Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Farid Kamil diapit dua heroin baru


FARID Kamil merupakan salah seorang pelakon lelaki tanah air yang mendapat tumpuan ramai menerusi lakonannya sama di televisyen (TV) ataupun filem sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, bagi Fida atau Rafidah Ibrahim dan CT Zie pula, mereka merupakan pelakon wanita pelapis yang baru muncul dalam bidang lakonan sejak setahun kebelakangan ini.

Biarpun masih baru dalam dunia lakonan, namun dua pelakon muda ini mula mendapat kepercayaan daripada penerbit dan pengarah bagi mengetengahkan lagi bakat lakonan mereka.

Justeru, apabila buat pertama kalinya Fida, CT Zie digandingkan bersama Farid menerusi drama bersiri berjudul Cinta Tikar Sejadah, ia merupakan suatu permulaan yang baik dalam dunia lakonan tempatan.

Ini kerana, melalui drama terbitan MIG Productions Sdn. Bhd. itu, dua gadis terbabit sedikit sebanyak berkongsi pengalaman mereka berlakon di samping Farid yang semakin menonjol sebagai hero popular dalam drama serta filem tempatan sejak akhir-akhir ini.

Ikuti pengalaman mereka sepanjang berlakon dalam drama bersiri yang akan ditayangkan menerusi saluran TV Astro Oasis tidak lama lagi itu.

Berlakon dengan pelakon bertudung

SEPANJANG bergelar aktor, Farid sering digandingkan dengan ramai pelakon wanita sama ada menerusi drama ataupun filem, termasuklah pelakon popular Erra Fazira.

Bagaimanapun, kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, Cinta Tikar Sejadah menawarkan kelainan kepadanya apabila buat pertama kalinya berlakon di samping pelakon bertudung.

Bergandingan dengan Fida dalam drama bersiri arahan Azhari Zain itu membuatkan aktor tampan itu lebih berhati-hati supaya setiap batas pergerakkannya dalam babak-babak lakonannya dalam drama itu tidak mencetuskan buah mulut penonton.

"Saya tidak kisah berlakon dengan mana-mana pelakon sekalipun sama ada bertudung ataupun tidak. Cuma saya harus beringat dan berhati-hati terhadap batas atau kesesuaian saya ketika berlakon dalam filem yang berada dalam genre dakwah tersebut.

"Apatah lagi, saya baru sahaja mengenali Fida. Sebelum ini saya hanya melihat iklan-iklan yang dilakonkannya di TV. Bagaimanapun, atas nasihat pengarah drama ini saya tiada masalah untuk berlakon dengan Fida.

"Sebagai sebuah filem berunsur dakwah, sudah tentu tiada adegan-adegan yang menjolok mata walaupun kami berdua memegang watak utama dalam drama bersiri tersebut," katanya sewaktu ditemui Hits pada pelancaran drama itu di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam drama itu, Farid yang melakonkan watak Hazry iaitu seorang remaja yang banyak terpengaruh dengan budaya Barat menyifatkan ia sebagai sebuah genre baru buatnya sepanjang bergelar anak seni.

Beliau yang mengikat kontrak sebagai Pelakon Eksklusif Astro sehingga Februari 2010 turut berasa teruja apabila digandingkan bersama Fida dan CT Zie yang merupakan antara barisan pelakon baru dalam bidang lakonan tanah air.

"Bagus juga sesekali bertukar angin kerana kalau asyik digandingkan dengan pelakon wanita yang sama sahaja, takut nanti penonton akan berasa bosan pula. Saya akan cuba membantu mereka sebaik yang boleh.

"Sebabnya, suatu ketika dulu saya juga pernah menjadi pelakon baru dan bergandingan dengan pelakon yang lebih senior. Contohnya, saya pernah berlakon dengan Erra Fazira dalam filem 7 Perhentian dan Cinta Kolesterol walaupun ketika itu saya masih baru dalam bidang lakonan," ujarnya.

Pada masa sama, Farid yang kini sedang menjalani penggambaran filem Lencun arahan Osman Ali di sekitar Alor Setar tidak menafikan di kalangan pelakon wanita yang ada di negara ini, beliau mempunyai pelakon kegemarannya sendiri.

Jelasnya, Maya Karin merupakan pelakon yang paling serasi dengannya selepas dia digandingkan bersama pelakon itu menerusi filem Anak Halal yang pernah ditayangkan di pawagam seluruh negara beberapa tahun lalu.

"Saya rasa paling serasi berlakon bersama Maya Karin contohnya dalam Anak Halal. Maklum balas yang saya terima daripada para penonton juga amat positif dan memuaskan hati saya. Selain itu, saya juga rasa serasi berlakon di samping Lisa Surihani dalam I'm Not Single.

"Bagi saya, dua pelakon ini ada daya intelektual yang tinggi dan mereka banyak memberikan idea yang bernas sewaktu berada di lokasi. Dapat berbual-bual dengan mereka pun saya sudah rasa seronok dan dapat banyak idea," akuinya.

Sementara itu, Farid menafikan jalan cerita Cinta Tikar Sejadah banyak meniru idea filem Indonesia lakonan Deddy Mizwar berjudul Kiamat Sudah Dekat yang turut menampilkan genre komedi romantik berkonsepkan dakwah.

"Biasalah, konsep atau genrenya sama tetapi jalan ceritanya berbeza. Sama juga dengan filem Syurga Cinta yang turut menampilkan genre yang sama. Memang ada yang kata macam itu. Setiap jalan ceritanya ada kelainan sendiri," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails