Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Semarak api cinta - Rozita Che Wan dan Zain

TIDAK semudah membalikkan telapak tangan untuk menggandingkan kedua nama ini sekaligus dalam satu sesi fotografi. Masing-masing mengelak, mencipta pelbagai alasan untuk melarikan diri daripada 'dijodohkan' di depan kamera. Tetapi kali ini, maaflah, mereka tidak mampu lagi untuk mengelakkan diri. Hadir berdua, menaiki Toyota Hilux putih milik Zain (tentulah dia yang menjemput Rozita, bukan?) dengan pakaian sedondon hijau ke rumah Kebajikan Asnaf & Anak-Anak Yatim Al-Faez di Gombak baru-baru ini, peluang tidak dibiarkan berlalu dengan mudah. Pantas dan tangkas, kami melaksanakan kerja. Kelihatan seperti 'memaksa' tetapi akhirnya kedua-duanya memberikan kerjasama. Dalam mesra, ada manja yang semulajadi terpapar dari wajah kedua-duanya. "Kalau saja-saja ambil gambar berdua, memang kami akan mengelak. Rasa tak seronok sebab nanti gosip semakin menjadi-jadi, kami tak selesa," kata Rozita Che Wan, wanita idaman Malaya ini. Meskipun kena gosip dengan banyak lelaki muda, penangan Zain nampaknya lebih menjadi. Antara ramai 'teman lelaki' yang kononnya dikaitkan berkasih dengan aktres jelita ini, sebenarnya boleh dilihat Zain yang berada di tahap teratas. Hubungan mereka jauh lebih rapat, selalu keluar bersama dan Zain juga berdakap erat dengan anak-anak Che Ta, demikian gelaran oleh teman-teman rapat. "Mereka sudah jadi macam kawan. Zain pandai ambil hati anak-anak," beritahu Rozita, satu ciri yang disukai tentang lelaki berusia 27 tahun itu. Sejujurnya jua, kedua-duanya sangat menyenangi antara satu sama lain. Cuma barangkali sedang mengenal hati budi, menggali darjah cinta yang sebenar-benarnya pada saat masih ragu-ragu, membuatkan mereka belum bersedia untuk bercerita soal hubungan yang lebih serius. "Ya, boleh katakan memang Zain paling rapat. Kami selesa bersama, ke mana-mana sahaja, tetapi untuk kata bercinta atau bernikah pada masa depan, terlalu awal," kata Rozita dalam tersipu-sipu malu. Saya menerjah lagi, "Cakap betul-betullah, kenapa hendak menafikan pula? Kalian memang bercinta dan nak kahwin, kan?" Kali ini Zain pula yang tersengih-sengih. Wajah putih melepak anak kacukan Melayu Inggeris ini kemerah-merahan lantaran diterjah soalan yang sebenarnya sering sangat ditanya, tetapi tidak dijawab dengan sempurna. Akhirnya Zain mengaku. Begini katanya: "Siapa yang tidak terpikat dengan dia? Semua lelaki suka kepada Rozita Che Wan, saya pun tidak boleh menafikan perasaan itu. "Bagaimanapun buat masa sekarang, susah hendak cakap. Kami berkawan, rapat, saling memerlukan, tetapi masa akan menentukan apa yang akan berlaku pada masa depan. Masa dan keadaan akan menentukan sejauh mana ia boleh pergi." Bagi Zain, buat masa sekarang, perkara yang lebih utama ialah berusaha mencipta masa depan yang baik. Nah, setelah itu tercapai, maka dengan mudah keputusan akan dibuat. "Kukuhkan kewangan, kukuhkan kerjaya dan kemudian barulah ke fasa seterusnya. Kalau hendak kahwin dengan anak orang pun, kenalah jaga elok-elok, bukan boleh dibuat main-main," beritahunya. Rozita di sebelah, tidak habis-habis mengilai kala Zain memberikan pendapat. Sesekali dia mengusik, menambahkan lagi 'kemerahan' di pipi si jejaka. Kata Zain lagi, dia melihat tahun 2012 sebagai detik yang indah kerana telah mencapai beberapa kemajuan dalam kerjaya. Jika dahulu dia pernah menyebut bakal berhijrah ke negara jiran, Indonesia untuk mencari rezeki, hari ini dia sudah melupakan hasrat itu. "Memang saya ada cakap saya mahu berhijrah ke Indonesia, jika rezeki saya tiada di Malaysia. Namun akhir-akhir ini, saya tidak nafikan keadaan semakin baik. "Saya sendiri tidak sangka, banyak tawaran lakonan yang datang dan saya berjanji, tidak akan keluar dari Malaysia. "Saya tidak akan berpindah ke negara orang kerana dalam Malaysia sendiri, ada tempat untuk saya," katanya yang semakin popular dengan siri Oh My English di saluran Astro ini lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails