Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kekasih Awal buat hal


BAKAT pengacaraan Ahmad Awalluddin Ashaari atau Awal Ashaari pastinya tidak boleh disangkal lagi.

Begitu juga dengan hasil lakonannya. Bagaimanapun, apakah tuah akan menyebelahi jejaka dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini dalam bidang nyanyian?

Disember ini Awal akan menjayakan ‘projek besarnya’ untuk bergelar penyanyi.

Dinaungi syarikat rakaman pilihannya, segala perancangan itu akan diumum tidak lama lagi. Bagaimanapun, kontrak persetujuan sudah ditandatanganinya.

Awal berkata buat masa sekarang, biarlah ia dirahsiakan dulu.

Menurutnya, ini kerana satu sidang media pengumuman akan dianjurkan nanti.

“Tidak wajar bagi saya mendahului mereka (syarikat rakaman). Apa yang boleh saya kongsi ialah impian ingin bergelar penyanyi kemungkinan akan termakbul.

“Malah, saya juga akan muncul dengan single memandangkan keadaan pasaran album kini.

“Boleh dikatakan, kebanyakan artis baru dan sedia ada sekarang tertumpu pada jualan single tidak terkecuali muat turun lagu dan nada dering. Oleh itu, saya juga berpandangan untuk muncul dengan single untuk mencuba pasaran lebih dulu.

“Sekiranya, penerimaan pendengar dan peminat positif maka saya akan teruskan dengan beberapa single lagi sebelum merancang untuk album. Apapun, sekarang saya benar-benar bersedia untuk bergelar penyanyi kerana masanya sudah tiba,” katanya.

Menurut Awal, 28, impian untuk jadi penyanyi sudah lama diidamkan, tetapi, keadaan tidak mengizinkan kerana dia pernah bertugas sebagai pembaca berita di 8TV dan kemudian aktif mengacara. Begitu juga berlakon di atas permintaan peminat.

“Jadi, sekalipun ada syarikat rakaman berminat selama ini, saya terpaksa tangguhkan. Apapun, selepas sekian lama bersabar dan peluang yang datang kali ini agak baik, saya fikir kenapa harus menolak. Bahkan, peluang tidak datang selalu.

“Terus terang, perasaan saya sekarang sangat seronok dan teruja kerana tidak menyangka kesabaran selama ini akhirnya berhasil. Namun, realitinya juga saya akan terus aktif mengacara kerana saya memang suka bercakap,” kata Awal.

Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, tanpa berselindung Awal mengakui dia kini giat bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran mengadakan bengkel motivasi ke seluruh tanah air.

Boleh dikatakan jadualnya sibuk kerana masih perlu mengacara.

“Selain terikat dengan Sehati Berdansa 3, saya juga dipilih bergandingan bersama Ratu Cantik Malaysia/Dunia, Deborah Henry untuk mengacarakan Konsert Warisan Irama kini yang mengetengahkan konduktor muzik dan komposer terkenal, Datuk Johari Salleh, penyanyi, Aishah dan Lah (VE).

“Berlangsung pada pertengahan Disember ini, saya sebenarnya gembira. Apatah lagi, konsert itu diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC dan turut dijayakan Orkestra Philharmonik Malaysia (MPO). Saya yakin gandingan bersama Deborah serasi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bidang pengacaraan, Awal berkata memang tahun ini dia memilih untuk memberi fokus pada bidang pengacaraan.

Jadi, aktiviti lakonannya dihadkan berikutan dia banyak berlakon drama, filem dan terbabit teater.

“Tawaran berlakon masih tetap diterima, tetapi bergantung pada jadual mengacara saya. Kalau betul-betul ada masa terluang, saya tidak menolak. Apapun, saya berlakon sebagai hobi dan kerana peminat. Tetapi, tahun depan saya mungkin berlakon filem,” katanya.

Apapun, di sebalik kesibukan kariernya, Awal masih lagi tidak terlepas daripada gosip cinta.

Dikaitkan menjalin kasih dengan rakan pengacaranya di sehati Berdansa 3, Scha Al-Yahya, pemuda kacak ini tetap dengan pendirian dan jawapannya.

“Seperti saya pernah katakan, hubungan kami hanya sebagai sahabat. Tidak lebih daripada itu kerana saya juga sudah memiliki teman wanita.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan juga hubungan kami kini ‘bermasalah’ disebabkan gosip liar berkenaan.

“Ia salah satu puncanya saja. Selebihnya kerana kurang memahami karier saya sebagai insan seni. Tidak dinafikan, saya serius dengan si dia, tetapi apabila masalah ini berlaku, ia perlu diselesaikan dulu. Saya akan berusaha selamatkan hubungan ini,” katanya.

Menurut Awal, bagaimanapun soal jodoh dia lebih senang menyerahkan pada Tuhan.

Katanya, dia akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan masalah itu, tetapi apa tindakan seterusnya biarlah Tuhan tentukan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails