsha bertungkus lumus untuk mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon. Malangnya, segala kerja kerasnya seakan tersembunyi di balik tabir limpahan publisiti yang cuma memfokus kisah peribadinya.

Bukan menyalahkan takdir atau kesal apabila episod cinta dengan teman sealiran diberi publisiti berlebihan. Marsha akur realiti industri hiburan. Atas sebab itu dia tetap berterima kasih kerana media tidak pernah melupakannya dan Marsha percaya, hari untuknya akan tiba juga nanti.
“Apabila tiba masanya, saya juga mahu kerja dan karier diberi perhatian. Saya percaya, jika ikhlas lambat laun peminat akan menyedari dan nampak kesungguhan itu,” kata Marsha.

Gadis berusia 25 tahun ini akur, untuk diterima dia cuma perlu menjadi dirinya sendiri. Terpulang apa juga tafsiran masyarakat, Marsha tidak pernah menjadikan semua itu sebagai beban kepada dirinya.

Bukan sekali dia dibelenggu oleh tafsiran negatif masyarakat. Kata Marsha, dia tidak mahu menjadi manusia hipokrit yang menyembunyikan kebenaran kerana dirinya juga berhak memilih cara hidup sendiri.

Disebabkan itu, gadis yang bernaung di bawah zodiak Sagittarius ini tidak mengelak ketika ditanya mengenai soal hati.

Marsha tulus mengaku, kekosongan hatinya kembali diisi sejak akhir tahun lalu. Berbeza cinta pertama, kali ini hatinya terpaut kepada lelaki Melayu yang berada di luar kelompok industri hiburan.

Marsha berkata, dia tidak mampu menolak untuk kembali jatuh cinta selepas beberapa tahun bersendirian.

“Sama seperti orang lain, saya juga ingin dicintai dan menyintai. Saya juga mendambakan kegembiraan dan kebahagiaan daripada insan yang sudi mengambil berat serta memberi perhatian.

“Untuk apa mengelak daripada menyatakan kebenaran kerana lambat laun, orang akan tahu juga. Cuma saya perlu berhati-hati untuk mengimbanginya supaya masyarakat tidak terus disajikan dengan cerita peribadi saya,” akui Marsha tidak berselindung.

Masih terlalu awal untuk menentukan hala tuju hubungan yang hampir setengah tahun berputik, Marsha berkata, dia menyerahkan masa depan kepada Tuhan.

Baginya, apa juga pengorbanan yang perlu dilakukan nanti biar dia yang menentukan. Ketika ini, dia cuma ingin membajai cinta itu dengan benih kebahagiaan tanpa perlu memikir terlalu jauh.

“Tolong jangan bawa topik ini terlalu jauh kerana saya sendiri belum berfikir sedalam itu. Saya melalui hari mendatang seperti yang diaturkan Tuhan.

“Andai dia lelaki yang ditakdirkan untuk menjadi jodoh saya, bagaimana saya mahu menolak? Tetapi jujurnya, hubungan kami masih belum ke tahap itu lagi,” pintas Marsha, memohon supaya topik perbualan segera dialihkan.

Siapa Julian di hati Marsha?

LEWAT ini kelibat Marsha lebih dilihat sebagai pelakon. Dua drama bersiri, Hotel Mania dan K.I.T.A menjadi bukti serius Marsha untuk membina kerjaya seni yang kukuh.

Lantaran lebih kerap dilihat sebagai pelakon, ada beranggapan Marsha cuba memilih haluan baru selepas karier nyanyian belum memberikan hasil selesa.

Diaju pertanyaan mengenai hal itu, Marsha berkata, dia masih belum mengalah untuk terus mencuba nasib sebagai penyanyi.

“Saya tidak pernah terfikir untuk berlakon. Tetapi apabila mencuba saya menemui keseronokan dan akan meneruskan karier itu kerana minat. Jujurnya, saya agak sukar untuk mencari keseimbangan antara nyanyian dan lakonan tetapi saya percaya kepada rezeki. Apa yang saya cari adalah kepuasan dan saya tidak melakukan sesuatu hanya untuk suka-suka.

“Disebabkan itu, walaupun sulit saya masih bersemangat untuk menyanyi kerana jiwa dan cinta saya masih di situ,” katanya.

Marsha juga berkata, dia gembira kerana impiannya dalam nyanyian kini direalisasikan Alibi Music menerusi single terbarunya, Ruang Kedua.

Lebih menggembirakannya, Ruang Kedua juga akan membuka langkahnya ke pasaran antarabangsa jika segala perancangan menjadi kenyataan.

Ruang Kedua menemukan Marsha dengan jejaka Perancis, Julian Cenly menerusi kolaborasi yang dialihbahasakan ke bahasa Melayu ilhamnya bersama Adeep.

“Saya tidak menolak apabila diminta merakamkan lagu ini. Mana mungkin saya menafikan ruang yang akan mendekatkan saya ke pasaran antarabangsa. Beberapa perancangan sedang disusun dan paling mengujakan, label turut mengusahakan pembikinan klip video yang akan diadakan di Perancis.

“Andai ada rezeki, dapat saya ke sana kerana lagu ini akan turut dirakam dalam bahasa Inggeris dan Perancis,” kata Marsha mengenai lagu ciptaan Jean-Philippe Bernie dan Abdelkrim El Habchi Virginie De Winter.

Julian ialah anak didik penyanyi antarabangsa, Anggun C Sasmi yang kebetulan albumnya diedar oleh Alibi Music, lantas memudahkan lagi kerjasama itu.

Penyanyi bertubuh sasa berusia 27 tahun itu juga dijangka akan bertandang ke Malaysia tidak lama lagi untuk mempromosikan albumnya.

“Saya cuma mampu mendoakan semua perancangan itu menjadi kenyataan. Saya berharap impak Ruang Kedua akan memberikan hasil positif kepada karier nyanyian saya,” kata Marsha yang terlebih dulu dikenali dengan lagu Sayang dan Yang Terbaik.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails