Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Anita menangis tinggalkan anak


IBU muda ini ada resipi untuk alam rumah tangganya. Memasuki lantai tari Sehati Berdansa adalah satu alternatif untuk Anita Baharom menjaga badannya yang genit seakan anak dara, juga satu rencah untuk mengeratkan hubungan suami isteri. Walaupun tersenarai sebagai pasangan tercorot tetapi isteri kepada Ismadi Ismail ini menyahut cabaran tarian dengan penuh antusias.

“Kami berdua sama-sama hilang tiga kilogram sejak memasuki pertandingan ini. Saya dapat katakan program ini lebih mengeratkan kasih sayang kami dan yang lebih bagus kerana dapat menambahkan masa dan ruang kami bersama sebagai suami isteri. Tetapi sedih kerana kami agak kekurangan masa untuk bersama anak,” ujar ibu kepada Syifa Dhia Nurina ini.

Menurut Anita yang gemar mengelarkan dirinya Ita dalam perbualan, minggu pertama menghadapkan mereka dengan pelbagai dugaan termasuk kematian bapa mertuanya, Selasa minggu lalu. Dilalui bersama dengan tabah, mereka menghadap hari-hari mendatang dengan lebih cekal dan bersedia.

“Saya tidak ambil mana-mana kerja kerana mahu tumpukan perhatian pada pertandingan ini. Ada juga ditawarkan dengan telemovie tetapi perlu ditolak kerana komitmen ini,” ujarnya seraya memberitahu drama muzikal Kau Dan Aku adalah projek terakhir sebelum program dansa ini.

Sebelum ini Anita berkesempatan menjalani penggambaran drama muzikal yang berkonsepkan ala High School Musical tersebut di Jakarta bersama Mila serta pelakon-pelakon lain seperti Amar, Farish, Raja Farah, Nonny, Azizah Mahzan, Nurul, Sabrina Ali dan Riezman. Siri drama yang diambil daripada telenovela popular Venezuela berjudul So Mos To Yo ini boleh disaksikan di saluran 104 (Astro Ria). Siri ini mula bersiaran pada 24 Oktober pada pukul 10 malam.

“Banyak pengalaman sepanjang berada di sana. Awalnya saya menangis teresak-esak setiap hari kerana rindukan anak. Jadi sangat sensitif dan rasa mahu lari balik ke Malaysia. Tapi lama-kelamaan saya menjadi okey. Ini semua tuntutan kerja,” ungkapnya yang menyatakan rasa hidup seakan bujang kembali di negara orang.

Malah wanita yang berusia 26 tahun ini juga merasa pengalaman gempa bumi di Tasik Malaya, Indonesia apabila studio penggambarannya turut merasai gegaran yang agak kuat.

“Selain itu, saya dapat pengalaman bekerja di bawah arahan pengarah Indonesia, Achoo dan Reza. Dengan watak gadis muda yang gedik, saya disuruh membawakan watak senakal mungkin.

“Pada mulanya agak payah kerana sudah lama tidak bawa watak sebegini. Tapi selepas dua tiga hari dan berjumpa dengan geng saya, Raja Farah, saya berjaya juga mencari mood yang tepat,” ujarnya yang membawa watak Anita, seorang ahli kumpulan gadis nakal.

Seronok dapat bekerjasama satu bumbung dengan bintang AF yang muda belia, Anita menaruh kepercayaan bahawa siri ini akan mencipta fenomenanya sendiri.

“Saya tahu bintang-bintang AF ini ada pengikut sendiri dan gabungan pelakon dalam siri ini akan mencipta gelombangnya sendiri,” ujarnya yang bersyukur diberikan kepercayaan membawa watak gadis muda walaupun sudah berumah tangga.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails