Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Manja tapi tiada cinta-Fouziah Gous


SELEPAS Iqram Dinzly, kebelakangan ini Fouziah Gous, 27, sering kali dilihat intim dengan Gambit Saifullah, 24. Apakah ini gambaran mungkin tiada lagi kisah membabitkan hubungan teman tapi mesra antara Fouziah dan Iqram yang pernah tercetus sebelum ini. Malah setakat ini sudah tiga kali jodoh begitu kuat menyatukan Fouziah dengan finalis Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, Gambit. Kali pertama bertemu ketika digandingkan dalam filem Rasukan Ablasa kira-kira tiga tahun lalu.

Seterusnya, mereka disatukan dalam drama Ibu Ampunkan Aku dalam slot Suatu Ketika di Astro Citra. Baru-baru ini, sekali lagi, mereka memegang peranan utama dalam filem Hantu Bukit Cina arahan Liza Ismail dan TS Jeffrey.

Tapi sebelum membuat sebarang kesimpulan, dua bakat pelapis yang terus mendapat perhatian dunia seni ini boleh disahkan masih belum ada apa-apa hubungan istimewa. Mereka sekadar rakan seperjuangan yang sering membantu melonjakkan kerjaya masing-masing.

Mereka boleh dianggap rapat dan jelas terserlah ketika sesi fotografi. Ada usikan manja terpacul di bibir masing-masing.

Tak semena-mena satu pukulan manja singgah ke badan anak muda itu. Gambit pula menyambutnya dengan renungan tajam seakan-akan geram namun tidak berpanjangan apabila senyuman manis mula menguntum daripada bibirnya. Jelas ada keserasian antara mereka.
Apa yang jelas, usia pembabitan seni mereka dalam tahun sama iaitu tahun 2006. Fouziah berkata, ketika kali pertama bersua, dia menganggap Gambit sebagai sombong dan keras kepala.

Tapi lama-kelamaan ketika persahabatan antara mereka kian serasi, wanita berambut ikal mayang ini mula selesa dengan kehadiran Gambit. Pernah juga, dia, Gambit dan Iqram lepak bersama-sama meredakan tekanan selepas sibuk.

“Sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu. Sewaktu terbabit dalam pra produksi Rasukan Ablasa, saya tak nafikan agak meluat dengan perangai dan karakternya. Memang tak kenal, maka tak cinta. Malah, ada yang tak kenal dia akan mula melabelkannya sebagai sombong. Selepas bekerjasama beberapa kali termasuk digandingkan dalam fotografi dan berborak, saya mula dapat membaca sikapnya.

“Lucunya kerana acap kali dilihat bersamanya, saya pernah menjadi seperti pembantu peribadinya apabila ada pihak tertentu dan rakan media yang meminta nombor telefonnya. Di awal kemunculannya, dia sedikit hilang hala tuju seperti tidak tahu apa matlamatnya dalam dunia seni. Namun, kini wawasan dan matlamatnya dalam dunia seni semakin jelas. Cuma dia sedikit rendah,” usik Fouziah di awal bicara sambil mengiyakan faktor rezeki dan hubungan rapatnya dengan Gambit antara sebab mereka sering menerima tawaran berlakon bersama.

“Tahun 2010 menjadi permulaan yang baik buat kerjaya seni saya. Saya suka bekerja. Rezeki tak putus dan selagi ada ruang untuk mengumpul duit, saya akan manfaatkan untuk kebaikan dan masa depan yang lebih baik.

“Nak berehat lama pun tak boleh sebab undangan berlakon silih berganti,” katanya yang selain menunggu tayangan filem Hantu Bukit Cina turut menanti kemunculan filem Rasuk dan Ratu.

Mahu terus fokus

SEMENTARA itu, Gambit Saifullah yang mula mengecapi populariti selepas tercalon dalam ABPBH 2009 sudah fokus dengan apa yang ingin dilakukannya selepas ini. Selain berlakon, tugasan untuk menerbit video korporat tidak sesekali dilupakan.

Pelakon yang beraksi dalam drama Siong itu juga meletakkan harapan tinggi untuk bergelar penerbit filem suatu hari nanti. Seiring dengan pengalamannya, Gambit mahu lebih teliti mencari watak yang dapat memberi kesan kepada penonton.
Kalau diberi peluang dia seronok berlakon filem. Dia yakin setiap pelakon mahu memberikan yang terbaik.

“Saya tak bermaksud tidak mahu berlakon drama. Kalau ada tawaran yang baik, pasti saya mempertimbangkan. Paling kurang pun, dalam setahun, dua kali saya muncul di TV untuk drama sudah memadai. Ia sebagai strategi untuk memberi isyarat bahawa saya masih wujud dalam bidang lakonan.

“Saya mahu memilih karakter yang menarik tak kira untuk filem, drama atau telefilem. Ini bukan bermaksud jual mahal. Dalam satu peringkat kita perlu lebih berhati-hati mengambil watak tertentu. Tak kiralah sebagai teraju utama mahu pun sokongan, ia perlu dilakukan dengan penuh bertanggungjawab,” katanya yang memegang watak Zack dalam filem Hantu Bukit Cina dan Fouziah sebagai Johana.

Gambit dilihat mempunyai pakej besar untuk menjadi pelakon disegani. Cuma ada yang melihat faktor ketinggian sebagai penghalang. Sambil berseloroh, jika ada pembedahan yang boleh dilakukannya untuk menambahkan ketinggian, dia mahu melakukannya.

“Setiap orang di muka bumi ini pasti ada kekurangannya. Saya menerima diri seadanya,” katanya.

Dia juga turut diajak berkongsi pandangannya mengenai Fouziah. Antara kenangan masih di ingatan Gambit apabila mengusik Fouziah dengan seekor ular ketika terbabit dalam penggambaran filem Hantu Bukit Cina. Perbuatan itu sudah membuatkan Fouziah menitis air mata dan baru mengetahui temannya takutkan ular.

“Kami memang selalu mengusik dan ‘bergaduh’ sesama sendiri. Kami berpeluang mengenali masing-masing dengan cara dua pandangan berbeza, serius dan santai. Lumrah setiap manusia ada pelbagai ragam perangai.

“Tidak terkecuali kami juga. Saya sering dianggap tidak banyak bercakap tetapi dengan dia saya boleh bercakap pelbagai perkara terutama membabitkan kerja.
“Walaupun nampak lembut tetapi dia juga agak ‘ganas’. Tapi taklah ganas sangat. Sebenarnya bagi saya Fouziah memang sangat cerewet seperti ketika menyiapkan rambutnya. Biasalah orang perempuan,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails