Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tanah Suci ubah hati Umie


DESTINASI cinta pelakon terkenal, Umie Aida kali ini sudah sampai ke kemuncaknya. Dia bukan saja sudah bergelar isteri orang, sebaliknya, gelaran buatnya juga sudah berubah.

Umie kini akan dikenali sebagai Datin Paduka selepas sah bernikah dengan usahawan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di Masjidil Haram, Mekah awal pagi Ahad lalu.

Setelah dihimpit dengan kecelaruan emosi, pelakon berkarisma ini reda dengan jodoh yang ditentukan Allah buatnya dengan lelaki yang usianya berjarak 10 tahun lebih tua daripadanya yang juga duda anak dua.

Entah 'rasukan' apa yang menghantui dirinya, Umie yang mengakui hampir membatalkan niatnya berkahwin dengan Khairuddin dua hari sebelum berangkat ke Mekah akhirnya menarik nafas lega kerana hasrat itu berkubur sebaik tiba di kota paling suci buat umat Islam itu.

"Perasaan bimbang dan takut untuk bergelar isteri menjadi sebab utama mengapa saya membuat keputusan untuk menimbang semula hasrat berkenaan.

"Pada masa yang sama, saya juga begitu sukar menerima kehadiran cinta lelaki memandangkan beberapa hubungan sebelum ini berakhir tanpa sebarang ikatan.

"Saya juga amat risau seandainya saya tidak mampu menyayangi lelaki dengan sepenuhnya kerana pengalaman putus cinta sebelum ini membuatkan saya tidak percaya pada cinta," jelas Umie yang anggun mengenakan persalinan serba putih rekaan pereka terkenal, Jovian Mandagie.

Kini di bahu wanita berusia 37 tahun itu ialah tanggungjawab yang sangat besar iaitu sebagai isteri kepada seorang lelaki yang hanya dikenali dalam tempoh enam bulan.

Lebih penting buat Umie ialah memelihara keharmonian rumah tangga memandangkan ikatan pernikahan dia dan Khairuddin dilakukan di tempat ibadat yang sering menjadi tumpuan umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah.

Benarlah sudah tertulis, Tanah Suci boleh mengubah pelbagai karakter dan peribadi seseorang. Umie mengakui, hakikat itu berlaku kepadanya.

Tanah Suci menterjemahkan diri Umie makna mengenai kehidupan, pemahamannya mengenai erti kasih dan cinta selain mengenal dengan lebih mendalam erti pengorbanan mereka yang mengasihi dirinya.

Contoh paling dekat ialah bagaimana Khairuddin berjaya menarik hatinya untuk mempercayai bahawa tidak semua lelaki hanya mahu mengambil kesempatan.

"Abang (panggilan buat suami) mengubah hati saya untuk mencintai lelaki. Di Tanah Suci saya dapat lihat dia sangat luhur mencintai saya. Abang benar-benar mahu menjadikan hubungan kami sebagai suatu yang suci.

"Dia benar-benar mengangkat martabat saya sebagai wanita. Semua ini menyebabkan cinta saya kepadanya semakin mekar. Syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana memberikan saya anugerah yang paling indah dalam hidup," ujar Umie yang mengakui Khairuddin lelaki yang mempunyai pekerti mulia.

Menurut Umie, dia benar-benar kagum dengan kesediaan Khairuddin yang sanggup membuktikan keluhuran cintanya dengan membawanya ke Tanah Suci untuk mendirikan rumah tangga.

"Kesediaan membawa saya bersama keluarga menunaikan umrah dan sekali gus berkahwin di Masjidil Haram membuatkan saya dapat merasakan yang beliau sangat jujur dan benar-benar serius untuk memperisterikan saya.

"Daripada situ, saya dapat menelah dia adalah lelaki yang budiman. Doa saya semoga perkahwinan saya dengan abang akan kekal hingga ke akhir hayat kami berdua," jelasnya dalam nada terharu.

Umie atau nama sebenarnya Umie Khalsum Rahmad, 37, dan Khairuddin, 47, dinikahkan oleh jurunikah Marwan Zakaria di masjid paling agung buat umat Islam, Masjidil Haram pada pukul 1.20 pagi (waktu tempatan) dengan mas kahwin berjumlah 1,818.18 riyal (kira-kira RM1,709) serta sebentuk cincin berlian.

Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung cukup sederhana dengan hanya dihadiri oleh kaum keluarga serta rakan-rakan rapat selain disaksikan jemaah yang mengerjakan umrah.

Pernikahan itu juga sekali gus mencatatkan sejarah buat beliau sebagai artis Malaysia pertama yang bernikah di rumah ibadat paling agung buat umat Islam di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Umie berkata, dia akan mencintai suaminya itu yang juga seorang duda anak dua dengan sepenuh jiwa dan raga biarpun hanya mengenali Khairuddin dalam tempoh enam bulan.

Hari ini, jiwa Umie tidak lagi bercelaru. Dia benar-benar sedang mengenali cinta yang luhur. Umie juga sudah boleh merasa selamat kerana sudah ada lelaki yang boleh melindunginya daripada sebarang fitnah dan umpat masyarakat.

Usaha yang perlu digandakan oleh Umie ialah memekarkan rasa cinta dan mencurahkan kasih buat Khairuddin yang kini sah menjadi teman hidupnya.

Realitinya, kali ini kisah cinta Umie bukan lagi seperti dalam skrip filem mahupun drama. Sebaliknya, fasa hidup baru yang dikecapinya hari ini merupakan apa yang telah tertulis di Loh Mahfuz.

Umie dan Khairuddin akan melalui hidup baru dengan pelbagai cerita indah dan tidak kurang cabaran dalam melayari bahtera rumah tangga dan kita semua pastinya meyakini pasangan pengantin baru ini mampu untuk melalui semua itu.

Yang pasti, Tanah Suci bukan hanya menyatukan umat Islam dari seluruh dunia, sebaliknya, kota paling agung itu turut menyatukan dua jiwa dalam satu cinta - Umie Aida dan Khairuddin…
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails