Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati Anang tidak menangis lagi


WAJAH Anang yang sebenarnya banyak menyimpan 1001 kisah yang terlalu berat untuk ditanggung.
SELEPAS ikatan perkahwinannya selama 13 tahun dengan penyanyi popular, Krisdayanti atau Kris berakhir, Anang Hermansyah mengakui kini kehidupannya lebih diutamakan kepada anak-anaknya.

Kerana bagi Anang, perceraiannya itu telah meninggalkan impak yang cukup besar dalam diri anak-anak mereka iaitu Titania Aurelie Nurhermansyah, 11, dan Azriel Akbar Hermansyah, 9.

Jelas Anang, anak-anak mereka lebih merasa derita serta kesakitan berbanding dirinya yang mengakui perjalanan hidupnya kini lebih tenang dan bahagia.

"Mereka yang berdepan dengan situasi itu dan semuanya berlaku di depan mata mereka. Jadi, sudah pasti mereka yang lebih merasakan penderitaan itu.

"Malah, sepanjang tempoh hidup berasingan selepas saya melafazkan talak kepada Yanti (panggilan untuk Krisdayanti), anak-anak begitu rapat dengan saya sehingga kami tidur sekatil kerana mereka begitu trauma.

"Mereka masih muda dan belum matang untuk memahami situasi yang berlaku antara saya dan Yanti," jelas Anang kepada media tempatan dalam satu temu bual baru-baru ini.

Anang melafazkan talak tiga kepada Kris pada 19 Ogos lalu dan bermula detik itu, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Menghitung Hari dan Mencintaimu itu tidak dibenarkan bertemu dengan dua permata hatinya.

Hanya pada 22 Oktober lalu, Pengadilan Agama Jakarta Selatan mengesahkan secara rasmi Anang dan Kris bukan lagi suami isteri.

Dalam masa yang sama, Anang turut memberitahu anak-anak mereka sendiri yang membuat keputusan untuk tidak bertemu dengan Krisdayanti selepas lafaz talak dijatuhkan.

Dan, sebagai seorang bapa, dia tidak pernah menghasut mahupun melarang anak-anaknya bertemu dengan Kris kerana apa pun yang terjadi, mereka tetap darah daging bekas isterinya.

Sebagai buktinya, tanggal 3 November lalu, Kris buat pertama kalinya dipertemukan dengan kedua-dua orang anaknya itu dengan di bawah pengawasan Anang sendiri selepas tiga bulan tidak berjumpa.

Anang turut menjelaskan buat masa ini, anak-anaknya akan terus berada di bawah jagaannya sehingga dua anaknya itu dewasa dan membuat keputusan untuk tinggal bersamanya atau Kris.

Ditanya bagaimanakah saat pertemuan pertama dengan Kris selepas tempoh tersebut, Anang hanya menjawab: "Semuanya seperti biasa. Hanya tegur-menegur bertanyakan khabar sahaja."

Dalam masa yang sama, anak kelahiran Jember, Jawa Timur ini turut mendoakan agar bekas isterinya itu akan cepat bertemu jodoh.

"Bukan apa. Yanti itu cantik orangnya dan pasti kalau tidak cepat bertemu jodoh, pasti akan timbulnya fitnah terhadapnya nanti," luah Anang penuh jujur.

Anang turut ditanya adakah dia serik untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua, tanpa berfikir panjang dia mengatakan dia sudah bersedia untuk mencari pengganti.

Baginya, tidak manis untuk hidup keseorangan kerana berkahwin itu merupakan satu ibadah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah.

Kekok

Untuk mencari pengganti kata Anang, dia tidak kisah sama ada wanita itu merupakan orang biasa atau artis kerana apa yang penting, bakal isterinya itu kelak harus bijak mengimbangi urusan dunia dan akhirat.

"Siapa tahu mungkin jodoh saya di Malaysia," kata Anang spontan sambil disambut hilai tawa pihak media.

Barangkali ramai yang sudah mendengar lagu Separuh Jiwaku Pergi ciptaan sepenuhnya dan dinyanyikan oleh Anang dan merupakan antara lagu popular lewat ini.

Mendengarkan bait-bait lirik lagu tersebut sudah cukup menggambarkan perjalanan cerita dalam kehidupan Anang dan Kris.

Kata Anang, lagu-lagu yang terkandung dalam album terbarunya itu dicipta selepas berpisah dengan Kris.

"Kalau diamati secara halus, album ini merangkumi peristiwa yang pernah berlaku dalam hidup saya sewaktu bersama dengan Yanti.

"Saya tidak mahu mengulas dan bercerita panjang kerana semuanya terkandung dalam enam buah lagu yang ada dalam album ini," ujar duda berusia 40 tahun ini penuh bersungguh.

Selain lagu Separuh Jiwaku Pergi, lima lagu lain yang dimuatkan dalam album yang juga menggunakan judul yang sama itu ialah Belajarlah Untuk Cinta, Hujan Pun Menangis, Sakit, Bila Cinta Tak Dosa dan Hidup Ini Rahasia.

Ujar juri rancangan realiti televisyen, Indonesian Idol ini lagi setiap karyanya banyak dipengaruhi oleh pengalaman yang dilaluinya dalam fasa-fasa kehidupannya selama 40 tahun.

Sempat ditanya adakah dia akan terus terlibat dengan sebarang rencana seni Kris selepas apa yang berlaku, Anang mengatakan perkara itu tidak mungkin akan berlaku.

Malah, dia juga menarik diri daripada projek album duet Kris dan Datuk Siti Nurhaliza biarpun sudah mencipta sebuah lagu untuk mereka yang berjudul Goyang Seberang.

"Lagu itu pun sudah diberikan kepada sebuah kumpulan wanita yang merupakan anak didik saya.

"Kini, Yanti harus bergerak sendirian tanpa perlu meminta apa-apa lagi daripada saya termasuklah muzik dan karya saya," katanya dengan maksud yang mendalam.

Bagi mempromosikan album Separuh Jiwaku Pergi, Anang akan berkunjung ke Malaysia selama seminggu bermula 1 Disember ini di bawah syarikat rakaman, Suria Records.

"Kekok rasanya untuk datang bersendirian kerana sebelum ini saya sering menemani Yanti.

"Tetapi, tidak mengapa. Saya harus meneruskan kehidupan saya dan keluar dari kesengsaraan serta kesakitan ini," ujarnya optimis.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails