Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tolonglah, jangan buang anak - Catt


TIADA momen terindah buat wanita yang mengandung sembilan bulan apabila melihat wajah darah daging sendiri di hadapan mata. Terbit 1,001 perasaan bercampur-baur terutama semasa si ibu bertarung nyawa ketika melahirkan anak. Namun begitu, saat tersebut kemudiannya bertukar menjadi manis dan sayu setelah melihat kelibat si kecil menjerit dalam tangisan.

Begitu juga keadaannya dengan artis yang popular dengan drama Mek Salmah Dari Scotland, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross atau lebih dikenali dengan nama komersial Catriona Ross.

Ibu berusia 30 tahun ini bertuah kerana melahirkan anak tanpa sebarang masalah komplikasi dan kemudaratan yang serius.

''Saya tidak dapat jelaskan di sini bagaimana perasaan indah ketika melahirkan Sephia Rania Ross_Eddin. Dia cukup sempurna dan sihat. Sangat cantik dan sukar hendak diungkapkan dengan perkataan. Rasa pilu juga apabila melihat wajah anak yang dikandung dalam perut selama ini,'' kata Catriona sambil tersenyum manja.

Bayi perempuan yang dipanggil Rania itu adalah pelengkap kehidupan buat Catriona dengan suaminya, Shaharuddin Mokhtaruddin, 31, yang merupakan penerbit dan pengarah rancangan hiburan televisyen Astro. Ia juga simbolik bagi ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pada 26 Jun 2009.

Rania dilahirkan tepat pukul 8.44 malam di Pusat Perubatan Naluri Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu. Pada ketika itu beratnya adalah 3.1 kilogram. Berita tersebut disambut gembira oleh keluarga dua belah pihak. Maklum sahaja, cucu sulung dan sudah pasti debaran dirasai berlainan sekali.

Bercerita tentang pemilihan nama Sephia Rania Ross_Eddin, tanpa berselindung Catriona memberitahu, ia berkait rapat dengan pembabitan awal dalam melakar namanya sebagai pelakon sekitar tahun 2004.

Secara jujurnya, drama Sephia yang dilakonkannya itu berjaya mengangkat namanya di mata peminat seni tempatan. Jadi, tidak salah sekiranya Catriona mengabadikan nama berkenaan buat cahaya mata sendiri.

Kebetulan juga terjemahan di sebalik nama Sephia Rania memikat hatinya. Ia bererti 'keindahan yang mempersona' boleh dijadikan sebagai doa setiap kali nama anaknya dipanggil.

''Saya suka dengan nama itu. Saya cadangkan kepada suami selepas mengetahui jantina kandungan pada minggu ke-20. Pada masa yang sama, kami turut rahsiakan jantina anak kepada semua orang termasuk ibu bapa.

''Tetapi selepas kelahiran Rania, saya pula tidak percaya bergelar ibu. Perasaan yang sama saya alami setiap hari meskipun sudah 16 hari berlalu. Mata Rania mirip saya. Itu bahagian yang paling saya suka,'' cerita Catriona.

Bercerita tentang pengalaman yang dialami selama mengandungkan Rania dahulu, Catriona mengatakan dia mengalami tempoh yang tidak menggambarkan dirinya yang sebenar.

Masakan tidak, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menjadi seorang yang aktif, lasak dan penyabar. Sifat sedemikian bertentangan dengan jiwa Catriona semasa di zaman gadis dahulu.

Ini kerana pemilik Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) Universiti Putra Malaysia itu sempat menjalani penggambaran berjudul Dimensi Cinta sehingga kandungan memasuki usia 28 minggu.

Selain itu, Catriona rajin memasak untuk suami dan berdaya untuk melakukan kerja rumah tanpa bantuan sesiapa. Meskipun terlalu berat buat wanita hamil sepertinya tetapi Catriona gagahkan juga.

Mungkin disebabkan alasan berkenaan, Rania dilahirkan dalam keadaan sihat dan baik tanpa banyak ragam. Dia hanya bangun pada waktu malam merengek agar ditukar lampin dan diberikan susu.

''Rania seolah-olah memahami perasaan saya. Walaupun dia masih belum boleh melihat tetapi sering memberi reaksi tatkala namanya dipanggil. Dia juga suka mandi dan gembira apabila bermain dengan air,'' cerita ibu berusia 30 tahun ini.

Amalkan berpantang

Seperti ibu-ibu lain, Catriona juga melalui proses berpantang. Dia bertuah kerana mendapat penjagaan sepenuhnya daripada ibu mentua, Azizam Ahmad, 53, di rumahnya di Wangsa Maju.

Sehingga ke hari ini, Catriona masih mengikuti 'kelas' tradisional Melayu itu setiap hari. Ia meliputi bertungku dan berurut pada waktu pagi manakala pada sebelah malamnya hanya aktiviti bertungku sahaja.

''Rutin tersebut perlu diselesaikan dalam masa 44 hari. Selain itu, saya juga berpantang makan dan memakai stoking sentiasa bagi mengelakkan angin masuk ke dalam badan. Semua itu dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi,'' katanya yang merancang untuk memiliki tiga orang anak pada masa depan.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini juga menimba pengalaman tentang penjagaan bayi daripada ibunya, Siti Zawiyah Abdul Rahman. Ini kerana sebelum ini ibunya pernah bertugas sebagai Ketua Jururawat di sebuah hospital di United Kingdom (UK) satu ketika dahulu.

Segala maklumat tersebut dikongsi bersama dan digabung bersama beberapa petua moden yang diperolehi menerusi proses pembacaan. Ia bertujuan memberi kesegaran buat dirinya sepanjang tempoh berpantang.

Ia juga digunakan sebagai panduan penjagaan Rania dan bakal anak-anaknya yang lahir pada masa akan datang.

Tolong jangan buang anak!

Emosi Catriona yang popular dengan drama bersiri Sephia dan Datin Diaries tiba-tiba berubah saat diajukan soalan mengenai kes bayi dibuang yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Secara peribadi, naluri ibunya tersentuh setiap kali melihat anak kecil tidak berdosa itu dibuang dan dibakar dalam tong secara kejam. Ia merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh kaum hawa yang bersifat binatang.

Apatah lagi selepas mengetahui kebanyakan kes pembuangan bayi melibatkan kaum Melayu. Baginya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku di kalangan masyarakat Timur yang mengamalkan budaya timur dan penuh dengan adat.

''Jika hendak bandingkan kes pembuangan bayi di Barat, ia memang ketara. Di UK misalnya, ada juga kes seperti itu. Tetapi, mereka balutkan bayi tersebut dengan selimut, disertakan susu botol dan diletakkan dalam bakul sebelum ditinggalkan, kiranya masih ada perasaan kasihan.

''Tetapi perkara itu tidak berlaku di Malaysia, kita lebih teruk. Di sini, bayi yang dibuang hanya ditutupi surat khabar atau kertas, selepas itu mereka buang anak tidak berdosa itu ke merata-rata tempat yang dia sempat. Di mana sifat keibuan itu?'' katanya dengan nada penuh kesal.

Perasaan marah semakin bertambah terhadap kaum ibu yang melakukan perbuatan terkutuk itu menjadi-jadi selepas melahirkan Rania. Jika tangisan Rania mampu mencairkan jiwa wanitanya, Catriona terfikir kenapa perasaan sebegitu tidak dimiliki oleh wanita yang sanggup membuang anaknya sendiri?

Pada masa yang sama, Catriona turut menyatakan sokongan terhadap kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia yang cakna dengan masalah sosial yang semakin serius itu. Baginya, kempen itu juga tepat pada masanya di saat gejala buang bayi semakin berleluasa masa kini.

''Ia juga bertujuan untuk 'mematikan' semua usaha pembuangan anak yang masih belum bernoktah itu. Kempen anjuran sebuah syarikat akhbar yang besar seperti Utusan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang betapa bahayanya penyakit moral itu jika terus dibiarkan,'' tegas Catriona yang turut menyatakan kesanggupan untuk mengambil dan membela bayi terpinggir jika ditemui di jalanan.

"Mereka berhak diberi peluang untuk bernafas dan hidup seperti kanak-kanak lain," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails