Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Johan masih trauma!


BEKAS luka akibat dibaling gelas kaca oleh pengarah drama, Javerd Nizar, dalam pergaduhan kira-kira tiga minggu lalu jelas kelihatan di dahi pelakon, pelawak dan pengacara, Johan.

Sama seperti bekas luka itu, trauma yang dialami dek insiden yang menyebabkannya terpaksa menerima beberapa jahitan di dahi masih berbekas dalam hatinya.

Kata Johan ketika ditemui pada majlis pelancaran program terbaru kendaliannya iaitu Galaksi Sharp baru-baru ini, dirinya cukup trauma dan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berehat seketika selepas insiden itu berlaku.

"Saya akui saya trauma sebab itu, selepas kejadian tersebut saya berehat dalam masa seminggu, satu untuk berehat akibat kecederaan, kedua, untuk melapangkan fikiran," ujarnya.

Johan atau nama sebenarnya Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz, 26, sudah melantik seorang peguam bagaimanapun setakat hari ini masih belum ada sebarang keputusan tentang tindakan yang bakal diambil berhubung kes itu.

"Saya sudah buat laporan polis dan sudah lantik peguam. Saya rasa lebih baik biar polis menjalankan siasatan, jadi saya tidak boleh cakap lebih-lebih.

"Cuma apa yang boleh saya katakan, saya mencari keadilan daripada tindakan yang dilakukan ke atas saya, itu sahaja," tuturnya yang setia ditemani isterinya, Ozlynn Wati.

Disoal lagi, sejauh mana kebenaran tentang punca kejadian itu yang dikatakan bermula daripada masalah disiplin Johan iaitu sering datang lewat ke lokasi dan kata-kata kurang ajar yang dihamburkan kepada pengarah, Johan bagaimanapun enggan beri sebarang komen.

"Kenyataan itu hanya didengar daripada sebelah pihak sahaja bukan daripada pihak saya. Saya tidak boleh cakap banyak kerana kes masih dalam siasatan pihak polis."

Sudah memaafkan

Meskipun apa yang berlaku meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada Johan serta isterinya Ozlynn, sebagai manusia, mereka berdua sudah lama memaafkan Javerd atas apa yang berlaku.

"Saya sudah maafkan dia, begitu juga dia. Bagi saya dalam hal ini setiap orang ada salah masing-masing," jelasnya.

Walaupun kejadian berdarah itu dilihat seakan mencalarkan reputasi Johan sebagai seorang artis berkaliber, Johan tidak pula berhadapan sebarang masalah.

"Saya tidak rasa reputasi saya tercalar pun dan tawaran lakonan masih berjalan seperti biasa. Setakat ini tidak adalah penerbit atau pengarah mahu membuang saya daripada berlakon dalam produksi mereka," terangnya.

Buat masa ini, menurut Johan dia tidak mampu untuk menceritakan secara terperinci kejadian tersebut dan apa tindakannya seterusnya tetapi berjanji untuk bercakap secara terbuka dalam satu sidang media khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam masa yang terdekat.

"Itu janji saya, nanti masa sidang media itu, tanyalah apa sahaja dan saya akan jawab dengan terbuka. Malah, gambar kecederaan yang alami pun saya tunjukkan nanti," katanya.

Beraksi tanpa Zizan

Khalayak pastinya sudah terbiasa menyaksikan penampilan Johan bersama Zizan dalam mana-mana program televisyen sebelum ini seperti Jozan dan Raja Lawak.

Terbaru, Johan telah dipilih untuk mengendalikan sebuah program berbentuk permainan iaitu Galaksi Sharp yang telah mula ditayangkan di Astro Ria setiap Rabu pukul 9 malam bermula 26 Mei lalu.

Meskipun buat pertama kali tampil tanpa Zizan, Johan dilihat mampu membawakan program 13 episod tersebut dengan caranya sendiri.

"Kekok itu saya tidak nafikan pada awal episod kerana saya selalunya berdua dengan Zizan. Tetapi lama-kelamaan saya sudah boleh menyesuaikan diri.

"Bagi saya kendalikan program ini tidak sudah kerana pihak produksi membenarkan saya mencorakkan program ini dengan cara saya sendiri tetapi apa yang susah adalah mengendalikan artis yang ramai," katanya.

Setiap minggu program yang mempunyai tiga segmen permainan yang dinamakan Tajam Jelas, Tajam Pantas dan Tajam Tepat akan mengundang empat artis yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan yang menang akan diberi hadiah tetapi hadiah tersebut bukan untuk dibawa pulang oleh artis sebaliknya diberikan kepada rumah kebajikan yang terpilih.

"Itu yang saya suka tentang program ini, sambil berhibur kita juga beramal. Menariknya juga, setiap episod saya dan juga artis akan memakai kostum mengikut tema yang ditetapkan seperti pop yeh yeh, disko, lanun, rock kapak, hantu dan sebagainya.

"Itu yang menyebabkan program ini nampak lagi meriah. Mereka juga kena menari, menyanyi dan menjawab soalan yang sangat menguji minda," katanya.

Sementara itu, wakil pihak Sharp yang menaja sepenuh program itu menerusi Pengarah Urusan Sharp-Roxy Sales & Services Co. (M) Sdn. Bhd, Hiroyuki Nuizato berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menaja program tersebut.

"Idea program itu sendiri datangnya daripada Sharp. Selain, berhibur dan beramal, melalui cara ini Sharp amat berharap dapat meluaskan lagi pengaruh kepada penduduk tempatan.

"Jika program ini mendapat sambutan yang menggalakkan tidak mustahil pihak kami akan menaja musim kedua program Galaksi Sharp," ujarnya.

Antara barisan artis yang memeriah program ini adalah kumpulan Hujan, Nabil, Elyana, Raja Azura, Angelina Tan, Sepah, Dafi, Kish Vin, Rama, Adeline Tsen, Farawahida, Black dan ramai lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails