Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Black masih jual ikan


Meet Uncle Hussein masih mengharap tapi fobia cari vokalis tetap

ANTARA Black dan Meet Uncle Hussain, mereka semakin serasi. Biarpun Black bukan vokalis tetap kumpulan muzik indie terkenal itu, mereka lebih selesa menjalinkan kerjasama tanpa terikat.

Juara Mentor musim ketiga dan pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-24 itu mahu meneruskan perjuangan secara solo terlebih dulu apatah lagi album pertamanya kini sedang dalam proses rakaman, manakala Meet Uncle Hussain pula seolah-olah fobia dan tidak dapat melupakan `krisis teluk' yang berlaku dengan bekas vokalis mereka, Lan.

Biarpun pertelingkahan mereka semakin reda, apatah lagi Lan kini bergerak secara solo dan menggunakan nama Azlan & The Typewriter, Meet Uncle Hussain pula lebih senang menggunakan khidmat Black atau Hazama tanpa mengikat perjanjian hitam putih dengan mereka. Sungguhpun begitu, populariti Meet Uncle Hussain yang muncul dengan single lagu Drama King hasil kolaborasi bersama Black tidak pernah tenggelam, malah mereka masih menjadi pilihan peminat dan tercalon dalam senarai Top 5 kategori Penyanyi Duo/Berkumpulan, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 bersama Black. Selain itu, Black juga tercalon dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2009.

Black berkata, pernah terdetik di hatinya mahu bekerjasama dengan Meet Uncle Hussain ketika menyaksikan Anugerah Juara Lagu tahun lalu. Kini, impiannya jadi kenyataan apabila dapat berkolaborasi menerusi lagu Drama King dan sering mengadakan persembahan dengan kumpulan yang pernah dinobatkan Penyanyi Duo/Berkumpulan ABPBH tahun lalu itu.

"Mungkin ada yang tidak percaya jika saya katakan, dulu lagu Meet Uncle Hussain sering menjadi siulan saya, malah ketika membantu bapa, Hanafiah Che Din, 54, menjual ayam dan ikan, lagu popular mereka menjadi peneman setia saya. Tak kira masa potong ayam atau menyiang ikan untuk pelanggan, saya menyanyi dengan selamba. Kini rasanya bagaikan bermimpi pula dapat bersama kumpulan yang disanjungi biarpun saya bukanlah vokalis tetap. Inilah dinamakan rezeki, baru tahun lalu saya melihat mereka di kaca TV, kini saya bersama mereka. Saya kagum dengan lagu popular, Laguku Untukmu.

"Sesiapa pun tidak akan menolak jika ditawarkan sebagai vokalis Meet Uncle Hussain, mungkin jika tahun lalu ketika saya belum menyertai Mentor, saya tidak akan mempersia-siakan peluang di depan mata, tetapi kini saya terikat dengan syarikat rakaman, Monkey Bone dan sedang sibuk dengan rakaman album pertama," kata anak jati Kuala Lumpur itu.
Dengan jujur, Black akui: "Kehidupan saya berubah sekelip mata apabila bergelar juara Mentor dan memenangi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-24. Masih kuat teringat betapa saya bertungkus lumus membantu bapa berniaga menggunakan van dari satu tempat ke satu tempat untuk menjual barang keperluan basah.

"Kini, saya tidak perlu bangun tengah malam seperti dulu lagi, tetapi ada ketikanya saya masih membantu bapa. Apa yang nak dimalukan, biarpun saya bergelar artis, saya dan bapa mencari rezeki halal. Tetapi keadaannya juga sudah berubah, dulu orang kenal saya sebagai penjual ayam dan ikan, kini orang kenal saya sebagai artis. Bila saya berniaga, Alhamdullilah perniagaan bapa laris dan cepatlah kami dapat pulang ke rumah.

"Saya mahu mengumpul wang membantu bapa mencari kedai, saya tidak mahu bapa dan keluarga saya susah lagi. Saya juga sudah memiliki butik sendiri yang diberi nama Zwarthna By Black di Dataran Dwi Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras sejak beberapa bulan lalu. Butik saya menyediakan kemeja-T, seluar jeans, tudung, tas tangan dan aksesori.

"Kenapa saya pilih perniagaan butik kerana dulu saya sudah merasai keperitan menjual ayam, ikan dan sayur. Keadaan saya sentiasa berbau tidak selesa, jadi saya mahu mengubah selera dengan menceburi bidang perniagaan lain," katanya yang memilih nama wanita untuk judul lagu dalam album pertamanya. Single pertama berjudul Sofea Jane ciptaan Sham Kamikaze sudah berkumandang di corong radio.

MUH belum sedia cari vokalis tetap

KUMPULAN Meet Uncle Hussain (MUH) dianggotai Nik Mustaza Nik Mustapha (Taja), selaku pemain gitar utama/vokalis, Azhar Abdul Razak (Babab/gitar kedua) dan Mohd Fathi Mohd Darwis, (bass). Bagaimanapun, kini mereka menambah seorang anggota baru, Norhafiz Ismail (Pit) selaku pemain dram.

Taja berkata, mereka belum bersedia mencari pengganti bekas vokalis dulu kerana mahu menyiapkan rakaman album kolaborasi dengan beberapa artis termasuklah Black, Hazama, Noh Hujan dan beberapa Otai dalam dunia muzik. Bagaimanapun, siapakah Otai yang dimaksudkan biarlah menjadi rahsia dulu.

"Kami masih fobia, biarlah kami menghilang dulu fobia yang menghantui kami. Black memang cukup serasi dengan MUH, malah ramai peminat menyarankan kami mengambil Black sebagai vokalis, tetapi Black ada rancangan kerjayanya, dia tidak mampu terikat dengan kami.

Saya akui MUH sedikit goyah apabila tiada vokalis tetap sejak setahun dulu, tetapi Black dan Hazama menjadi penyelamat kami. Lagu kolaborasi bersama Black, Drama King nyata mendapat perhatian. Jika ada masa terluang, Hazama juga banyak membantu.

"Alhamdullilah, bekerja tanpa mengikat Black dan Hazama lebih mudah. Bagaimanapun, selepas menyiapkan album kolaborasi ini, kami ingin menumpukan perhatian mencari vokalis tetap. Syarat MUH mudah saja, penyanyi itu mempunyai suara unik, tetapi tidak perlulah dahsyat sangat. Kerana kami tahu semua itu boleh diasah dari semasa ke semasa. Yang penting, komitmen dan disiplin," katanya.

Babab berkata, tidak dinafikan mereka sedikit serik dan mahu berhati-hati dalam pemilihan vokalis baru kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Kenapa kami tidak menawarkan pada Hazama bukan kerana kami tidak mempercayai bakatnya, tetapi kami tidak mahu terburu-buru. Kami akui Hazama mempunyai suara yang power dan boleh diketengahkan, tetapi biarlah kami mencari chemistry terlebih dulu,” katanya.

Menyentuh ABPBH 2009, Babab berkata mereka tidak pernah mengharap dapat mengulangi kemenangan seperti tahun lalu tetapi jika ada rezeki, mungkin ia adalah bonus buat mereka dan Black.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails