Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Belum terfikir cari pengganti-Nora Danish


SETAHUN yang lalu, kehidupan aktres comel ini sarat dengan dugaan yang berkaitan dengan karier dan peribadinya.

Andai emosinya tidak kental, pastinya air mata akan menjadi peneman setia di kala duka.

Namun, Nora Danish enggan menjadi seorang wanita lemah yang terus meratapi kesedihan dan kedukaan.

Apa yang penting baginya terus bangkit dan berjuang demi satu-satunya anak lelaki tunggalnya, Putera Rayqal Ramli yang kini 16 bulan.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Arjuna terbitan KRU Studios baru-baru ini, Hits berkongsi perihal terkininya.

Maklumlah, Nora sememangnya seorang aktres yang cukup sibuk sehinggakan mahu mencuri masa untuk sesi fotografi pun begitu sukar sekali.

Lalu, apabila sudah dapat duduk bertentang mata dengan Nora, persoalan pertama yang diajukan kepadanya adalah tentang kehidupannya kini.

Dalam nada ceria biarpun masih lagi tidak sihat kerana selesema, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif mengakui, dia makin gembira dengan apa yang dilaluinya kini.

Soalan nakal mula diajukan kepadanya adakah dia sudah pun menemui pengganti selepas hampir dua tahun bergelar ibu tunggal.

Sambil mengukir senyuman yang menaikkan lagi seri wajah mulusnya itu, Nora pantas menggelengkan kepala.

"Saya masih lagi solo dan selesa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

"Belum terlintas di hati untuk mencari pengganti kerana fokus utama sekarang adalah kerjaya dan Rayqal," jawab Nora tenang.

Mendengarkan jawapannya itu, kedengaran agak mustahil pula apabila wanita secantik Nora belum lagi menemui pengganti bagi mengisi kekosongan hatinya.

Adakah ini bermakna Nora serik dengan segala episod penuh lara yang dilaluinya sebelum ini?

Maklumlah, apa yang dilalui Nora sepanjang bergelar seorang ibu tunggal telah meninggalkan impak yang bukan sedikit.

"Istilah serik tiada langsung dalam hidup saya kerana apa yang saya lalui selama ini merupakan pengajaran dan pengalaman yang mematangkan saya.

"Ketika ini kesibukan saya sebagai pelakon dan ibu membuatkan saya sukar mencari cinta baru.

"Saya mahu hidup tenang. Saya juga tidak mahu lagi mengenang kisah lalu. Saya percaya semua orang perlu meneruskan kehidupan tanpa lagi dibayangi kisah silam," ujar Nora, 28, dalam nada optimis.

Pelakon yang mula menempa nama menerusi drama bersiri Puteri itu turut ditanya tentang gambarnya bersama seorang lelaki yang pernah tersebar luas di alam maya sebelum ini.

Gara-gara gambar itu, ramai yang mengandaikan jejaka di dalam gambar itu kekasih baru Nora.

Tidak melenting dengan insiden itu, Nora memaklumkan lelaki yang bergambar dengannya itu hanyalah teman biasa yang dianggap sahabat.

Pada masa yang sama juga, Nora mengakui, memang ada lelaki yang cuba merapatinya untuk menagih cinta.

"Gambar itu langsung tidak memperlihatkan yang kami bercinta.

"Saya tidak menafikan saya memang berkawan dengan ramai orang tetap percayalah, cinta belum ada dalam diri saya buat masa ini.

"Kalau ada yang mahu mendamba cinta saya, mereka perlu bersedia menerima anak saya terlebih dahulu," tegasnya menyatakan pendiriannya terhadap mana-mana lelaki yang mahu mendampingi dirinya.

Berbicara tentang Rayqal, sememangnya Nora tidak menolak untuk bercerita tentang putera tunggalnya hasil daripada perkahwinan dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli.

Biar sibuk mana pun dirinya, Nora akan memastikan dia akan mempunyai masa yang cukup untuk diluangkan bersama Rayqal.

Apatah lagi usia anak kecil itu semakin meningkat dan sudah mula memanggil Nora dengan panggilan mama membuatkan wanita membuatkan rindunya terus meluap-luap biarpun ditinggalkan seketika.

"Saya mahu memastikan Rayqal dicurahi dengan sepenuh kasih sayang daripada saya dan bekas suami yang saya sifatkan sebagai seorang bapa yang cukup penyayang serta bertanggungjawab.

"Kami bahagia menjalinkan hubungan sebagai kawan dan sehingga kini, semuanya berjalan lancar serta tiada masalah antara kami.

"Semuanya kini adalah tentang Rayqal dan apa yang membuatkan saya gembira apabila anak saya terus dilimpahi dengan kasih sayang yang mencurah-curah dari keluarga saya mahupun bekas keluarga mertua saya sendiri," ujar Nora dalam nada gembira.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails