Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ralat tak dapat bertanding


SEPANJANG 24 tahun bersiaran, Muzik-Muzik memang tidak pernah terlepas daripada kejutan mahupun kontroversi yang menguliti rancangan tersebut.

Antara yang sering kali mendapat perhatian adalah tentang artis gantian yang menggantikan penyanyi asal baik sewaktu di peringkat separuh akhir mahupun di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bukan itu sahaja, cerita mengenai artis menarik diri daripada bertanding di peringkat separuh akhir juga bukanlah satu perkara yang baru.

Untuk tahun ini, kisah itu berulang lagi apabila kumpulan indie terkenal, Meet Uncle Hussain (MUH) menarik diri daripada bertanding dalam pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 24 yang akan bermula 6 November ini untuk tiga minggu berturut-turut.

Mempertaruhkan lagu Pari-Pari Di Bawah Angin karya ciptaan sepenuhnya oleh Taja, Tassiq dan Lan itu dilihat berpotensi dan dikatakan antara 14 buah lagu yang mempunyai peluang cerah untuk mara ke peringkat akhir AJL pada 10 Januari depan.

Apatah lagi dengan kejayaan MUH menyandang gelaran AJL23 awal tahun ini pastinya ramai yang mahu melihat kumpulan ini beraksi dan menyerikan pentas anugerah yang cukup berprestij itu.

Sewaktu dihubungi baru-baru ini, selaku ketua kumpulan, Taja mengakui, dia dan anggota kumpulan lain sedikit ralat apabila tidak dapat bertanding tahun ini.

Namun, enggan mengusutkan fikiran dengan perkara-perkara berbangkit di kemudian hari, Taja akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan perjuangan mereka di peringkat separuh akhir.

Dengan penuh jujur Taja memberitahu, penarikan diri MUH bukanlah kerana mereka mempunyai masalah dengan dua bekas anggota MUH iaitu Tassiq dan Lan yang juga komposer bersama lagu Pari-Pari Di Bawah Angin.

"Sewaktu kami diberitahu lagu ini layak ke peringkat separuh akhir, kami terus mengatur perbincangan dengan Lan dan Tassiq menerusi pihak syarikat rakaman mereka.

"Tetapi, maklum balas yang kami terima mengatakan kedua-dua mereka terlalu sibuk untuk mengadakan perbincangan.

"Jadi, kami akhirnya sepakat dan memutuskan untuk tidak mempertaruhkan lagu ini kerana bimbang masalah yang akan timbul kelak," kata Taja yang kemudiannya menghantar surat penarikan diri kepada pihak TV3 pada 27 Oktober lalu.

Sepatutnya, giliran persembahan MUH adalah pada 13 November ini dan ekoran penarikan diri mereka, tempat mereka telah digantikan dengan sebuah lagi kumpulan indie iaitu Grey Sky Morning menerusi lagu, Cinta Gila.

Menyambung bicara, kata Taja, dia melihat tiada alasan kukuh untuk terus bertanding seandainya dua pihak lain bagaikan tidak berminat untuk melibatkan diri.

Malah Taja juga memberitahu lagu Pari-Pari Di Bawah Angin dicalonkan pada akhir tahun lalu iaitu sebelum pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 23.

Ketika itu, Lan masih lagi menjadi vokalis kumpulan mereka dan sudah pasti, MUH langsung tidak membayangkan implikasi seperti ini yang terjadi selepas pengunduran Lan.

"Buat masa ini, MUH mahu 'berehat' sebentar sebelum kami kembali untuk membuat kemunculan semula tahun depan.

"Kami mahu impak yang terhasil sama seperti mana kami muncul dengan lagu-lagu kami tahun lalu yang mendapat sambutan serta respons yang positif," ujarnya yang sibuk menulis lagu untuk penyanyi-penyanyi lain.

Buat masa ini, selain daripada Taja, MUH dianggotai dua orang anggota tetap iaitu Afat dan Babab manakala Bakri pula hanyalah seorang sessionist.

Ditanya tentang pencarian vokalis terbaru MUH, Taja tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada seseorang yang menggantikan tempat Lan.

Malah, MUH juga ada mengintai beberapa orang yang dilihat berpotensi untuk menduduki kerusi panas itu.

Adakah ini bermakna juara Mentor musim ketiga, Black menjadi pilihan MUH?

"Memang ada yang mengatakan Black amat sesuai menggantikan Lan tetapi itu hanyalah pendapat orang ramai sahaja.

"Saya akui Black memiliki bakat yang cukup luar biasa dari segi vokal dan teknik nyanyian terutama untuk nada tinggi.

"Malah, kami juga sudah merakamkan sebuah lagu yang dilihat mampu memberikan satu pendekatan berbeza dalam muzik kami," ujarnya yang masih belum memutuskan untuk memuatkan lagu tersebut dalam album Black mahupun MUH.

Sementara itu, Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh MUH dan menerimanya dengan fikiran terbuka.

"Walaupun kami merasakan peminat-peminat MUH akan kecewa dengan keputusan itu, namun kami akur dan berpendapat bahawa mereka haruslah menyelesaikan masalah dalaman antara mereka dahulu.

"Keputusan memasukkan kumpulan Grey Sky Morning diambil memandangkan lagu dendangan kumpulan itu merupakan lagu yang memiliki markah tertinggi.

"Cuma nasib mereka tidak baik untuk berada dalam kelompok 30 buah lagu teratas yang layak ke separuh akhir," katanya yang optimis dan yakin Grey Sky Morning mampu memberikan saingan kepada lagu-lagu lain.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails