Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kemaafan 3 jiwa - Neelofa, Nurfathia dan Shila Amzah

TIDAK ada apa yang lebih bermakna selain dapat memberi kemaafan tiap apa jua kesalahan yang dilakukan. Jiwa yang suci adalah jiwa yang bersih dari segala noda. Andai kata terpalit secalit dendam, maka robeklah kesucian jiwa seperti yang didambakan. Sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari segala kesalahan. Kesilapan yang kita lakukan ada kalanya tanpa disedari dan akhirnya akan bertukar menjadi igauan buruk yang akan terus menghantui jiwa nurani. Tidak mahu terus terheret dalam permainan emosi yang tidak berpenghujung, tiga jiwa ini tekad untuk memaafkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan. Biarpun nada ketiga-tiga jiwa ini berbeza-beza, keikhlasan mereka memaafkan kesilapan orang tidak perlu dipertikaikan lagi. Tidak salah jika kita katakan mereka bertiga mempunya ‘sejarah’ cerita yang panas-panas. Seringkali dihentam dan dikritik melalui pelbagai cara, jiwa mereka tidak pernah tunduk kalah pada kata nista orang. Bagi Neelofa, Shila Amzah dan Nurfathia, katalah apa sahaja pada mereka. Kata-kata nista akan mereka balas dengan senyuman dan kejayaan setelah bekerja keras. Orang yang berusaha pasti mendapat ganjaran, kata mereka sepakat. Menjadi antara pelakon paling cepat popular dan pelakon yang paling popular ketika ini, Neelofa tidak terkecuali dihujani dengan cerita-cerita panas. Bagai tidak putus-putus menerima tempias pelbagai andaian dan spekulasi, dia sebenarnya cukup tegar. “Apa lagi yang orang tidak bercakap mengenai saya? Pantang ada cerita pasal saya sahaja orang akan cakap macam-macam. Orang tak pernah tanya kebenaran terlebih dahulu dan terus tuduh Neelofa itu dan ini. “Yang paling teruk bila cerita-cerita ini macam tak ada kesudahan. Saya tidak boleh lupa dengan apa yang telah terjadi, tapi dalam masa yang sama saya masih mampu memaafkan apa juga perbuatan jahat orang kepada saya andai kata dia datang meminta maaf. “Besar atau kecil kesalahan mereka bukan jadi kayu pengukur memandangkan rasa bersalah dan benar-benar ikhlas itu yang paling penting. Kalau benar orang yang buat salah itu menyesal akan perbuatannya, saya tetap akan maafkan dia. “Saya bukan jenis orang yang suka memanjangkan perkara yang kecil. Lagipun tidak elok nak berdendam lama-lama," kata Neelofa yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Kau Yang Terindah. Bakal menyertai Tune Record tidak lama lagi, Neelofa hanya bercuti lima hari sempena Syawal dan meraikannya di kampung kelahirannya Pasir Mas, Kelantan. Hapus dendam TIDAK ada apa yang paling bermakna apabila dapat melihat penyanyi ini sudah memakai tudung dan menutup aurat seperti mana kehendak ajaran Islam. Walaupun keputusan memakai tudung itu sedikit mengejutkan ramai pihak, itu sebenarnya pengorbanan besar yang dilakukan oleh anak kepada ND Lala itu. Sewaktu sesi fotografi ini diadakan, Shila masih belum bertudung. Sehari selepas itu (4 Ogos) dia tekad untuk menutup aurat setelah dua bulan mencuba. Keputusan itu disambut dengan rasa syukur oleh kedua ibu-bapa, kekasihnya dan seluruh peminat yang sentiasa mendoakan dirinya. “Alhamdulillah ini bukan satu keputusan terburu-buru yang saya lakukan. Ini semua datang atas dasar kesedaran diri sendiri. Ini bukan satu penghijrahan sebaliknya kembali membuat apa yang wajib sebenarnya. “Dua bulan saya ambil masa untuk berfikir tentang perkara ini. Saya mula pakai tudung bila ada majlis berbuka puasa dan perasaan itu bercampur baur. Kena bulat tekad untuk buat apa yang kita dah lama tinggalkan. “Ada orang cakap kalau bertudung rezeki akan kurang. Selagi kita berusaha, rasanya rezeki itu akan datang juga. Allah akan membuka seluas pintu rezeki dan pintu rahmat kepada hamba-Nya yang berusaha," jelas Shila. Perjalanan Shila selama 12 tahun dalam industri membuatkannya cepat matang. Kata Shila, dia sering kali menjadi mangsa cerita yang tidak benar tetapi menganggap itu adalah resam hidup anak seni yang harus dilalui oleh semua. Bukan sahaja cerita tentang dirinya dijaja tetapi adakalanya melibatkan cerita tentang keluarga dan kekasih hati yang banyak melatari beberapa ruangan gosip kebanyakan akhbar sejak akhir-akhir ini. “Saya maafkan mereka. Saya maafkan sesiapa juga yang berbuat jahat, khianat atau apa sahaja perbuatan yang telah mereka lakukan. Tidak guna saya terus menyimpan dendam sebab itu yang akan merosakkan diri saya semula. “Lagi satu saya bukan jenis orang yang cepat marah. Saya pun nak hidup lebih tenang tanpa bermusuhan dengan sesiapa. Untuk mencari reda Ilahi bukan mudah tetapi sebagai permulaan apa kata kita sucikan hati dahulu sebelum bergerak ke fasa berikutnya. “Kalau orang yang buat salah tu tak datang meminta maaf pun tak mengapa. Kejahatan orang tu saya akan balas dengan kemaafan. Kita kena ingat tentang hari esok juga, apa nak jadi kita tak tahu lagi," ulas Shila lagi. Pohon kemaafan MENJADI antara nama yang disebut-sebut sebagai pelapis kepada heroin baru pada masa hadapan, Nur Fathia sememangnya ada bakat ke arah itu. Walaupun masih terlalu baru dalam industri, gadis yang cukup mesra disapa dengan Fathia itu sudah diberi peranan dengan watak-watak besar dalam drama. “Saya perlu membahagikan masa antara lakonan dan pelajaran. Buat masa ini tumpuan saya lebih terarah kepada pengajian memandangkan saya sudah berada dalam semester akhir jurusan Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM). “Memang saya mahu cepat-cepat habiskan pengajian supaya saya boleh merancang masa depan. Nanti yang dikejar tak dapat yang di gendong berciciran pula," katanya. Mempunyai darah kacukan Melayu di sebelah bapa, dan Arab di sebelah ibu, sambutan Aidilfitri pelakon Stanza Cinta ini sedikit berbeza dan memang dinantikan setiap tahun. “Kalau raya di kampung sebelah ibu, saya akan memakai jubah, makan makanan arab dan memang ikut budaya turun temurun. Tapi kalau balik ke kampung sebelah ayah, saya akan pakai baju kurung, makan lemang, ketupat dan rendang seperti orang lain. “Tradisi inilah yang memang sudah diamalkan sejak saya kecil. Memang sedikit istimewa jika nak dibandingkan dengan orang lain. Cuma 1 Syawal yang lalu saya menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan nenek datang ke sini. “Yang lain sama seperti biasa. Ambil masa dan peluang ini berehat panjang sebelum terlibat dengan beberapa buah filem dan drama yang sudah saya persetujui," kata Fathia lagi. Larut dalam emosi, Fathia mahu menjadikan kehadiran bulan Syawal yang penuh berkat ini sebagai bulan untuknya memohon ampun dan maaf kepada sesiapa sahaja. Sebagai manusia biasa dia juga tidak pernah lari dari melakukan kesilapan dan dosa. “Lagi kita menjaga perbuatan, selagi itulah ada lagi kesalahan yang kita buat. Selalunya saya buat salah secara tak sedar. Jadi selagi masih ada kesempatan ini, dengan rasa rendah hati saya mahu minta maaf kepada semua. “Saya ini jenis orang yang tak ambil berat pasal apa-apa masalah. Walaupun orang mengata saya macam-macam saya tak peduli. Lantaklah apa orang nak cakap sebab pada akhirnya orang tetap akan tahu kebenarannya. “Cuma dalam hidup ini saya perlu lebih berhati-hati dalam segala sudut. Bila semakin dewasa cabarannya semakin besar dan hebat. Semoga saya tidak lupa diri dengan nikmat yang saya peroleh," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails