Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Yasmin bukan “perempuan jalang”


TIDAK ada ribut taufan, tiba-tiba sahaja nama Yasmin Khanif menjadi panas apabila membawakan watak jalang dalam filem Jalang yang akan menemui penonton 26 November ini.

Mendengarkan tajuknya sahaja sudah menakutkan apatah lagi apabila menonton filem Jalang. Ditambah pula dengan lakonan Yasmin yang ‘berani mati’ sehingga membuatkan sesetengah peminat geleng kepala.

Apakah yang membuatkan pelakon yang baru berjinak-jinak dalam dunia filem itu sanggup berlakon watak sedemikian?

Adakah kerana ini kemunculan kali pertamanya di layar perak ataupun dia sanggup berlakon watak jalang semata-

mata mahu bergandingan dengan nama-nama besar yang lain?

Ketika ditemui baru-baru ini Yasmin sedikitpun tidak kecil hati mahupun kesal dengan semua soalan-soalan panas yang ditanyakan kepadanya. Jelasnya, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak akan melatah dengan apa juga soalan yang dilemparkan.

“Saya tak kisah jika orang memanggil saya dengan panggilan tersebut. Walaupun panggilan itu terlalu perit untuk sesiapa juga terima tetapi saya bukanlah seperti mana yang digambarkan dalam filem tersebut.

“Siapa yang tak sedih jika dipanggil jalang? Tapi saya tak kisah sebab saya tahu orang yang memanggil saya dengan panggilan tersebut terdiri daripada mereka yang mengenali saya melalui filem tersebut.

“Ini merupakan filem pertama lakonan saya. Jadi sudah pasti saya teruja dengan filem ini dan sudah tidak sabar-

sabar mahu melihat reaksi daripada peminat filem tempatan,” katanya.

Ketika majlis pratonton filem tersebut yang diadakan di Cathay Cineleisure Damansara, ramai yang kurang senang dengan filem tersebut dan menyatakan lakonan Yasmin dalam filem tersebut lemah dan tidak memberikan kesan.

Yasmin tidak menolak dakwaan tersebut dan mengakui bahawa dirinya masih lagi perlu banyak belajar memperbaiki mutu lakonan.

“Saya mula menceburi bidang seni sejak umur saya 14 tahun lagi. Cuma pada ketika itu saya lebih banyak membintangi iklan-iklan dan video korporat sahaja. Mungkin ilmu lakonan yang ada dalam diri saya masih kurang berbanding dengan pelakon yang lain.

“Apabila melihat filem tersebut, saya akui saya ada melakukan banyak kelemahan. Sepatutnya saya melakukan yang lebih baik tetapi saya tidak berbuat demikian.

“Tapi inilah yang dinamakan pelajaran dan pengajaran. Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang menegur dan mengutuk mutu lakonan saya memandangkan semua itu berguna kepada saya.

“Buat apa saya nak kecil hati jika apa yang diperkatakan oleh mereka adalah benar?,” jelas Yasmin yang baru menginjak usia 21 tahun ini.

Ibarat sebuah perjudian. Ada yang memang dan ada yang kalah. Hakikat itu juga yang terpaksa dilalui oleh Yasmin memandangkan ini merupakan percubaan pertamanya.

Namun di sebalik keseronokan menyaksikan penampilan sulung di layar perak, Yasmin tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila ada yang mula mengaitkan dirinya dengan pelbagai tuduhan liar.

Sudahlah melabelkan dirinya jalang, ada yang mengatakan dirinya mula dibela oleh VIP semata-mata untuk mencari kesenangan hidup.

Ditambah pula dengan imej seksi yang dibawa oleh Yasmin seakan-akan menguatkan lagi dakwaan tersebut yang dia sememangnya mahu mencari perhatian VIP.

“Bukan setiap masa saya seksi. Mungkin untuk promosi filem Jalang ini saya lebih seksi. Tapi bukan setiap masa saya seksi.

“Biarlah orang nak cakap apa pun. Saya tidak berkawan dengan mana-mana VIP dan saya juga tidak mahu orang terus menerus bercakap perkara tersebut walaupun saya sedar hakikatnya saya tidak dapat menutup mulut orang.

“Bagi saya cukuplah jika saya berusaha setapak demi setapak bagi memantapkan lakonan saya terlebih dahulu. Lagipun saya masih belum terdesak untuk mencari populariti dengan cara tersebut.

“Misi saya kini lebih jelas. Saya tak mahu orang melabelkan saya hanya bersandarkan paras rupa semata-mata tapi tidak ada kualiti. Ini bukan yang saya mahukan.

“Sekali saya melangkah dalam bidang seni, sudah pasti saya mahu melakukan yang terbaik. Kalau orang lain boleh buat perkara tersebut kenapa tidak saya?” jelas Yasmin lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails