Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Antara gembira dan takut


HANYA Tuhan yang tahu, debaran yang bersarang dalam diri pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan saat ini. Maklumlah, hanya tinggal lebih sebulan saja lagi anak dara tukang masak terkenal Chef Wan ini bakal diijabkabulkan dengan jejaka keturunan Irish dari England yang juga pilihan hatinya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 33.

Katanya, pelbagai perasaan berbaur dalam dirinya ketika ini - antara gembira bakal bergelar isteri dan pada masa sama takut menanti detik bersejarah dalam hidup.

"Sebenarnya, saya memang tidak percaya akan bergelar isteri dalam tempoh terdekat ini kerana sebelum ini percintaan saya gagal di tengah jalan. Justeru, saya menganggap jodoh saya dengan Salahudin adalah keajaiban yang berlaku dalam hidup saya.

"Saya yakin Salahudin adalah calon suami yang terbaik buat saya. Apabila kami bersama, dia buat saya tenang dan bahagia. Dia juga banyak memberi pendapat yang baik berkaitan kerjaya saya. Dia juga sanggup susah dan senang dengan saya sepanjang kami berkawan," katanya.

Apapun persepsi orang, Serina, 26, dan Salahudin yang juga Pengarah Urusan Football Focus Sdn Bhd hanya mengharapkan kebahagiaan rumah tangga yang bakal dibinanya itu berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Saya berasal dari keluarga yang bercerai-berai apabila ibu dan bapa berpisah ketika usia dua tahun. Saya dan abang, Chef Riz juga sudah rasa peritnya apabila ibu dan bapa kami berpisah dan membawa haluan masing-masing.

"Sebab itu saya dan Salahudin akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan mahligai yang bakal dibina ini kerana saya tidak mahu anak-anak kami nanti merasai keperitan yang pernah saya dan abang lalui sebelum ini. Tapi, kita hanya mampu merancang dan berdoa, Tuhan yang menentukan segala-galanyanya," katanya.

Sebagai isteri, Serina berkata, dia sekeluarga akan berusaha membantu Salahudin mendalami Islam. Katanya, walaupun dirinya bukan arif sangat soal agama, tapi Serina akan membawanya kepada pihak yang lebih arif dalam seperti Perkim dan Abim supaya dapat membimbingnya menjadi orang Islam yang baik.

"Saya juga akan menemaninya dan secara tidak langsung, saya juga dapat menambah lagi ilmu agama sedia ada. Saya juga berharap orang ramai memberi peluang kepada golongan mualaf seperti Salahudin.

"Golongan mualaf ini memerlukan bimbingan dan bukan untuk dinilai pegangan agama mereka. Kitalah yang sepatutnya memberi sokongan pada mereka.

"Saya juga menjadikan nenek (ibu Chef Wan), Noraini Abdullah sebagai contoh mualaf yang terbaik. Nenek juga mualaf kerana dia keturunan Cina yang memeluk agama Islam. Sekalipun mualaf, nenek juga membuktikan kepada semua orang dia penganut Islam yang baik," katanya.

Dalam sesi fotografi yang diatur Rap di kediaman keluarganya di Kondominium Tiara, Ampang, baru-baru ini, Serina anggun dengan imej pengantin bertudung yang di taja Dezaine Boutique & Bridal, Ampang Point.

Secara peribadi Serina juga menyukai dia memang sudah lama menanti untuk tampil dengan fotografi bertudung yang ditampilkan Rap khusus untuk hari ini.

"Saya tidak berfikir dua kali apabila diminta Rap untuk tampil dengan imej bertudung yang menutup aurat seperti ini kerana ia lain daripada yang lain. Saya juga menyimpan impian untuk bertudung apabila sampai masanya nanti. Mungkin orang fikir, jawapan saya ini klise. Tapi, saya percaya, apabila bertudung keanggunan dan kelembutan seseorang wanita Muslim itu semakin terserlah kerana saya memang lasak. Apatah lagi, nenek dan ibu juga bertudung begitu juga anggota keluarga yang lain. Tapi, saya memang belum merancang untuk bertudung dalam tempoh terdekat ini lagi," katanya.

Serina berkata, dia juga akan mengenakan selendang yang akan menutup sebahagian rambutnya pada majlis akad nikahnya nanti di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur tanggal 1 Januari nanti.

"Mengikut perancangan, saya akan menggayakan busana rekaan pereka terkenal Jovian Mandagie pada majlis akad nikah. Pada majlis resepsi pada keesokan harinya (2 Januari) di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, saya bakal menggayakan rekaan Radzwan Radziwil pula.

"Manakala majlis berinai besar ialah rekaan Lynda Rahim dan majlis berinai kecil pula ialah khidmat butik pengantin Nasha dari Ipoh, Perak.

"Apa yang saya boleh katakan, majlis perkahwinan saya ini sederhana tapi meriah kerana ia membabitkan jemputan seramai 650 orang saja pada majlis persandingan nanti. Cuma orang menganggap majlis ini secara besar-besaran kerana ia bakal dirakam kru televisyen Asian Food

Channel (AFC)," katanya.

Kata Serina lagi, setakat ini, persiapan majlis perkahwinannya sudah siap 70 peratus.

"Saya sudah membeli cincin perkahwinan di London sebelum ini. Kad undangan perkahwinan juga sudah siap dan akan mengedarkan kad undangan perkahwinan buat jemputan dan rakan media yang rapat tidak lama lagi," katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya, Serina yang juga pengacara program Inspirasi Koko musim baru ini akan berehat sepenuhnya bulan depan bagi memberi tumpuan pada persiapan majlis perkahwinannya itu.

"Saya juga sibuk dengan penggambaran sajian Kontemporari musim kedua bergandingan dengan abang saya, Chef Riz untuk TV2. Saya juga perlu menghabiskan beberapa lagi episod untuk drama Roda- Roda Kuala Lumpur musim ke-3 dan Akademi Polis musim ke-5.

"Pada 22 November, saya akan menemani Salahudin untuk menjayakan EPL Mastering Football yang dianjurkan syarikatnya di Stadium Putra, Bukit Jalil. Acara ini membabitkan bekas pemain Liverpool dan Chelsea yang akan terbabit dengan perlawanan futsal. Selain, saya acara ini akan membabitkan penampilan artis popular tanah air," katanya.



Profil

NAMA PENUH: Serina Redzuawan

USIA: 24 tahun

TARIKH LAHIR: 1 Jun 1983

TEMPAT LAHIR: Hospital Sentosa, Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Sijil Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Sekolah

Antarabangsa Legend

STATUS: Bujang

PROFESION: Pengacara dan pelakon

PENGACARAAN: Tommy & Oscar, Top Bollywood, Jalan-Jalan Cari Makan

Antarabangsa, Trek Kembara, Ala Bufet, Telebriti, Mango TV dan Galaksi.

TEATER: Teater Bangsawan Tengku Anum, Bangsawan Naga Chini dan Dejavu

DRAMA: Lebih 40 drama antaranya, Astana Idaman, Cinta Sempadan, Kasih Nurlisa, Skuad Elite, Cinta Gila, Nun Di Sana Cintaku, Rita & Raihan, Amukan Puaka, Kasih Di bawah Bayu, Janji Tinggal Janji, Tak Tercapai Akalmu dan Zon 606

FILEM: Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Potret Mistik, Tangkai Jering, Bujang Senang dan Mr Cinderella
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails