Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Godaan Nurul Ekasari

Pernah dihimpit tawaran nakal yang cuba memusnahkan reputasinya sebagai pelakon baru JALAN untuk pantas mencipta nama sentiasa terbuka, cuma terpulang bagaimana seseorang bakat baru memanfaatkan laluan di depan mata dalam menggapai keinginan itu. Pelakon muda kelahiran Jakarta, Indonesia, Nurul Ekasari, 24, mengakui pernah dihimpit tawaran yang cuba menghanyutkan dirinya ke lembah hitam tatkala memilih untuk serius mendalami bidang lakonan. Akur industri hiburan Indonesia lebih terbuka membentangkan pelbagai kemungkinan yang boleh merosakkan nama baiknya, Nurul Ekasari atau mesra disapa U’ul enggan terjerat dalam keseronokan sementara. Biar sulit mendaki, gadis yang dilahirkan pada 13 Disember 1987 percaya kesabarannya akan dibalas sesuatu yang berharga jika berpegang kepada prinsip ikhlas dan jujur dalam menjalani karier seni. Dari awal lagi, U’ul yang memulakan tapak dengan membintangi iklan komersial dan model majalah mempertahankan pendiriannya dengan menolak tawaran untuk mendedahkan susuk tubuhnya. Bimbang jika ada yang cuba mengambil kesempatan atas dirinya, sering sesi uji bakat dihadirinya akan ditemani bapanya kerana U’ul mahukan keselesaan. “Terserah apa juga tafsiran ramai tetapi mencegah itu lebih baik daripada merawat. Setiap orang punya cara sendiri dan ini cara saya. Saya seorang agak selektif dan mungkin sebab itu, nama saya belum terlalu menyerlah di Jakarta. Ia bukan masalah besar kerana saya baru dua tahun serius menjadi pelakon. “Industri hiburan di sana terlalu terbuka dan bebas, malah ada sanggup melakukan apa saja untuk segera popular. Tetapi berbaloikah menggadai maruah dan nama baik keluarga besar hanya kerana mahu mendapat tawaran lumayan? Lebih baik saya mendaki tangga populariti perlahan-lahan. Disebabkan pernah diganggu dengan kata kurang sopan ketika sesi uji bakat, saya jadi lebih berhati-hati malah senang ditemani papa supaya tiada yang ambil kesempatan,” kata U’ul yang bertandang ke Kuala Lumpur selama dua minggu untuk promosi filem lakonannya, Chantek. Pernah menghiasi filem Bait Surau serta sinetron, Bukan Islam KTP, U’ul meletakkan dirinya masih pada tahap permulaan kerana bakatnya belum meluas dikenali di negara kelahirannya sendiri. U’ul menerima kenyataan, sinetron bukan tempat yang sesuai untuk mereka yang mahu mencari kemewahan kerana bayarannya tidak terlalu besar. “Jika mahu bayaran lumayan, beralih saja ke lakonan komersial. Tetapi kalau ingin mencipta nama besar, sinetron adalah tempatnya kerana ia ditonton lebih meluas dan sambutannya juga hebat. Saya cuba mengimbangi antara kedua-dua cabang itu. Tidak mudah untuk mendapat tawaran di Indonesia kerana persaingannya terlalu sengit. Bayangkan jika sudah punya nama juga, kami masih terpaksa melalui sesi casting untuk kesesuaian watak. Setiap orang perlu serius kerana kalau tidak, kamu akan terlepas peluang keemasan itu,” katanya. Agak senior dalam lakonan komersial, U’ul sedikit bertuah kerana tawaran sering diterimanya daripada agensi yang pernah mendapatkan khidmatnya. Cuma untuk lakonan filem cereka, lulusan bidang penyiaran dari Universitas Persada Indonesia (UPI) masih perlu bekerja keras mencari ruang supaya namanya sebaris bintang muda popular lain. “Secara jujur, saya lebih senang dalam lakonan komersial kerana kerjanya tidak lama dan bayarannya juga lumayan. Tetapi saya harus terima kenyataan, jika terlalu banyak pendedahan nilai komersial saya akan menurun. Mahu atau tidak saya perlu menyalurkan bakat itu ke satu cabang baru. Saya mencuba lakonan sinetron dan filem kerana mahukan tawaran kerja lebih mencabar,” katanya yang muncul dalam iklan McDonald, Daihatsu Terios dan Toshiba Glacio, selain pernah membawa watak antagonis dalam telefilem, Ku Gapai Cinta Di Bali siaran Indosiar dan Cewekku Preman Cinta di RCTI. Chantek bawa U'ul ke KL FILEM romantik, Chantek arahan Pierre Andre membawa Nurul Ekasari atau U’ul ke Kuala Lumpur untuk mempromosi dan memperjudikan bakatnya sama ada diterima baik atau sebaliknya oleh penonton di Malaysia. Memainkan watak pembantu rumah Indonesia bernama Chantek, tawaran menjayakan sesi uji bakat filem itu diterimanya dua hari selepas menyelesaikan tugasan akhirnya di Universitas Persada Indonesia (UPI). “Saya tidak sempat membuat persediaan, pergi sekadar mencuba, namun tidak terlalu menaruh harapan kerana ramai lagi yang berbakat besar turut serta dalam sesi uji bakat itu. Saya hanya mengenali Pierre Andre sebagai pengarah tanpa pernah tahu dia juga seorang pelakon. Hanya selepas menerima tawaran, baru sepupu saya yang kebetulan tinggal di Kuala Lumpur memberitahu Pierre sebenarnya turut dikenali sebagai pelakon. “Tidak banyak perbezaan dari segi cara kerja, cuma jadual penggambaran filem di sini lebih panjang. Di sana, biasanya filem akan selesai penggambaran dalam masa hampir dua minggu tetapi di Kuala Lumpur mencecah sebulan. “Dari segi penghayatan watak, saya tidak berdepan masalah besar. Sebaik saja menerima skrip, saya mempelajari tuntutan watak itu daripada seorang teman supaya saya lebih mendalami dan mengenali siapa Chantek yang sebenar. Saya akui, watak Chantek tidak terlalu berat, cuma saya tercabar ketika sesi memasukkan suara. “Tidak mudah membuat suara lelaki ketika Chantek menyamar untuk mendapat pekerjaan sebagai pembantu rumah Ad Adi (lakonan Pierre),” katanya yang sedang menanti filem terbaru lakonannya, Bitter Sweet Heart ditayangkan di Indonesia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails