Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Pedulikan cakap orang....'-Nabil dan Diana


Nabil, Diana akui rimas dengan pelbagai kontroversi, nafi mula ‘besar kepala’

JAUH di sudut hati, mereka juga inginkan ketenangan dan kebebasan seperti insan lain. Namun lumrah anak seni, hidup mereka bagaikan terkongkong dek populariti yang dikecapi. Apa yang dilakukan sering jadi perhatian, malah jika silap percaturan, ada saja yang tidak kena pada pandangan mata. Kontroversi pula bagaikan makanan yang perlu dimamah setiap masa. Hidup Ahmad Nabil Ahmad, 27, dan Diana Danielle Danny Beeson, 19, tidak pernah surut dengan kontroversi. Walaupun cuba menepis dan menangkis sebaik mungkin, dua anak muda yang kini menjadi buruan produser dan pengarah filem itu tidak mampu menghalanginya. Nabil dan Diana adalah insan yang bertuah. Mereka tidak perlu bertatih dan merangkak seperti anak wayang lain untuk mengecapi nama dan populariti. Dek kelebihan itu, mereka dianggap `besar kepala' pula. Bagaimanapun, prinsip Nabil dan Diana mudah saja, pedulikan cakap orang sebab mereka sudah letih melayan segala tohmahan dan fitnah.

Selepas filem Magika, Nabil dan Diana sekali lagi bekerjasama dalam filem Kecoh Betul garapan S Baldev bersama Ikhzal Azfarel Ideris sebagai pengarah bersama dan diterbitkan White Merpati Entertainment Sdn Bhd. Selain Nabil dan Diana, filem bergenre aksi komedi itu turut dibintangi Saiful Apek, Ngasrizal Ngasri, Vanessa Chong, Karam Singh Walia, Shah R, Sheila Mambo dan Datuk Aziz Sattar. Ia akan menemui penonton di pawagam pada Khamis, 3 Jun ini.

Menyemat azam dan dan semangat yang kuat, Diana akui: "Jika ikut rasa, binasa dan jika ikutkan hati, mati... Jadi, saya sentiasa meletakkan kewarasan sebagai keutamaan. Tidak dinafikan, ada kalanya saya bingung memikirkan gosip yang tidak tentu hala, lebih lagi mengaitkan nama ibu saya tapi inilah bayaran yang saya terima apabila memilih hidup sebagai anak wayang. Pahit atau manisnya, saya terpaksa telan.

"Bagi saya, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Saya tidak terkejut jika ada yang menganggap saya mula `besar kepala' dan `demand' apabila rezeki semakin mencurah-curah. Saya tidak nafikan, tentunya saya inginkan karya bagus, selain mengimpikan bekerja dengan pengarah yang punya nama besar selepas empat tahun bergelar pelakon.
"Saya bukannya memilih sangat, tetapi saya mahu sesuatu yang baru untuk menguji kemampuan saya. Bagaimanapun, ada yang tersilap tafsir, mereka anggap saya terlalu memilih dan besar kepala. Saya bersyukur nama saya jadi pilihan membintangi filem-filem hebat, tetapi saya tidak pernah mengetepikan peluang lain jika ada masa terluang.

"Pelakon mana yang nak tolak rezeki, tetapi kini, masa saya terbahagi kepada dua perkara antara pelajaran dan lakonan. Saya akui terlalu banyak filem yang terpaksa ditolak disebabkan terikat dengan pelajaran. Saya tidak sanggup mengorbankan pelajaran dek kerana terkejar-kejar dunia lakonan."

Muak gosip cinta dengan Farid Kamil

GADIS kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat itu berkata, dia semakin muak apabila isu percintaan dengan pelakon Farid Kamil sering menjadi persoalan utama. Masih lagi dengan prinsip, mereka hanya bersahabat baik, Diana nyata belum bersedia berkongsi rahsia hatinya.

Namun menjadi persoalan, tidakkah timbul bunga cinta di hati selepas lebih setahun saling mengenali? Sambil ketawa, Diana akui: "Apa yang nak dikejar sangat, biarlah kami berkawan dulu. Tidak timbul soal bunga-bunga cinta, kami masih berkawan lagi.

"Saya masih muda, laluan saya masih panjang. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, jadi biarlah hubungan saya dengan Farid berlandaskan persabahatan, bukan perasaan cinta. Bukan tidak mahu mengakui hakikat sebenar atau menyembunyikan hubungan yang terjalin, tetapi belum masanya saya nak bercinta.

"Lagi pun saya tidak mahu menjejaskan kerjaya. Saya sedar ramai peminat yang tidak senang dengan pendedahan kisah cinta, saya tidak mahu peminat jemu dan mula membenci apabila kerap membaca cerita peribadi. Soalnya saya juga tidak bercinta dengan Farid.

"Bagaimanapun, sebagai teman, saya menyenangi Farid. Dia seorang yang simple, releks dan tahu mengawal situasi. Saya pernah melalui perhubungan yang tragis dan membuat saya sentiasa dalam tekanan, tentunya saya tidak mahu berhadapan dengan episod duka lagi dan paling penting, tiada siapa melainkan ibu boleh mengongkong saya."

Menyentuh filem Kecoh Betul, Diana berkata wataknya sebagai Dayana agak ringan dalam filem itu. Bagaimanapun, cabarannya apabila berdepan dengan Nabil, Saiful Apek dan Ngasrizal Ngasri atau Bell yang lucu, selamba dan sentiasa menggamatkan keadaan.

"Saya akui karakter Dayana kurang menonjol kerana saya bukannya watak utama. Cerita lebih kepada Nabil, Saiful Apek dan Bell. Bagaimanapun, saya sudah biasa bekerja dengan pengarah yang kali pertama mengarah. Bukan hanya S Baldiv, tetapi sebelum ini, saya pernah bekerja dengan Edry Abdul Halim untuk filem Magika, Khir Rahman (.... Dalam Botol) dan Shamsul Datuk Yusof (Evolusi KL Drift)," katanya.

Nabil akui filem lakonannya belum ada impak

SUNGGUHPUN gagal mempertahankan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), tahun ini, namun rezekinya dalam bidang lakonan dan pengacaraan masih mencurah-curah. Nabil kini berjinak-jinak dalam bidang nyanyian apabila muncul single demi single bersama komposer Ajai.

Bagaimanapun, cabaran Nabil kini adalah berdepan tindakan saman SDAF Pictures Sdn Bhd yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM). Syarikat penerbitan filem itu bertindak menyamannya dengan tuntutan sebanyak RM2 juta, selain meminta mengembalikan wang lakonan yang diberikan sebanyak RM30,000.

"Kes saman itu diteruskan dan akan diperdengarkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Bagaimanapun, saya sudah bertemu peguam dan majlis timbang tara akan mempertimbangkan kes dulu sebelum masuk mahkamah. Sebenarnya, selepas kejadian saya tidak pernah lagi berhubung dengan pengarah filem, Aminah Rhapor atau kakitangan syarikatnya.

"Saya akui serik, tetapi ia tidaklah memberi tekanan hebat. Saya bertemu dengan ramai pengarah dan pelakon berpengalaman meminta pandangan, mereka minta saya tidak mengulangi lagi tetapi itu bukan bermakna saya tidak boleh bercakap jujur atau menjadi penipu.

"Apa saja komen seharusnya memikirkan kedua-dua pihak, jangan hanya memikirkan ketidakpuasan hati. Saya faham penerbit mengeluarkan bajet berjuta-juta untuk sesebuah filem, bagaimanapun komen saya mengenai filem LPSdM adalah berasas dan disokong oleh pihak media massa. Jika orang luar boleh komen, kenapa tidak pelakon? Sepatutnya mereka (penerbit atau pengarah) juga mengambil kira pandangan pelakon untuk memajukan industri perfileman negara, bukan mengajar pelakon jadi hipokrit. Bagaimanapun, biarlah undang-undang memberi keadilan pada kes saya," katanya yang kini sibuk dengan skrip filem pertama terbitan syarikatnya.

Nabil berkata, gelaran Juara Raja Lawak, Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2008, Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008, Bintang Paling Popular ABPBH 2008 dan Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2009 banyak membantu dirinya mengekalkan populariti namun dirinya belum teruji dengan karakter berkesan dalam lakonan. Beberapa filem yang menampilkannya sebagai pelakon utama tidak memberi impak.

"Saya akui kehadiran saya dalam filem tidak mampu memberi impak seperti Shaheizy Sam dalam filem Adnan Sempit. Namun harus diingat, semua filem awal itu adalah tempoh percubaan dan pembelajaran. Saya hadir dalam dunia seni dengan tangan kosong, jadi berilah saya masa untuk membuktikannya.

"Saya lihat dulu pelakon hebat seperti Rosyam Nor dan Eman Manan juga bermula dengan filem-filem yang tidak menjadi, tetapi bakat dan keupayaan mereka akhirnya terserlah dengan filem hebat. Lagipun saya bukannya pelakon terbaik, jika saya dinobatkan sebagai pelakon terbaik tentunya saya malu besar jika berlakon dalam filem LPSdM. Bagaimanapun, saya tidak pernah menyesal, malah saya belajar daripada pengalaman indah dulu.

"Saya kini lebih memilih skrip, tetapi bukan bermakna saya sudah `besar kepala' dan memandang rendah pada karya orang lain. Apa yang saya lakukan untuk kerjaya. Saya tidak mahu dianggap sebagai artis cop lama dan ketinggalan zaman. Memang saya cari makan dalam bidang seni, tetapi saya perlu melalui fasa baru untuk kebaikan dan kepuasan," katanya yang kini sibuk dengan latihan teater Cuci The Musical.

Menyentuh filem Kecoh Betul, Nabil berkata dia berasakan Saiful Apek masih mempunyai aura yang kuat untuk menarik penonton ke pawagam. Kata-kata idolanya itu sudah tenggelam hanyalah pandangan sesetengah pihak.

"Walaupun babak Saiful Apek tidak banyak dalam filem ini, dia masih lagi punya aura yang kuat. Saya percaya peminat Saiful Apek tidak pernah berpaling, malah selepas sekian lama tidak muncul, tentunya mereka rindukan kehadirannya. Saya sendiri rindu mahu melihat lakonannya di layar perak.

"Filem ini adalah diri saya sendiri. Tidak susah membawa watak diri sendiri kerana pengarah memberi kebebasan pada saya, Bell dan Shah R. Bagaimanapun, cabarannya tetap tetapi tidaklah terlalu teruk sehingga bermain dengan emosi," katanya.

Info Nabil

NAMA: Ahmad Nabil Ahmad
TARIKH LAHIR: 26 September 1983
ASAL: Mambau, Negeri Sembilan
USIA: 27 Tahun
ADIK-BERADIK: Anak ketiga daripada tujuh beradik
PENCAPAIAN: Juara Raja Lawak 2, Artis Baru Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular & Bintang Paling Popular (ABPBH 2008), Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2009
FILEM: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee... Hantu, Momok The Movie, Pisau Cukur, Magika, Uncle Hussein, Bangladesh & Cicak-Man 3
PROGRAM TV: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Apa Cerita Nabil, Hua ... Hua ... Hua ..., Pondok-Pondok, Studio Nabil, Ewah Ewah, Hartamania dan Nabil & Co
TELEFILEM: Sonata Labu-Labi

Info Diana

NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson
NAMA KOMERSIAL: Diana Danielle
USIA: 19 Tahun
TARIKH LAHIR: 22 November 1991
TEMPAT LAHIR: Houston, Amerika Syarikat
KETURUNAN: Melayu-Amerika
ADIK-BERADIK: Anak Tunggal
KERJAYA: Model/ Pelakon/Penyanyi
DRAMA/TELEFILEM: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah, Teres Kembar Empat & Gundorowo
FILEM: Idola, Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia... Jalan Pilih Jalan Hitam, Setem, Kecoh Betul, Magika, ... Dalam Botol & Hanyut
LAGU: Radio (bersama Imran Ajmain, Ahmad Nabil dan Infinatez), Penyembuh Rindu (duet bersama Mawi)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails