Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nazim Othman lupa diri?


BENARKAH dakwaan mengatakan pelakon baru Nazim Othman sudah lupa diri? Tidak sampai dua tahun menceburi bidang seni, pelakon itu dikatakan sudah meninggalkan sebuah syarikat pengurusan artis atas sebab-sebab tertentu.

Dia yang bernaung di bawah Aquila Emas Sdn. Bhd. dikatakan lupa diri apabila enggan menyambung kontrak bersama syarikat tersebut dengan alasan sudah mula popular kerana tawaran berlakon yang semakin banyak.

Benarkah segala dakwaan tersebut? Ketika ditemui semasa sesi fotografi baru-baru ini, pelakon drama bersiri Awan Dania 2 itu tidak melenting apabila diajukan dengan soalan tersebut.

Sebaliknya dia menjelaskan, kontraknya dengan syarikat pengurusan artis tersebut sudah tamat pada penghujung September lalu dan dia mengambil keputusan untuk tidak menyambungnya.

"Apabila kontrak tamat, saya memilih untuk bergerak secara sendirian. Tidak ada apa-apa masalah yang terjadi antara kami sebenarnya.

"Bagi saya Aquila Emas merupakan satu syarikat pengurusan artis yang baik dan memang menaikkan nama Nazim Othman sehingga ke tahap sekarang.

"Apabila sudah berada pada tahap ini saya memikirkan alangkah baiknya jika saya dapat bergerak secara sendirian dan sudah pasti ia memberikan lebih kepuasan dan pengalaman dalam mengharungi hidup sebagai anak seni," jelasnya lagi.

Kata Nazim lagi, dia tidak menyesal mengambil tindakan tersebut dan sangat berterima kasih kepada syarikat tersebut yang banyak membimbingnya tentang selok belok dunia seni.

Walaupun langkah pertama itu kadang kala sukar, jejaka yang baru sahaja menginjak usia 25 tahun itu tetap optimis dengan keputusannya dan mampu memberikan yang terbaik untuk dirinya.

Walaupun sudah berlakon berpuluh drama, ternyata masih ada lagi yang belum mengenali anak jati Johor Bahru ini memandangkan tidak banyak publisiti mengenai dirinya.

Sambil mengakui dirinya agak pemalu, Nazim sentiasa berfikiran positif dalam mencorakkan kerjaya seninya itu. Dia lebih gemar orang bercerita mengenai kerjaya seninya berbanding dengan hal peribadi yang sering kali diberikan tumpuan oleh media massa.

"Saya tak terdesak mencari kontroversi untuk popular. Biarlah orang lain melakukan sebegitu tetapi bukan saya. Untuk apa kita popular dengan jalan sedemikian?

"Saya tidak menafikan yang kontroversi itu menaikkan nama seseorang artis. Lagi baik kalau saya naik setapak demi setapak sehingga berjaya menjadi seorang pelakon yang baik.

"Banyak mata yang memandang lakonan saya. Saya akui saya pelakon baru dan masih banyak perkara yang perlu saya pelajari untuk sampai ke tahap tertinggi.

"Misi saya sekarang untuk memantapkan lakonan dan saya pasti selepas itu ada kesan yang baik bagi diri saya," katanya yang turut membintangi drama bersiri Klon Teja.

Sepanjang menjadi pelakon, sudah banyak pengalaman yang ditempuhi oleh terutama apabila terlibat dalam drama Gelora Di Hati Sara yang sudahpun ditayangkan sedikit masa lalu.

Sudah pasti dia berbesar hati apabila dapat bergandingan dengan nama-nama besar memandangkan mereka merupakan antara pelakon senior yang dihormati.

"Saya sangat menghargai segala ilmu dan pengalaman yang saya kutip sepanjang tempoh ini. Cuma dalam industri ini kita perlu berhati-hati dalam setiap segi bagi mengelakkan perkara buruk terjadi.

"Kunci utamanya adalah disiplin. Saya yakin dengan disiplin yang baik akan menjadikan sesiapa sahaja berjaya walau apa bidang yang kita ceburi," katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Nazim bolehlah melayari laman sosial www.facebook.com/nazimothman.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails