Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fasa riang Fasha


Ditemani pengurus dan beberapa jurusolek, aktres yang mula membina nama menerusi filem Berlari Ke Langit ini komited memberikan pose terbaik kepada tiga jurugambar yang diketuai Amrul Azwar Mohktar. Bau hapak lumut dan daun kering sama sekali tidak mengganggu fokusnya bahkan dia tidak geli bersandar di dinding penuh kotoran.

Ujar Fasha, selamat tinggal episod luka, apa yang ada kini hanya cerita indah. Apa lagi hubungan dengan media yang banyak menyokong kerjayanya selama ini kembali pulih, sudah sampai masanya untuk 'kembali' dengan semangat baru.

Peluang yang diberikan tidak sesekali dipersiakan sebaliknya dijadikan pemangkin memperbaiki diri dan menyusun langkah dengan lebih baik.

Apa yang pasti jiwanya kini tenang malah semakin matang dalam setiap tindak-tanduk. Barangkali peralihan fasa hidup menyumbang perubahan ketara itu.

“Alhamdulillah, kehidupan yang saya tempuh sekarang sangat indah. Saya mahu buka lembaran baru dan lupakan kisah lalu yang kurang enak.

“Saya akui kelemahan diri, dulu saya keanak-anakan dan mudah memberontak tetapi kini saya melalui proses kematangan menjadi seorang wanita.

“Saya sudah boleh bezakan baik buruk sesuatu perkara. Sudah layak jadi ibu pun. Mulai sekarang jangan panggil saya 'girl' lagi kerana saya sudah dewasa. Panggil saja Fasha,” katanya tenang.

Anggun menggayakan busana ilham Rizman Ruzaini, si jelita yang tidak pernah sunyi dengan kontroversi dan cerita panas sehingga mengundang persepsi negatif masyarakat serta kalangan isteri VIP ini, mengaku hatinya pernah terguris namun kesedihan itu tidak dibiarkan berpanjangan.

Sakit? Tidak sama sekali! Mungkin dilahirkan dengan jiwa kental, tidak sedikitpun kisah yang mencalar kanvas seni Pelakon TV dan Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2006 ini meninggalkan kudis di hatinya.

“Walau apapun bentuk serangan kontroversi itu, saya sentiasa berfikiran positif dan jadikan artis senior seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan sebagai contoh. Jika mereka boleh bersabar biarpun kerap dihimpit kontroversi kenapa saya tidak?

“Lagipun sudah banyak dugaan besar pernah saya tempuh. Apalah sangat dengan tanggapan atau kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap saya.

“Bohonglah kalau saya cakap tak pernah menangis tapi kesedihan itu sekejap saja. Apa yang boleh saya katakan, belum ada lagi cerita yang buat saya tertekan atau sampai tahap mahu menjerit.

“Pengalaman enam tahun berada dalam industri banyak mengajar saya malah berbekalkan sokongan keluarga setia peminat, saya semakin tabah,” katanya.

Biar apapun tanggapan orang sekeliling, dia bahagia menjadi Fasha Sandha. Paling tidak dalam usia semuda 25 tahun, dia mampu memiliki apa yang diimpikan termasuk memberi keselesaan kepada keluarga tercinta.

Itu azamnya sejak kecil. Melihat betapa menderitanya si ibu membesarkan dia dan tiga adik seorang diri tanpa lelaki di sisi, menjadikan wanita jelita ini sanggup bermati-matian demi keluarga.

“Dari usia saya dua hingga enam tahun ibu bertungkus-lumus besarkan kami adik beradik sendirian. Biarpun tiada tempat untuk bergantung, dia tidak pernah gagal memberikan kami makan dan pakai yang cukup. Jadi tibalah masanya pula saya membalas segala pengorbanannya.

“Saya mahu berikan mereka yang terbaik. Paling penting itu semua hasil titik peluh saya sendiri.

“Lagipun tidak susah menjadi Fasha Sandha kerana saya menjadi diri sebenar. Saya tidak pernah bataskan diri seperti sesetengah artis yang tidak boleh buat itu, tidak boleh buat ini.

“Mungkin kerana saya bermula sebagai model, jadi sudah biasa makan di kedai mamak dan bersesak di Plaza Sungei Wang. Jangan terkejut sampai sekarang saya masih menggunakan LRT dan monorel,” katanya.

Jika ada masa terluang, anak jati Pulau Mutiara ini tidak kisah beratur panjang di Pejabat Pos atau bank untuk menjelaskan bil. Urusan itu hanya akan diserahkan kepada pembantunya andai dia terikat dengan penggambaran atau komitmen lain.

Lebih menyenangkan apabila kehadirannya dilayan baik malah ada yang sanggup memberinya laluan pantas dan tidak perlu menunggu lama. Itulah antara keistimewaan yang diterima apabila dikenali.

Beralih dakwaan aktres ini kononnya tidak lagi hangat di pasaran selepas banyak dikaitkan dengan kontroversi panas, sambil ketawa Fasha berkata, hingga saat ini dia belum berkesempatan berehat kerana terikat dengan penggambaran.

Bahkan sama seperti dulu, dia tidak menang tangan memenuhi tawaran berlakon sehingga ada terpaksa ditolak apabila ada pertindihan jadual.

“Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus. Mungkin ada yang salah sangka apabila cerita saya jarang keluar akhbar dan majalah.

“Apa yang boleh saya katakan, pendapatan semakin bertambah lebih banyak daripada sebelum ini. Banyak drama yang saya bintangi belum ditayangkan termasuklah Rumi dan Juli serta Madu di Tasik Hempedu untuk RTM.

“Kini saya sibuk di lokasi siri Spa Qistina terbitan Global Station dan masih mempertimbangkan tawaran daripada syarikat produksi sama untuk terbabit dengan drama Jangan Bunuh Matahari Ku yang akan memulakan penggambaran hujung bulan ini.

“Kontrak sebagai jurucakap produk Garnier juga disambung untuk tahun keempat malah saya masih duta Habib Jewel,” katanya yang cukup menitikberatkan disiplin ketika bekerja.

Diajak berbicara soal jejaka yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini dan apa sudah jadi dengan kisah mahu menamatkan zaman bujang dan penolakan secara terang-terangan oleh Qabil Ambak dan kerabat sebelum ini, Fasha enggan memberi komen.

Bahkan apabila ada segelintir pihak menyifatkannya sebagai perigi mencari timba, dia spontan berkata tidak pernah mendengar kritikan itu.

Bagaimanapun ujar Fasha, pihak berkenaan sepatutnya menyelidik terlebih dulu sebelum melabelkannya dengan istilah itu.

“Lumrah manusia suka bercakap keburukan daripada kebaikan insan lain. Saya tidak boleh memaksa mereka bersangka baik terhadap saya. Soal perigi mencari timba atau timba mencari perigi, keluarga lebih mengerti. Mereka tahu cerita sebenar dan saksi saya.

“Sebelum masuk ke dalam industri, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Allah SWT tahu dan akan bantu mereka yang benar. Mungkin timba malu selepas ditolak, sebab itu cakap saya yang cari mereka.

“Buat masa sekarang, fokus saya adalah keluarga dan karier. Soal kahwin, lupakan dulu. Apapun saya tak membataskan diri untuk mengenali lelaki. Andai ditakdirkan bertemu jodoh yang baik, saya terima seadanya.

“Satu lagi perkara, saya tidak pernah meletakkan syarat dalam soal jodoh. Ada yang cakap saya mahu cari orang kaya atau ternama saja. Untuk pengetahuan semua, saya pernah bercinta dengan krew belakang tabir selama empat tahun. Dia orang biasa, bukan dari golongan berada atau berstatus VIP.

“Tetapi seboleh mungkin saya akan cuba elak bercinta dengan pelakon kerana ia mungkin mengundang rasa bosan kerana kami datang dari dunia yang sama. Jika berbeza kerjaya, banyak benda yang boleh kami bualkan dan mungkin cara berfikir pun lebih berkembang,” katanya riang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails