Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kahwin bukan kerana harta-Lily


PERKATAAN gatal, miang, tidak sedar diri dan bermacam lagi pasti terhambur keluar daripada mulut orang ramai apabila pengarah terkenal Aziz M. Osman mengumumkan majlis pertunangan dan pernikahannya dengan anak dara berusia 21 tahun baru-baru ini.

Namun, menyaksikan majlis pernikahan di Masjid Negara dan persandingannya di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur pada sebelah malam yang diadakan pada Ahad lepas ternyata, perbezaan usia serta kontroversi yang pernah tercipta sebelum ini larut dalam emosi cinta pasangan itu bersama restu yang diberikan oleh seluruh anggota keluarga, peminat dan sahabat handai.

Bagai pinang dibelah dua, Aziz, 48, dilihat tersenyum bahagia sepanjang majlis berlangsung, begitu juga dengan isterinya Puteri Lily atau nama sebenarnya Puteri Sarbainun Lokman, 21, yang tampak lebih matang daripada gadis seusianya.

Bicara Aziz, sebelum sah menjadi suami kepada Puteri Lily, dia mengakui pernah dibelenggu dilema apabila mengetahui usia sebenar Lily, ditambah pula gadis itu merupakan anak perempuan kepada kenalan keluarganya.

"Saya akui ketika itu saya cakap pada diri, gadis ini tidak boleh dijadikan teman istimewa kerana usianya waktu itu 20 tahun, lebih muda daripada anak sulung saya Puteri Nurul Fateha yang pada ketika itu berusia 21 tahun, walaupun pada saat itu, hati saya sudah terpaut padanya. Nanti orang kata saya gatal nak anak dara yang muda.

"Tetapi mungkin sudah ketentuan Allah, akhirnya jodoh saya dengan Lily kuat, ada sahaja jalan yang membuatkan kami dipertemukan. Alhamdulillah, kini kami sah sebagai suami isteri," tutur bapa kepada enam orang anak itu lagi.

Sambung pengarah filem XX Ray itu lagi, pertemuan tidak sengaja apabila Lily menemani pelakon kanak-kanak bernama Ain ke lokasi penggambaran drama berjudul, Lakar pada Mei tahun lalu menjadi titik tolak dalam perhubungan cinta mereka.

Ceritanya lagi, meskipun tidak mengenali siapa gadis itu, mata duda itu curi-curi pandang wajah Lily dan ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan apabila proses mengenali hati budi berlangsung dengan lancar apabila mereka keluar makan bersama-sama di One Utama, Damansara.

"Apabila saya ingin menghantar Lily pulang ke Cheras, Puteri Nurul Fateha telefon dan meminta untuk mengambilnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perak kerana kes H1N1.

"Jadi, disebabkan kesesakan lalu lintas, dia menemani saya mengambil Fateha. Sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Perak merupakan masa kami mengenali hati budi dan saya lihat dia matang serta boleh bergaul mesra dengan anak saya," ujarnya.

Meskipun sudah saling jatuh cinta, kata Aziz sebelum dia mengambil keputusan untuk menghantar rombongan meminang, kerap kali dia bertanyakan soalan yang sama kepada Lily.

"Antara soalannya, sudahkah dia bersedia untuk jadi isteri dan ibu kepada enam anak saya? Tidak menyesalkah dia berkahwin muda? Tetapi jawapan yang saya terima dia okey sahaja dan menerima saya seadanya.

"Bukan apa, saya tidak rugi berkahwin dengannya kerana saya dapat isteri muda. Sebaliknya yang rugi adalah dia, kahwin dengan orang tua siap dengan pakej enam orang anak," tutur Aziz dalam tawa.

Ibu segera

Bergelar seorang ibu dan isteri kepada enam orang anak pada usia 21 tahun merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan oleh Lily sebelum ini.

Bagaimanapun atas dasar cinta dan keserasian yang terbina antara mereka menyebab Lily sanggup mengorbankan zaman mudanya dan menjadi isteri kepada Aziz.

"Saya sedar menjadi isteri pada usia muda dan mempunyai anak segera menuntut tanggungjawab yang besar. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat kerana saya yakin dialah lelaki yang ditakdirkan dalam hidup saya," tuturnya.

Disoal mengapa dia menerima lamaran daripada Aziz, dalam senyuman Lily menjawab: "Saya rasa tenang bila abang Aziz ada dengan saya. Kalau ada masalah, dia seorang teman yang boleh diajak berbincang."

Sungguhpun begitu, sudah menjadi adat apabila seorang gadis muda setuju untuk bernikah dengan lelaki tua, stigma yang timbul pastinya, gadis itu berkahwin kerana harta.

Sama juga halnya dengan Lily, dia mengakui pada mula dia sedikit tertekan dengan cakap-cakap itu dan akhirnya menyedari bukan semua orang senang dengan setiap apa yang dilakukan.

"Kalau saya gila duit dan kahwin kerana harta lebih baik saya pilih orang lain yang kaya. Kenapa pula saya ingin pilih abang Aziz yang sudah mempunyai anak? Lebih baik saya hanya berkawan dengannya dan kikis duitnya.

"Saya berkahwin dengannya bukan kerana duit atau harta kerana bagi saya semua itu boleh dicari. Saya sendiri pun boleh cari duit dengan kudrat yang saya miliki, tidak perlu bergantung kepada sesiapa," balas Lily yang juga seorang pelakon baru.

Aziz yang duduk di sebelahnya mencelah: "Saya tidak pernah paksa dia untuk berkahwin dengan saya. Sebelum kami berkahwin saya cakap dengannya saya bukan orang kaya dan dia kata dia tidak kisah dan sedia untuk berkahwin dengan saya."

Saat ditanya tentang bilangan cahaya mata yang diinginkan mereka, Aziz dan Lily menyerahkannya kepada kuasa Allah dan mereka berdua belum menentukan destinasi bulan madu.

"Anak bawa rezeki kerana semakin bertambah anak saya, makin bertambah rezeki saya semua terpulang kepada ketentuan-Nya. Kalau cepat dapat anak saya tidak kisah," ucap Aziz.

Dalam majlis pernikahan tersebut, Lily yang dinikahkan oleh bapanya, Lokman Abd. Ghani sambil disaksikan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdullah Hashim menerima mas kahwin RM1,000 dan wang hantaran berjumlah RM15,000.

Lily turut menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki iaitu al-Quran, telekung, sirih junjung, set alat solek, sepersalinan kain, set minyak wangi Bvlgari dan cincin serta dibalas sembilan dulang hantaran oleh pihak perempuan yang berupa kemeja-t dan tali pinggang, coklat, sepasang baju Melayu dan kain samping, set minyak wangi Bvlgari, sirih junjung buah-buahan, kek, al-Quran dan cincin.

Afida Es terkejut

Mempunyai pengalaman dua kali menerima menantu secara sah dan sekali yang yang diisytiharkan tidak sah sebelum ini menyebabkan ibu kepada Aziz berhati-hati dalam memilih menantu kali ini.

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Afida Es yang mesra dipanggil Bonda itu menjalankan sesi soal siasat kepada bakal menantunya.

"Mula-mula saya terkejut kerana usia dia yang begitu muda dan kerana dia anak kepada Lokman Abd. Ghani yang merupakan rakan kepada arwah suami saya.

"Saya pun tidak kenal lama dengan Lily tetapi selepas berfikir panjang, saya pun tidak mahu lihat Aziz hidup sendirian kerana dia jenis orang yang suka duduk di rumah dan suka menjalankan tanggungjawab sebagai suami serta ayah," jelasnya yang berjumpa dengan Lily sebanyak tiga kali sebelum sah bergelar menantunya.

Lokman tidak sangka

Begitu juga halnya dengan bapa kepada pengantin perempuan, Lokman seorang pengarah teater yang pada mulanya terkejut apabila anaknya memberitahu Aziz ingin datang meminang.

"Saya terkejut sahajalah tetapi sebagai bapa saya doakan yang terbaik untuk anak saya. Ramai rakan yang cakap anak saya terlalu muda untuk berkahwin tetapi saya reda, itu jodohnya.

"Cuma saya cakap pada Aziz untuk membimbing dan menjaga anak saya dengan baik kerana dia masih muda," ujarnya tentang anak keempat daripada lima beradik itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails