Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Senario tidak kisah dilabel 'besi buruk'


SENARIO yang dianggotai oleh Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet merupakan kumpulan pelawak yang paling lama bertahan dalam dunia hiburan tanah air iaitu selama lebih 10 tahun.

Meskipun sudah lebih sedekad berlawak, tetapi kumpulan yang dilahirkan menerusi rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan pada awal tahun 1990-an itu masih terus mendapat perhatian ramai peminat termasuklah penerbit, David Teo.

Namun, pada masa sama, penerbit MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) itu turut melabelkan Senario sebagai 'besi buruk' yang bermaksud artis yang sudah lama bertapak dalam bidang lawak jenaka tetapi masih mempunyai tarikan yang tersendiri.

Sewaktu diajukan persoalan itu, anggota-anggota Senario tidak berasa kecil hati, sebaliknya Azlee yang mewakili kumpulan trio itu berasa bangga kerana David masih menawarkan mereka berlakon dalam filem-filem terbitan MIG.

"Kami tidak kecil hati walaupun David Teo kata kami ini ibarat 'besi buruk'. Bagi saya, walaupun besi itu buruk tetapi kalau ia dijaga dengan baik ia tidak akan berkarat dan cantik semula.

"Malah, pada masa sama David turut mengakui bahawa kami ini umpama 'lombong emas' buatnya kerana filem-filem lakonan kami sebelum ini tidak pernah menghampakan MIG.

"Sebagai contohnya, filem Senario The Movie Episod 1 berjaya mengutip kutipan tiket RM4.5 juta ketika ia ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara tahun lalu," katanya kepada Hits ketika ditemui selepas pratonton filem Senario Episod 2 Beach Boys di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Merendah-rendahkan


Filem arahan Ahmad Idham itu merupakan filem ke-31 terbitan MIG yang turut membariskan pelakon seperti Datuk Jamali Shadat, Marsha AF3, Maria Farida dan Nik Sayyidah.

Wahid yang turut serta pada pratonton filem yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 19 November ini menambah, pada masa sama David katanya, seakan-akan mahu menyindir segelintir pihak yang tidak yakin dengan Senario lagi.

"Secara peribadi, saya juga tidak kecil hati kalau ada orang yang kata begitu. Bagi saya, David sebenarnya bukan merendah-rendahkan kami tetapi dia menyindir pihak-pihak tertentu yang menganggap Senario seolah-olah sudah tidak relevan lagi dalam bidang lawak jenaka di negara ini.

"Dalam perumpamaan itu, kalau besi itu digilap ia akan berkilat, sesebuah lombong itu juga haruslah digali terlebih dahulu supaya emas atau galian-galian yang lain akan keluar," ujarnya penuh makna.

Sementara itu, David Teo ketika ditemui selepas pratonton filem tersebut berkata, dia tidak bermaksud menghina atau merendah-rendahkan Senario, sebaliknya ia sebagai suatu simbolik atas rasa kepercayaannya kepada kumpulan tersebut.

Sambil menyifatkan Senario masih belum boleh ditandingi oleh kumpulan-kumpulan pelawak baru, beliau yakin kumpulan terbabit akan terus mampu memberi pulangan kutipan tiket yang tinggi menerusi tayangan filem terbaru MIG itu kelak.

"Senario sebenarnya telah mencatat sejarah sebagai kumpulan pelawak yang paling lama bertahan dalam bidang hiburan di negara ini. Kalau saya tidak yakin lagi dengan Senario, saya tidak akan tawarkan mereka berlakon dalam filem-filem saya," akuinya penuh yakin.

Selepas tayangan Senario The Movie Episod 2 Beach Boys, MIG katanya, sedang menunggu giliran untuk menayangkan lima lagi filem terbitannya berjudul Santau, Adnan Sempit, V3: Samseng Jalanan, Zoo dan Semerah Cinta Stilleto.

15 filem setahun

Pada masa sama, penerbit filem tanah air yang paling aktif itu turut menyasarkan penerbitan lebih banyak filem pada tahun depan sebagai salah satu strategi untuk mengembangkan lagi produk di bawah syarikat produksi yang diterajuinya itu.

"Kalau tahun ini kami berjaya menerbitkan 10 buah filem. Tahun depan (2010) saya menyasarkan mahu menerbitkan 15 buah filem di mana jumlah itu tidak termasuk drama-drama bersiri atau telemovie di bawah terbitan MIG.

"Ini kerana, pada tahun depan merupakan tahun harimau dalam kalendar Cina di mana ia melambangkan sesuatu yang lebih garang. Saya berjanji kalau matlamat itu dapat dicapai, kita tidak akan melupakan mereka yang telah membantu kami.

"Kalau banyak untung, bonus akan diberi kepada semua pihak yang terbabit sehinggakan ustaz yang tolong membacakan doa selamat pada majlis ini pun kita akan beri. Ini bukan janji tetapi pasti," katanya penuh semangat.

Senario The Movie Episod 2 Beach Boy mengisahkan Azlee, Lan Pet Pet dan Wahid yang pergi bercuti di sebuah resort di Pulau Pangkor, Perak, yang dimiliki oleh Mansor.

Sewaktu berada di pulau itu, salah seorang daripada tiga anak gadis Mansor iaitu Qasidah telah diculik oleh Remy iaitu seorang pengedar dadah yang marah apabila hasratnya untuk membeli resort itu tidak dilayan pemilik resort tersebut.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails