Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tiara belum putus harap


DUDUK bersembang dengan personaliti ternama ini, memang tidak sah kalau perbualan tidak menyentuh mengenai industri teater muzikal di negara ini.

Barangkali tidak keterlaluan untuk menyifatkan Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai sebagai pelopor kepada kejayaan teater muzikal tempatan yang sebelum ini dipandang sebelah mata sahaja.

Kejayaan yang dilakar menerusi dua pementasan mega yang cukup sukses, Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) dan P. Ramlee the Musical (PRM) membuktikan Tiara serius dalam langkah seninya.

Keseriusan Tiara mengangkat industri teater muzikal tempatan ke peringkat global tiada hadnya walaupun ada segelintir pihak yang memandang sinis usahanya itu.

Bagi isteri kepada tokoh korporat terkemuka negara, Datuk Seri Effendi Norwawi ini, dia berpegang teguh kepada pepatah lama, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Saya sedar untuk melakukan semuanya tidak boleh bergantung pada saya seorang Semua pihak tidak kira siapa harus berganding bahu memastikan teater muzikal tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya

Tiara yang juga Pengarah Urusan Enfiniti Vision Media itu berkata demikian dalam satu pertemuan dengan Hits di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pagi Isnin lalu.

Biarpun penatnya masih lagi belum hilang kerana baru sahaja pulang bercuti dari Perth, Australia, namun, Tiara tetap bersemangat memberikan hujah dan pendapatnya.

Menyambung perbualan, secara lahiriah, permasalahan itu sebenarnya bukan sahaja dialami di Malaysia bahkan negara-negara Asia lain yang mahu memasarkan produk mereka ke negara luar.

Sememangnya untuk mementaskan naskhah tempatan di pentas ternama dunia bukan mudah.

Semua itu memerlukan pengorbanan dan pelaburan yang bukan sedikit dalam usaha untuk membuka mata masyarakat dunia dalam mengiktiraf naskhah anak tempatan.

“Jangan sesekali membandingkan karya kita dengan apa yang dipersembahkan di West End mahupun Broadway kerana jaraknya umpama langit dan bumi.

“Mereka sudah lama terlibat dalam industri teater muzikal dan mementaskan ratusan karya di pentas agung mereka itu sepanjang beroperasi.

“Usah pandang kepada Barat, kita ambil contoh terdekat kita iaitu Korea Selatan yang kini sudah jauh ke hadapan dalam penghasilan teater muzikal.

“Bayangkan, mereka sudah mampu menerbitkan 150 buah teater muzikal dengan bantuan dan sokongan sepenuhnya daripada pihak kerajaan dan swasta,” tuturnya dengan maksud yang mendalam.

Ada kala hati kecilnya terusik apabila memikirkan segelintir pihak yang tidak melihat seni persembahan sebagai perkara yang serius.

Sedangkan pada hematnya, Malaysia berpotensi besar untuk membawa jauh namanya di pentas dunia menerusi teater muzikal yang dihasilkan anak tempatan.

Malah, kalau kena pada tempatnya tidak mustahil Malaysia juga mampu menjadi sehebat bandar raya terkemuka lain sebagai hab seni.

Justeru, apabila dia diundang sebagai salah seorang speaker bersempena LIVE! Singapore yang berlangsung sepanjang minggu ini di Singapura, Tiara mahu menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

Kata Tiara, inilah masa terbaik untuk dia dan panel lain membincangkan serta memikirkan strategi terbaik bagi mengangkat martabat teater muzikal di peringkat dunia.

Apatah lagi, apabila memikirkan kebarangkalian untuk peluang yang serupa akan datang lagi selepas ini, memang tidak wajar untuk Tiara menolaknya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila diberi peluang sebesar ini untuk sama-sama berkongsi pengalaman dengan delegasi yang dikhabarkan datang dari negara-negara Asia lain.

“Bukanlah saya mahu menunjukkan diri saya yang terbaik tetapi saya merasakan inilah masanya untuk kita sama-sama mencari penyelesaian dalam mengembangkan lagi pengaruh teater muzikal tempatan.

“Selain itu juga, saya dan dua pembentang lain akan turut membicarakan dan membincangkan tentang masa depan teater muzikal Asia di arena global,” ujarnya yang sememangnya teruja dengan jemputan daripada Koelnmesse dengan kerjasama IMG Artists itu.

Ini bukanlah kali pertama Tiara diundang oleh pihak luar untuk berkongsi pengalamannya di hadapan peserta asing kerana dia pernah berbuat demikian sewaktu menghadiri 3rd Global Cultural Industry Forum di Korea pada tahun 2006.

Selain Tiara, dua panel lain yang turut terlibat dalam pembentangan yang berlangsung hari ini (10 Mei) itu ialah penerbit teater muzikal Merchants of Bollywood, Toby Gough dan wakil dari Singapore Repertory Theatre, Gaurav Kripalani.

Sesi diskusi, pembentangan itu akan diketuai oleh Gilles Maheu iaitu pengarah yang cukup terkenal dan berjaya membawa dua teater muzikalnya, Butterflies dan Notre Dame de Paris menjelajah ke serata dunia.

LIVE! Singapore yang berlangsung selama lima hari bermula 8 Jun lalu di Pusat Konvensyen Resorts World itu tidak hanya tertumpu kepada seminar tetapi juga pesta perdagangan dan persembahan istimewa yang merangkumi semua cabang seni.

Menariknya tentang persidangan ini juga apabila ia menghimpunkan nama-nama besar dalam bidang seni yang berbeza dari seluruh pelosok dunia.

Sementara itu, Tiara turut mengkhabarkan berita gembira apabila dia telah diundang oleh Badan Pembangunan Ekonomi (EDB) iaitu sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura.

Lebih menarik lagi, apabila pihak berkenaan menawarkan peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Enfiniti dalam apa jua projek berkaitan seni persembahan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails