Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kisah patah kaki Ezlynn


PENYANYI berambut kerinting yang juga lincah tatkala beraksi di atas pentas ini jarang benar berbicara soal peribadi.

Ezlynn yang dikenali sebelum ini lebih gemar berbicara soal kerjaya berbanding menjaja kisah-kisah peribadinya.

Namun, pada usia yang bakal menginjak ke angka 29 tahun pada 27 September ini, penyanyi yang bernama sebenar Azline Ariffin itu kini lebih matang dan terbuka berbicara tentang hal peribadi.

Benar, sudah agak lama kisah tentang pelantun lagu Hi Hi Bye Bye ini tidak kedengaran dan kesempatan bertemu Ezlynn digunakan sebaik mungkin oleh wakil media yang hadir pada majlis tersebut.

Apa yang mengejutkan, Ezlynn yang hadir pada sesi pra-dengar 10 lagu terbaik yang bakal dimuatkan dalam sebuah album oleh Alibi Music di Redbox, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini menimbulkan tanda tanya apabila hadir dipapah dan bertongkat.

Menyingkap tahap kesihatannya, tanpa berselindung penyanyi yang cukup mudah ketawa itu memberitahu, kaki kanannya cedera dan patah akibat terjatuh dari tangga.

Dan apa yang membataskan pergerakannya kini, telah hampir dua bulan dia tidak dapat melakukan sebarang aktiviti seni sementelah menanti kakinya benar-benar sembuh.

"Saya terjatuh dari tangga rumah saya menyebabkan kaki saya patah dan dimasukkan sebanyak tiga skru.

"Apa yang membuatkan saya rasa terganggu, selain menahan sakit saya juga tidak boleh bekerja seperti selalu.

"Mujur syarikat saya, Ezlynn Entertainment yang menjalankan perniagaan pengurusan acara mampu dilakukan oleh rakan-rakan yang lain," kata Ezlynn yang dinasihatkan oleh doktor untuk berehat seketika dalam lakonan dan nyanyian.

Terpaksa melayan rasa bosan duduk dirumah, akui Ezlynn berat badannya juga telah naik sebanyak tiga kilogram (kg) daripada 50kg kepada 53kg kini.

Sempat berseloroh, dia kini sedang berkira-kira untuk ke pusat membeli-belah membeli pakaian baru yang sesuai dengan pertambahan berat badannya kini.

Sedikit tertekan dengan keadaan tersebut, namun jelas Ezlynn ada hikmahnya di sebalik apa yang berlaku.

Masa yang banyak terluang kini disempurnakan sebaiknya dengan mendekati peminat di laman sosial Facebook.

"Ramai kawan ingatkan kaki saya patah sebab terjatuh dari basikal memandangkan kini saya mempunyai hobi baru iaitu berbasikal.

"Buat masa ini saya betul-betul rindu dengan aktiviti berbasikal bagaimanapun, saya terpaksa mendengar nasihat doktor untuk berehat tanpa banyak berjalan selama sebulan lagi kerana doktor menganggarkan kecederaan saya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan," katanya yang gemar berbasikal di sekitar Bukit Kiara dan Putrajaya Challenge Park.

Kahwin 11.11.2011?

Seperti yang disebut di atas, sebelum ini, Ezlynn kurang gemar bercerita mengenai hal peribadi tetapi kini, dia jauh lebih terbuka.

Ezlynn bukan lagi seperti dulu yang amat berat untuk berkongsi kisah peribadinya.

Malah, tatkala diaju pertanyaan tentang teman hidup, sambil ketawa Ezlynn menyatakan ibunya memilih tanggal 11.11.2011 untuk dia menamatkan zaman solo.

"Tahun ini adik saya bakal berkahwin dan secara tidak langsung mak saya menyuruh saya segera berkahwin malah. Ibu juga meletakkan tarikh tersebut sebagai tarikh perkahwinan saya," kata Ezlynn sambil ketawa.

Mengakui sudah memiliki teman istimewa, lelaki bujang berusia 30-an yang juga seorang ahli perniagaan adalah 'teman' yang cukup rapat dengannya.

Pengalaman putus cinta tidak lama dahulu benar-benar membuatkan penyanyi yang berasal dari Ulu Kinta, Perak itu berhati-hati terutama dalam menentukan soal pasangan hidup.

"Harap-harap kali ini menjadi. Dulu saya pernah ada sejarah silam putus cinta. Kalau boleh saya tidak mahu perkara sama berlaku lagi.

"Pengalaman putus cinta cukup pedih malah saya pernah berkurung di rumah selama empat bulan dan menangis setiap hari.

"Apapun, dalam perhubungan bukan hanya cinta semata-mata tetapi juga tanggungjawab," kata Ezlynn lagi.

Selain seorang yang bertanggungjawab, apa yang membuatkan Ezlynn cukup kagum dengan teman istimewanya itu ialah layanan serta sikap menghormati orang yang lebih tua darinya.

Pertaruh Tic Tac Toe

Ezlynn yang pernah bernaung sebagai artis rakaman di bawah syarikat KRU Production selama lapan tahun (2001 - 2008), kini bernaung di bawah syarikat Alibi Music selama setahun sejak Disember tahun lalu.

Pernah lahir dengan dua album iaitu Ehem pada tahun 2003 dan Pssst… (2004), kini Ezlynn muncul dengan single terbaru ciptaan Noh dari kumpulan Hujan, Tic Tac Toe yang liriknya ditulis oleh AD Samad.

"Ini pertama kali saya nyanyikan lagu ciptaan Noh. Rasa memang seronok dapat nyanyikan lagu ini walaupun hanya dengan mendengar muzik sudah rasa ceria.

"Sudah agak sebati lagu rancak dengan diri saya sebab saya ini seorang yang memang gemar menari. Tetapi apabila sudah patah kaki menjadi satu masalah buat saya.

"Setakat ini, bernaung di bawah Alibi Music saya memang berpuas hati kerana mereka rajin membuat promosi walaupun ada ramai artis-artis popular yang bernaung di bawah satu bumbung, ternyata setiap dari kami punya kelainan dari segi penyampaian dan konsep," kata Ezlynn lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails