Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Abby Abadi akui Zul istimewa


AKTRES Abby Abadi tidak mahu mengulas lagi riwayat rumah tangga yang dibina atas dasar cinta bersama ‘pelakon lelaki’ itu. Biarlah ia berlalu dan dia tidak mahu mengenang peristiwa yang menyebabkan wajahnya menghiasi hadapan muka akhbar hampiran setiap hari lantaran cerita sensasi itu. Dia juga tidak kisah sekiranya ada pihak yang masih mengata, mencemuh, mengeji atau membencinya apabila dikatakan punca bagi perpisahan itu. Detik hatinya, orang hanya melihat luaran sahaja. Mereka tidak mengetahui apa yang ditanggung oleh dirinya yang sebelum ini sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga.

Iyalah, isteri mana yang mahu melihat istana kaca yang dibina bersama orang tercinta berkecai berai. Apatah lagi menghancurkan semua rancangan masa depan anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa itu. Namun, semua itu tidak terdaya untuk diteruskan lagi apabila secara rasminya dia bergelar ibu tunggal.

‘‘Semua susah payah saya telan walaupun pahit sedikit demi sedikit. Saya pujuk hati agar tabah dan berkat doa ibu dan ayah, saya bangkit dari kesedihan masa lalu. Biarlah yang lepas itu lepas. Tidak ada yang perlu dikenang dan diingat kerana sudah menjadi sejarah.

‘‘Saya bangkit dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Caranya dengan menyibukkan diri setiap masa dan memastikan tiada detik pun saya bisa bersendirian. Apa sahaja tawaran di hadapan mata, saya tidak menolak dengan satu niat, semuanya kerana anak-anak,’’ bicara Abby satu persatu.

Pemilik nama penuh Arbaeyah Abdul Manan ini memberitahu bahawa tiga cahaya matanya iaitu Danish Hakim, 7, Marisa Dania Hakim, 5, dan Maria Danisha Hakim, setahun setengah adalah perisai kekuatan dalam hidupnya. Dia menyedari bahawa prceraian bukan penyebab Abby memisahkan kasih sayang seorang bapa kepada anak-anaknya. Justeru, Abby tidak pernah menghalang sebarang pertemuan anak beranak itu.

Biarpun hati wanitanya pernah terguris dengan pendedahan berani bekas suami dengan kekasihnya yang sengaja mencari publisiti murah. Termasuk penyiaran gambar penuh kemesraan tiga permata hatinya di media massa yang dimuat turun dari Facebook ‘wanita itu’ satu ketika dahulu.

Apa motif yang ingin ditonjolkan ‘sang kekasih’ itu, Abby mengunci mulutnya dan enggan memberi pandangan. Katanya ringkas, biarlah mereka buat apa sahaja asalkan tidak melibatkan dirinya.

Prinsip Abby mudah, dia tidak mahu ada wanita lain berperanan sebagai emak kepada ketiga-tiga permata hatinya. Banyak sangat timbul keraguan untuk menidakkan kehadiran perempuan lain bagi mengganti peranannya.

Sebab itu, dia rela menanggung susah payah membesarkan anaknya sendiri. Dia sanggup berdepan dengan situasi kepayahan termasuk dalam bentuk kewangan demi memastikan mereka tidak berputus kasih dengannya.

Saat diajukan cerita mengenai bekas suaminya mahu berkahwin dengan kekasihnya itu, kelihatan Abby hanya tersenyum sebentar.

Jujurnya, dia tidak berminat langsung untuk mengetahui apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan dari mulut dua kekasih itu. Sungguh! Biarpun Abby sering diasak dengan cerita yang memedihkan telinga mengenai perihal kelakuan mereka, namun dia sebenarnya sudah tidak kisah dan tiada perasaan untuk mengambil tahu.

‘‘Saya hanya marah dan kecewa sekiranya ‘lelaki itu’ lepas tangan, tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak. Itu memang pantang saya. ‘Dia’ boleh berbuat apa sahaja tetapi perlu ingat pada darah daging sendiri. Janganlah menangguk di air keruh pada situasi berdikit-dikit yang saya alami ini,’’ katanya.

Peneman suka duka

Pada masa yang sama, anak bongsu dari tujuh beradik ini juga dikaitkan dengan seorang aktor baru yang kacak dan tampan bernama Zulkifli Ariffin atau Zul. Persoalan timbul seandainya dia sengaja mencari publisiti dengan mendedahkan keakraban hubungan yang dijalin kepada orang ramai.

Gosip itu semakin semerbak apabila gambar mesra mereka berdua yang ‘diceduk’ dari Facebook miliknya iaitu Abby Abadi Lurvly Fanpage tersebar. Akibatnya, bekas anggota kumpulan Elite itu dicerca dengan kata-kata sinis sehingga menjatuhkan maruah diri sendiri.

Tegasnya, perkara itu berlaku tanpa pengetahuan dan sudah pasti dia sangat ralat dengan situasi tersebut. Namun, apa daya wanita berusia 32 tahun ini untuk menyatakan rasa kurang senangnya dengan situasi berkenaan.

Lantas, dia mengambil inisiatif dengan memarap setiap gambar yang dimuat turun dalam akaunnya itu. Meskipun agak leceh dan mengambil sedikit masa untuk melakukannya tetapi itu sahaja cara untuk memastikan tiada pihak yang berani mengambil kesempatan.

Beralih kepada topik ‘cinta barunya’ itu, ada riak ceria di wajah Abby. Lama juga mengambil masa untuk menyusun kata agar maksud yang ingin diterjemahkan tidak disalah erti.

‘‘Zul adalah antara lelaki yang rapat dengan saya dan kami selesa bersama. Mungkin juga kami berada dalam industri dan berkongsi minat yang lebih kurang sama. Dia sering membantu di kala saya dalam kesusahan dan menjadi pendengar setia sekiranya diperlukan.

‘‘Benar, semuanya secara kebetulan. Selepas berlakon bersama dalam drama Apa Itu Cinta untuk Astro lebih kurang setahun setengah dahulu. Itulah kali pertama kami bertemu di lokasi penggambaran,’’ kata Abby tanpa berselindung.

Namun, benih hubungan itu mekar semasa Zul memberi ucapan hari raya pada tahun 2008 sebanyak tiga kali yang menyebabkan Abby rasa pelik dengan tindakan lelaki yang berasal dari Perak itu. Di situlah mereka mula rapat dan mengenali hati budi masing-masing.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui apa sahaja pandangan orang lain terhadap hubungan tersebut, dia terima. Malah, dia tidak kisah sekiranya orang rapat mengatakan dia kekasih Zul. Tidak ada perkara yang boleh dikecohkan kerana ikatan yang dibina itu atas dasar sahabat semata-mata.

Tambahnya, pada zaman serba moden ini, Abby tidak berhak untuk mengunci kata-kata liar tentang dirinya terutama berkenaan cerita mengatakan dia bakal bertunang dengan Zul tidak lama lagi.

‘‘Pertunangan itu tidak berlaku dan buat masa sekarang, saya tidak ada rancangan ke arah itu. Saya masih lagi ‘bujang’ seperti seadanya. Biarlah Zul membina namanya dalam bidang lakonan dahulu. Saya tidak mahu menjadi penghalang kepada minatnya itu,’’ kata usahawan ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails